RABAT: Maghribi telah mendakwa lebih 2,400 orang atas protes yang dipimpin oleh belia baru-baru ini yang bertukar menjadi ganas, satu tindak balas menyeluruh terhadap beberapa demonstrasi anti-kerajaan terbesar sejak beberapa tahun lalu.
Daripada 2,480 yang didakwa, 1,473 orang masih ditahan sementara menunggu perbicaraan.
Pertuduhan termasuk pemberontakan bersenjata, menghina dan menggunakan keganasan terhadap pegawai awam yang menjalankan tugasnya, dan menghasut untuk melakukan jenayah berat.
Demonstrasi itu mengejutkan Maghribi selepas gerakan dipimpin oleh belia yang dipanggil Gen Z 212 menggerakkan beribu-ribu orang di seluruh negara untuk membantah keadaan perkhidmatan awam.
Gerakan itu, yang dianjurkan di platform media sosial seperti Discord, mengkritik perbelanjaan kerajaan untuk infrastruktur bagi menganjurkan acara sukan sambil mengabaikan perkhidmatan sosial.
Walaupun penganjur menggesa demonstrasi aman, protes bertukar menjadi ganas di beberapa bandar dan pekan, menyebabkan tiga orang terkorban, mencederakan ramai yang lain sefrta merosakkan harta benda awam.
Kumpulan hak asasi mengkritik pendekatan keras pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan, tetapi pendakwa raya berkata tindakan itu diambil mengikut lunas undang-undang.
Gelombang penangkapan telah membimbangkan kumpulan hak asasi manusia dan menjadi seruan tambahan bagi penunjuk perasaan membantah tindakan menangkap mereka yang menyertai protes.
Persatuan Hak Asasi Manusia Maghribi telah mengecam penangkapan itu, manakala Gen Z 212 telah menuntut pembebasan semua tahanan protes.
“Mereka yang menuntut keadilan untuk masa depan mereka tidak seharusnya disambut dengan kekerasan dan penindasan yang membawa maut,” kata Pengarah Bersekutu Human Rights Watch, Encik Hanan Salah dalam satu kenyataan.
Mereka yang ditangkap termasuk Encik Hamza Raid, seorang penyanyi rap Maghribi yang ditahan di Casablanca bulan lalu, yang liriknya sering menyentuh politik dan menggugah kemarahan belia.
Tiga daripada tertuduh hadir di mahkamah di Rabat pada 27 Oktober dengan tuduhan menghasut perlakuan jenayah berat dan menghina badan rasmi selepas mereka mencetak slogan aktivis pada jersi pasukan bola sepak Maghribi, kata peguam mereka.
Mereka boleh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun jika disabitkan kesalahan.
Di hadapan bilik mahkamah yang sesak, para peguam telah membuat permohonan ikat jamin untuk anak guam mereka – dua pelajar kolej dan seorang pekerja kedai cetak.
Pendakwa raya berkata lebih 400 orang telah dijatuhi hukuman penjara antara satu dengan 15 tahun dan 34 yang lain telah dibebaskan daripada semua pertuduhan. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg