NUWAKOT, Nepal: Seminggu selepas banjir besar melanda kawasan Himalaya, sebahagian keluarga di Nepal mula mengadakan upacara pengebumian secara simbolik bagi anggota keluarga yang masih hilang, dengan harapan roh mereka dapat “dibebaskan” dan bersemadi dengan tenang.

Keputusan memilukan itu dibuat selepas berhari-hari mencari di pusat perlindungan dan rumah mayat tanpa menemui orang tersayang, sedang pasukan penyelamat masih berusaha mengesan ribuan mangsa.

Lebih 1,000 mayat telah ditemukan dan hampir 4,500 orang masih hilang selepas gelombang besar air sejuk, batu dan serpihan melanda kawasan sempadan China-Nepal pada 26 Ogos.

Bencana itu dipercayai tercetus akibat runtuhan glasier di kawasan pergunungan tinggi yang menyebabkan air dan serpihan mengalir deras ke kawasan lembah, menghanyutkan kampung, rumah dan prasarana dalam masa beberapa minit.

Di Nuwakot, Cik Dolma Newar Tamang mengadakan upacara pengebumian untuk suaminya, yang sedang dalam perjalanan ke China apabila bencana berlaku.

Ditemani anak lelakinya yang menangis, beliau berkata keluarganya akhirnya menerima kemungkinan bahawa suaminya tidak akan pulang.

Kami terpaksa melakukan ini untuk membebaskan rohnya supaya dia tenang dan bahagia di mana sahaja dia berada,” katanya.

Cik Dolma berkata beliau cuba menghubungi suaminya berkali-kali selepas melihat berita mengenai bencana tersebut.

“Saya melihat berita itu dan menelefonnya. Saya menelefon berulang kali, tetapi dia tidak pernah menjawab,” katanya.

Walaupun sudah seminggu berlalu, pasukan penyelamat Nepal belum berputus asa untuk menemukan mangsa yang masih hidup.

Tumpuan kini diberikan kepada beberapa terowong loji hidroelektrik yang dipenuhi lumpur dan serpihan.

Setakat ini, pasukan penyelamat hanya menemukan mayat dari terowong yang berjaya dimasuki.

Namun, anggota penyelamat terus menggali, menggerudi dan meletupkan timbunan serpihan untuk membuka laluan.

Menteri Luar Nepal, Encik Shisir Khanal, berkata pemerintah masih berharap ada antara ribuan mangsa yang hilang terselamat.

“Keajaiban boleh berlaku,” katanya. “Pada ketika ini, saya tidak mahu sama sekali berputus asa.”

Menurut angka rasmi setakat 1 September, Nepal telah menemukan 1,050 mayat, manakala 3,916 orang masih hilang.

Media pemerintah China pula melaporkan 16 orang maut dan 546 lagi hilang di Tibet.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban yang dilaporkan di Nepal dan China sebanyak 1,066 orang, manakala 4,462 masih hilang.

Sekurang-kurangnya 17 mayat turut ditemukan di sungai lebih jauh ke hilir di India.

Di Nepal, rumah mayat yang sesak memaksa pihak berkuasa mengebumikan ratusan mayat yang tidak dapat dikenal pasti selepas sampel DNA diambil.

Perdana Menteri Nepal, Encik Balendra Shah, menyifatkan bencana itu sebagai amaran mengenai ancaman semakin besar yang dihadapi kawasan Himalaya akibat perubahan iklim.

“Ini petunjuk serius bahawa risiko yang kita hadapi di rantau Himalaya semakin meningkat seiring perubahan iklim,” katanya.

“Perubahan iklim berpunca daripada sumbangan global, maka tindak balas terhadap bencana juga merupakan tanggungjawab global.”

Saintis memberi amaran bahawa Himalaya semakin panas apabila suhu dunia meningkat, sekali gus mempercepat pencairan glasier.

Glasier di kawasan Himalaya dan Hindu Kush merupakan sumber air penting kepada kira-kira 240 juta penduduk di kawasan pergunungan serta 1.65 bilion lagi yang tinggal di lembangan sungai Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Bencana itu turut mencetuskan kemarahan di Nepal kerana negara berpenduduk sekitar 30 juta itu hanya menyumbang sebahagian kecil pelepasan gas rumah hijau dunia tetapi berdepan kesan besar perubahan iklim.

Selain korban jiwa, Nepal kini berdepan cabaran besar untuk membina semula kawasan yang musnah.

Pemerintah menganggarkan kerugian akibat banjir boleh mencecah AS$5 bilion (S$6.4 bilion), bersamaan kira-kira satu persepuluh daripada nilai keluaran ekonomi tahunan negara itu.

Angka tersebut menjadi beban besar bagi Nepal yang masih menanggung kesan kewangan gempa bumi dahsyat pada 2015, yang menyebabkan kerugian sekitar AS$9 bilion.

Sejak bencana itu, jumlah hutang pemerintah hampir berganda daripada sekitar 26 peratus saiz ekonomi negara kepada 45 peratus.

Kini, kira-kira 19 peratus perbelanjaan pemerintah digunakan untuk membayar hutang dan faedah.

Banjir terbaru turut memusnahkan loji hidroelektrik, talian elektrik, menara telekomunikasi, kampung dan sawah padi di sepanjang gaung Bhotekoshi dan Trishuli.

Sektor hidroelektrik penting kepada rancangan Nepal untuk meningkatkan eksport tenaga ke India.

Pelancongan, satu lagi sumber pendapatan utama, turut berdepan risiko apabila imej kemusnahan akibat banjir tersebar ke seluruh dunia.

Pengasas bersama Geet Travels di Kathmandu, Encik Samip Pokharel, berkata beliau bimbang bencana itu menjejaskan imej Nepal sebagai destinasi pelancongan.

Namun, beliau menegaskan kemusnahan tertumpu di satu laluan dan sebahagian besar negara masih beroperasi seperti biasa.

“Ini hanya satu koridor, bahagian lain negara berfungsi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata setakat ini syarikatnya belum menerima sebarang pembatalan tempahan daripada pelancong asing.

Ketika Nepal mula menghitung kos ekonomi bencana itu, operasi mencari mangsa masih diteruskan.

Bagi keluarga seperti Cik Dolma, bagaimanapun, selepas seminggu tanpa khabar berita, harapan untuk menemukan orang tersayang kini perlahan-lahan digantikan dengan usaha menerima kehilangan mereka. - Agensi berita