JAKARTA: Anak-anak mantan Presiden Suharto telah tampil umum untuk memohon maaf atas kesilapan ayah mereka semasa memerintah Indonesia.
Langkah itu dibuat selepas keputusan kontroversi Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) yang membatalkan penyebutan nama Encik Suharto dalam perintah antirasuah yang dikeluarkan pada 1998.
Keputusan MPR untuk membatalkan penyebutan nama Encik Suharto dalam Dekri No. 11/1998 – yang sebelum ini menekankan pentingnya membanteras rasuah, konspirasi dan nepotisme – diambil selepas Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk menggugurkan semua tuduhan rasuah terhadap Encik Suharto pada 2006 atas alasan kesihatan.
Keputusan itu juga merupakan hasil cadangan Parti Golkar, parti politik yang menjadi kenderaan utama Encik Suharto semasa memerintah selama 32 tahun.
Keputusan itu menimbulkan kebimbangan ramai kerana dilihat seolah-olah cuba untuk membersihkan rekod Encik Suharto daripada segala kesalahan semasa pemerintahannya.
Pada 28 September, dua anak Encik Suharto, Cik Siti ‘Tutut’ Hardijanti Rukmana dan Cik Siti ‘Titiek’ Hediati Hariyadi, hadir di MPR untuk menerima dokumen tersebut.
Dalam ucapannya, Cik Titiek memohon maaf kepada rakyat atas apa yang telah berlaku semasa pemerintahan bapanya.
“Sepanjang masa beliau memimpin negara ini, ada hal-hal yang mungkin tidak menyenangkan hati masyarakat. Untuk itu, kami sekeluarga memohon maaf.
“Namun, kita tidak boleh melupakan semua kebaikan yang beliau lakukan sepanjang 32 tahun memimpin negara ini,” kata Cik Titiek.
Cik Titiek juga menegaskan bahawa jasa-jasa Suharto tidak boleh diabaikan, dengan menyebut beberapa dasar penting yang diperkenalkan semasa pemerintahannya, seperti pembinaan perkhidmatan kesihatan bersepadu, Posyandu dan sekolah dasar, SD Inpres.
“Jangan biarkan hal-hal ini dihapuskan hanya kerana ada orang yang tidak menyukainya,” tambahnya.
Langkah MPR ini telah mencetuskan reaksi negatif, terutama dalam kalangan aktivis hak asasi manusia.
Mereka melihat tindakan ini sebagai percubaan untuk memaafkan kesalahan-kesalahan Encik Suharto.
“Negara ini belum selesai menangani kes-kes rasuah dan pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di era Soeharto,” kata Encik Usman Hamid, Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, kepada The Jakarta Post.
Dalam masa yang sama, MPR pada 29 September membatalkan perintah yang mengarahkan pemecatan mantan Presiden Abdurrahman ‘Gus Dur’ Wahid, lapor The Jakarta Globe.
Ini adalah permintaan dari Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), yang diasaskan oleh Encik Gus Dur.
Pembatalan itu dilihat sebagai langkah untuk membersihkan nama Encik Gus Dur, yang dipecat pada 2001 atas tuduhan melanggar garis panduan negara.
Encik Gus Dur diingati sebagai seorang pemimpin yang memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia, meskipun menghadapi pelbagai cabaran politik semasa tempoh pemerintahannya yang singkat.
Cik Sinta Nuriyah Wahid, balu Encik Gus Dur, mengucapkan terima kasih kepada MPR atas keputusan tersebut, sambil menyatakan harapannya agar pembatalan itu menjadi langkah awal untuk memulihkan nama baik suaminya.
“Kami berharap langkah ini bukan sekadar retorik politik, tetapi menjadi asas untuk usaha selanjutnya,” ujar Cik Sinta.
Cik Sinta menyatakan bahawa perintah tersebut telah menghantui keluarganya kerana menggambarkan Encik Gus Dur sebagai melanggar Perlembagaan tanpa diberi peluang untuk mempertahankan diri.
Beliau juga menekankan bahawa penggambaran negatif Encik Gus Dur turut disertakan dalam buku sejarah sekolah, dan berharap bahawa pembatalan itu bukan sekadar “retorik politik”.
“Kami berharap pembatalan ini akan menjadi langkah pertama dan asas undang-undang untuk usaha lebih lanjut dalam membersihkan nama Gus Dur,” ujar Cik Sinta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg