BANGKOK: Keluarga remaja lelaki berusia 14 tahun yang didakwa menembak mati dua orang di pusat beli-belah Siam Paragon di Bangkok, Thailand, tampil memohon maaf pada Jumaat atas tindakan anak mereka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Thailand.
Polis telah mendakwa remaja itu, yang tidak dinamakan, atas tuduhan melakukan pembunuhan dalam insiden Selasa lalu yang turut menyebabkan lima cedera.
Pihak berkuasa Thailand berkata kedua-dua keluarga mangsa yang terbunuh itu masing-masing akan menerima pampasan 6.2 juta baht ($229,000), manakala lima yang cedera akan diberi 350,000 baht setiap seorang, lapor The Nation.
Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, berikrar mengambil langkah pencegahan selepas kejadian tembakan itu, yang juga merupakan serangan senjata berprofil tinggi ketiga yang melanda negara itu dalam tempoh empat tahun lalu.
“Kami memohon maaf tidak terhingga kepada mangsa, keluarga si mati dan mereka yang cedera akibat insiden tembakan baru-baru ini yang berlaku akibat tindakan anak kami di pusat beli-belah Siam Paragon,” menurut kenyataan oleh keluarga suspek remaja itu yang diedarkan dalam bahasa Thai, Inggeris dan Cina kepada pemberita oleh Kementerian Ehwal Luar Thailand.
“Kami amat sedih dan terkejut dengan kejadian ini dan menerima tanggungjawab sepenuhnya,’‘ tambahnya.
Kenyataan yang ditandatangani bapa suspek remaja itu menjanjikan kerjasama penuh pihak keluarga dalam siasatan polis.
Remaja lelaki itu, yang merupakan pelajar di sekolah swasta dengan yuran AS$4,000 ($5,470) sepenggal dan terletak hanya beberapa meter dari Siam Paragon, sedang menjalani ujian psikiatri untuk melihat sama ada dia layak untuk dibicarakan di mahkamah.
Penyiasat berkata pada Selasa bahawa dia telah menjalani rawatan bagi penyakit mental tetapi telah berhenti mengambil ubatnya dan melaporkan mendengar suara yang menyuruhnya menembak orang.
Serangan itu dilakukan dengan pistol tembakan kosong yang diubah suai untuk menembak peluru hidup.
Menyusuli kejadian itu, polis telah menahan empat orang yang disyaki menjual pistol dan peluru kepada remaja tersebut.
Serangan di salah satu pusat beli-belah terbesar dan paling mewah di Bangkok itu memberikan tamparan hebat kepada usaha Thailand untuk membina semula industri pelancongannya selepas pandemik Covid-19.
Pada Khamis, pihak berkuasa Thailand mengumumkan rancangan menyemak semula undang-undang bagi memastikan orang awam tidak boleh memilki dan membawa senjata api.
Thailand mempunyai salah satu kadar pemilikan senjata api tertinggi di rantau ini, dengan kira-kira 10 juta senjata api dianggarkan dalam edaran, atau satu bagi setiap tujuh penduduk. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg