Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kematian kanak-kanak Palestin akibat kebuluran semakin meningkat

Feb 29, 2024 | 1:48 PM
Penduduk termasuk kanak-kanak Palestin berkumpul untuk mendapatkan makanan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada 28 Februari 2024, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dengan Hamas.
Penduduk termasuk kanak-kanak Palestin berkumpul untuk mendapatkan makanan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada 28 Februari 2024, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dengan Hamas. - Foto AFP

GAZA: Dua orang kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia “kerana dehidrasi dan kekurangan zat makanan” di Gaza yang masih bergelumang dengan perang, kata kementerian kesihatan wilayah yang dikuasai Hamas pada 28 Februari.

Kematian terbaru yang menjadikan enam sejauh ini, dilaporkan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang kebuluran yang akan berlaku di Gaza.

Mangsa terbaru adalah di hospital Al-Shifa di bandar Gaza, hospital terbesar di wilayah terkepung itu, kata jurucakap kementerian kesihatan, Encik Ashraf al-Qudra.

“Jumlah kematian akibat kebuluran di kalangan kanak-kanak meningkat kepada enam akibat dehidrasi dan kekurangan zat makanan,” kata beliau.

“Kami menyeru institusi antarabangsa untuk mengambil tindakan segera bagi mencegah malapetaka kemanusiaan di utara Jaluran Gaza,” tambahnya.

Agensi PBB berkata konvoi kemanusiaan terbaru dibenarkan masuk ke utara adalah lebih sebulan lalu.

Pejabat penyelarasan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 27 Februari berkata bahawa dua kanak-kanak telah meninggal dunia lebih awal akibat dehidrasi dan kekurangan zat makanan di hospital Kamal Adwan di utara Gaza.

Kecemasan kemanusiaan yang mengerikan sedang selubungi Gaza ketika Israel meneruskan usaha tanpa henti untuk menghapuskan Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan Palestin ke atas selatan negaranya pada 7 Oktober.

Serangan mengejut Hamas membunuh sekitar 1,200 orang dan 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.

Hampir lima bulan perang berlangsung, kempen ketenteraan Israel telah membunuh hampir 30,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.

Dengan bantuan masih disekat daripada memasuki utara Gaza oleh tentera Israel, Program Makanan Sedunia berkata bahawa “jika tiada apa-apa perubahan, kebuluran akan berleluasa”.

​Agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNWRA, melaporkan penurunan 50 peratus trak yang memasuki Gaza setakat bulan ini berbanding Januari.

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) juga memetik unjuran yang menunjukkan bahawa “seluruh penduduk Jaluran Gaza hadapi krisis atau tahap kekurangan makanan yang lebih teruk.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg