Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kematian presiden Iran diiring duka, namun ada pula ‘meraikannya’

May 21, 2024 | 1:10 PM
Foto menunjukkan Presiden Ebrahim Raisi menghadiri acara Tahun Baru Iran, Nowruz, mengikut kalendar Parsi, pada 30 Mac 2024. Beliau diisytiharkan terbunuh dalam nahas helikopter pada 20 Mei.
Foto menunjukkan Presiden Ebrahim Raisi menghadiri acara Tahun Baru Iran, Nowruz, mengikut kalendar Parsi, pada 30 Mac 2024. Beliau diisytiharkan terbunuh dalam nahas helikopter pada 20 Mei. - Foto AFP

TEHERAN: Iran mengisytiharkan tempoh berkabung selama lima hari atas kematian Presiden Ebrahim Raisi pada 20 Mei, walaupun suasana hening itu mendedahkan sedikit kesedihan awam mengiringi kematian tokoh kanan lain dalam sejarah 45 tahun Republik Islam itu.

Sedang penyokong setia pemerintah berkumpul di masjid dan dataran untuk mendoakan Encik Raisi dan Menteri Luar Hossein Amirabdollahian, kedua-duanya terbunuh dalam nahas helikopter, kebanyakan kedai terus dibuka dan pihak berkuasa tidak cuba mengganggu kehidupan biasa.

Setahun selepas pemerintah tegar Encik Raisi bertindak menamatkan demonstrasi menentang pihak berkuasa sejak revolusi 1979, pihak penentang malah menyiarkan video secara sembunyi-sembunyi dalam talian tentang orang ramai membahagi-bahagikan gula-gula bagi meraikan kematiannya.

Cik Laila, seorang pelajar berusia 21 tahun di Teheran, memberitahu Reuters bahawa beliau tidak bersedih dengan kematian Encik Raisi, sebaliknya “sedih kerana walaupun dengan nahas itu, rejim ini tidak akan berubah,” katanya.

Kumpulan hak asasi manusia berkata ratusan rakyat Iran maut dalam demonstrasi 2022-2023 yang dicetuskan oleh kematian dalam tahanan seorang wanita muda Kurdish Iran, yang ditangkap oleh polis moral kerana melanggar kod pakaian ketat negara itu.

Cara pihak berkuasa menangani pelbagai krisis politik, sosial dan ekonomi telah memperluas jurang antara pemerintah ulama dan masyarakat.

Namun, ada yang menyifatkan beliau sebagai seorang presiden yang bekerja keras dan akan tetap dikenang, seperti kata Encik Mohammad Hossein Zarrabi, 28 tahun, seorang anggota militia Basij di bandar suci Syiah Qom.

Tetapi terdapat sedikit retorik emosi yang mengiringi kematian tokoh yang dihormati secara umum, seperti Encik Qasem Soleimani, seorang komander kanan Pengawal Revolusi elit Iran yang dibunuh oleh peluru berpandu Amerika pada 2020 di Iraq, yang pengebumiannya menarik ramai orang yang berkabung, menangis dengan rasa sedih dan marah.

Ramai rakyat Iran berkata mereka menjangka kematian Encik Raisi hanya akan memberi kesan sedikit terhadap bagaimana negara itu akan diperintah.

Malah, ada yang tidak peduli dengan insiden itu.

“Kami terlalu sibuk dengan isu ekonomi dan sosial untuk prihatin tentang berita sebegitu,” kata seorang daripada mereka, Encik Reza, 47 tahun, seorang peniaga. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg