Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Iran maut dalam nahas helikopter

Turut terkorban Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai lain
May 20, 2024 | 5:43 PM
Pekerja penyelamat Iran menemui mayat mangsa termasuk Presiden Iran, Encik Ebrahim Raisi, di tapak tragedi helikopter terhempas di barat laut Iran.
Pekerja penyelamat Iran menemui mayat mangsa termasuk Presiden Iran, Encik Ebrahim Raisi, di tapak tragedi helikopter terhempas di barat laut Iran. - Foto EPA-EFE

DUBAI: Presiden Iran, Encik Ebrahim Raisi, seorang pemimpin tegar yang sekian lama dilihat sebagai bakal pengganti pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam satu nahas helikopter di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Azerbaijan, kata pegawai dan media pemerintah pada 20 Mei.

Serpihan helikopter yang terhempas pada 19 Mei ketika membawa Encik Raisi, Menteri Luar Hossein Amirabdollahian, serta enam penumpang lain dan kru, ditemui pada awal 20 Mei ketika kerja mencari dan menyelamat dijalankan dalam ribut salji.

Sebelum ini Encik Raisi berada di sempadan Azerbaijan pada 19 Mei untuk merasmikan Empangan Qiz-Qalasi, sebuah projek bersama dua negara. Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev turut berada di projek itu.

“Presiden Raisi, menteri luar dan semua penumpang dalam helikopter terbunuh dalam nahas itu,” kata seorang pegawai kanan Iran sambil meminta namanya tidak disiarkan kerana sensitiviti perkara itu.

Kematian Encik Raisi kemudian disahkan dalam satu kenyataan di media sosial oleh Naib Presiden Iran, Encik Mohsen Mansouri, dan disiarkan menerusi televisyen ke seluruh negara.

Naib Presiden Pertama, Encik Mohammad Mokhber, dijangka mengambil alih jawatan sebagai presiden.

Helikopter itu terhempas di wilayah Varzeqan di utara Tabriz, lapor agensi berita Irna, ketika Encik Raisi pulang dari lawatan rasmi ke sempadan dengan Azerbaijan di barat laut Iran.

Bulan Sabit Merah Iran berkata bahawa mayat mereka yang menaiki helikopter malang itu, termasuk Encik Raisi, telah ditemui, dan operasi mencari telah ditamatkan.

“Kami sedang dalam proses memindahkan kesemua mayat ke Tabriz”, di barat laut Iran, kata ketua Bulan Sabit Merah, Encik Pirhossein Koolivand.

Seorang pegawai sebelum ini memberitahu Reuters bahawa “helikopter Presiden Raisi terbakar sepenuhnya dalam nahas itu”.

Pasukan penyelamat terpaksa mengharungi ribut salji dan keadaan muka bumi yang sukar sepanjang malam untuk sampai ke bangkai pesawat pada awal 20 Mei.

Video menunjukkan pasukan penyelamat, memakai jaket terang dan lampu penyuluh di kepala, berkerumun di sekeliling peranti GPS ketika mereka mencari di lereng gunung yang gelap gelita dengan berjalan kaki dalam ribut salji.

“Dengan penemuan lokasi nahas, tiada tanda kehidupan dikesan dalam kalangan penumpang helikopter itu,” kata Encik Kolivand, kepada stesen televisyen pemerintah.

Sebelum ini, stesen itu menghentikan semua program biasa untuk memanjatkan doa kepada Encik Raisi.

Rumah Putih berkata Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, telah diberi taklimat mengenai nahas itu. China berkata ia amat prihatin terhadap tragedi tersebut. Kesatuan Eropah (EU) pula menawarkan teknologi pemetaan satelit kecemasan.

Kemalangan itu berlaku pada masa perbezaan pendapat yang semakin meningkat di Iran berhubung pelbagai krisis politik, sosial dan ekonomi.

Pemerintah Iran menghadapi tekanan antarabangsa berhubung program nuklear Teheran yang dipertikaikan dan hubungan ketenteraan yang semakin mendalam dengan Russia semasa perang di Ukraine.

Selama bertahun-tahun ramai melihat Encik Raisi sebagai pemimpin berpotensi untuk menggantikan Encik Khamenei, yang telah menyokong dasar utama Encik Raisi. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg