Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kembar Siam kini stabil selepas dipisah di hospital Saudi

Jul 22, 2025 | 12:14 PM
Ketua Penyelia Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief), Dr Abdullah Al-Rabeeah (kiri), mengesahkan kembar siam Arab Saudi, Yara dan Lara, didapati stabil selepas empat hari menjalani pembedahan pemisahan.
Ketua Penyelia Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief), Dr Abdullah Al-Rabeeah (kiri), mengesahkan kembar siam Arab Saudi, Yara dan Lara, didapati stabil selepas empat hari menjalani pembedahan pemisahan. - Foto SAUDI GAZETTE

RIYADH: Ketua Penyelia Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief), Dr Abdullah Al-Rabeeah, mengesahkan kembar siam Arab Saudi, Yara dan Lara, didapati stabil selepas empat hari menjalani pembedahan pemisahan di Hospital Kanak-kanak Pakar King Abdullah di Riyadh.

Beliau dengan penuh lega, berkata bahawa tanda-tanda penting kembar itu kini didapati normal dan mereka masih menggunakan alat bantuan pernafasan atau ventilator di unit rawatan rapi.

Menurut Dr Al-Rabeeah, usus mereka telah mula berfungsi semula, dan tiub penyusuan menerusi hidung akan digunakan untuk memperkenalkan pemakanan secara beransur-ansur kepada kembar berkenaan.

Beliau menambah bahawa kembar itu berada di bawah pemerhatian rapi dan menerima antibiotik untuk mencegah sebarang jangkitan, dengan tanda-tanda kemajuan penyembuhan yang baik.

Doktor menjangkakan untuk menghentikan penggunaan alat bantuan pernafasan kembar tersebut dalam tempoh empat hari akan datang - bergantung kepada keadaan kesihatan dan kemajuan mereka.

Kembar itu sebelum ini bercantum di bahagian bawah abdomen, pelvis, dan berkongsi sistem penghadaman, kencing dan reproduktif, termasuk tulang pelvis.

Pembedahan memisahkan kembar yang kompleks itu dijalankan pada 17 Julai, berlangsung selama 12.5 jam merentasi sembilan peringkat.

Pasukan perubatan seramai 38 anggota yang diketuai Dr Al-,Rabeeah, termasuk perunding pembedahan pediatrik, urologi, anestesia, ortopedik, pembedahan plastik dan kejururawatan, menjalankan pembedahan itu.

Dr Al-Rabeeah dan pasukan pakar perbuatannya pernah menjalankan bedah pisah kembar siam dari Eritrea, Asma dan Someya, yang disatukan di bahagian kepala, di hospital yang sama pada 14 Mei.

Dr Al-Rabeeah sebelum ini dipetik sebagai berkata: “Pembedahan kembar dari Eritrea ini menggunakan teknologi neuronavigasi dan mikroskop pembedahan bagi memastikan perancangan yang tepat serta keselamatan tertinggi untuk kedua-dua pesakit.”

Beliau menjelaskan bahawa pembedahan tersebut merupakan kes ke-64 yang berjaya di bawah Program Kembar Siam Arab Saudi, yang telah merawat lebih 149 kes dari 27 negara sepanjang 35 tahun lalu.

“Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keupayaan cemerlang sektor kesihatan Arab Saudi serta profesionalisme pasukan perubatannya,” tambah Dr Al-Rabeeah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg