BERLIN: Parti sayap kanan Alternatif untuk Jerman (AfD) mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya negeri Saxony-Anhalt pada 6 September, tetapi gagal memperoleh majoriti mutlak yang diperlukan untuk membentuk pemerintah sendiri.

Berdasarkan keputusan hampir muktamad, AfD meraih kira-kira 44 peratus undi dan dijangka menguasai 39 daripada 83 kerusi Parlimen negeri itu.

Keputusan tersebut meletakkan AfD jauh di hadapan parti berhaluan kanan tengah Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) pimpinan Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, yang mengetuai pemerintah negeri sebelum pilihan raya.

Meskipun Saxony-Anhalt sebuah negeri yang agak kecil, ia merupakan antara kubu terkuat AfD di timur Jerman.

Keputusan itu dianggap penting kerana sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, Jerman berusaha menghalang parti berfahaman ekstrem daripada kembali menguasai pemerintahan.

Pemimpin AfD di Saxony-Anhalt, Encik Ulrich Siegmund, menyifatkan keputusan itu sebagai pencapaian bersejarah.

“Kami telah mencipta sejarah dan kami akan mengambil semula negara kami. Semuanya bermula di sini, di Saxony-Anhalt,” katanya kepada penyokong.

AfD memperoleh sokongan daripada pengundi yang tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi, kos sara hidup, pengangguran, keselamatan dan dasar imigresen.

Tinjauan selepas pengundian menunjukkan sebahagian peningkatan sokongan AfD datang daripada bekas pengundi CDU, selain ramai pengundi yang pertama kali membuang undi.

Agensi perisikan domestik Jerman mengklasifikasikan AfD sebagai kumpulan yang “disyaki ekstremis”, manakala cabangnya di Saxony-Anhalt dikategorikan sebagai “ekstremis”.

AfD menolak tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai bermotifkan politik.

Parti tersebut mengambil pendirian tegar terhadap imigresen, termasuk mencadangkan penghantaran pulang pendatang secara besar-besaran. Beberapa pemimpinnya sebelum ini turut mencetuskan kontroversi kerana kenyataan mengenai Holocaust dan penggunaan slogan berkaitan era Nazi.

Walaupun menang besar, laluan AfD untuk memerintah Saxony-Anhalt masih belum pasti.

Parti-parti utama Jerman selama ini mengamalkan dasar tidak bekerjasama dengan AfD, yang sering digambarkan sebagai ‘tembok api’ politik bagi menghalang parti itu memasuki pemerintahan.

CDU yang berada di tempat kedua masih berpeluang membentuk pemerintah jika berjaya mendapatkan sokongan beberapa parti lain, termasuk Parti Demokratik Sosial (SPD), Greens, parti kiri Die Linke dan perikatan populis Sahra Wagenknecht (BSW).

Usaha itu bukan mudah kerana terdapat perbezaan politik besar antara parti berkenaan.

Beberapa pemimpin CDU di Saxony-Anhalt enggan bekerjasama dengan Die Linke, sementara BSW pula tidak mahu menyokong pemimpin negeri sekarang, Encik Sven Schulze, mahupun AfD.

Rundingan membentuk pemerintah dijangka mengambil masa beberapa hari atau minggu.

Naib Canselor Jerman daripada SPD, Encik Lars Klingbeil, menyifatkan keputusan itu sebagai ‘titik perubahan’, sambil mengakui ramai rakyat Jerman bimbang dengan peningkatan sokongan terhadap AfD.

Kemenangan AfD turut mendapat perhatian di luar Jerman kerana beberapa negara utama Eropah bakal mengadakan pilihan raya pada 2027.

Perancis akan memilih presiden baharu, manakala pilihan raya turut dijadualkan di Sepanyol dan Italy. – Agensi berita

Parti berhaluan kanan dan populis kini menikmati peningkatan sokongan di beberapa negara itu.

Penganalisis Eurasia Group, Encik Mujtaba Rahman, berkata ketidakpuasan hati pengundi terhadap pemerintah arus perdana banyak didorong masalah ekonomi.

“Pemerintah tidak mampu menangani kebimbangan mengenai kos sara hidup. Mereka tidak mampu memberikan apa yang diperlukan pengundi,” katanya.

Di Perancis, pemimpin National Rally, Cik Marine Le Pen, mendahului beberapa tinjauan menjelang pilihan raya presiden, sementara parti Vox di Sepanyol berusaha meningkatkan pengaruhnya menjelang pilihan raya.

Italy pula sudah dipimpin Perdana Menteri, Cik Giorgia Meloni, yang partinya mempunyai akar politik pasca-fasis tetapi mengambil pendekatan lebih sederhana terhadap beberapa isu selepas memasuki pemerintahan.

Kebangkitan parti sayap kanan di Eropah bagaimanapun tidak berlaku secara seragam.

Di Hungary, Perdana Menteri Encik Viktor Orban dan parti Fidesz kehilangan kuasa pada April selepas 16 tahun memerintah.

Keputusan Saxony-Anhalt juga boleh meningkatkan tekanan terhadap Encik Merz, ketika kepemimpinannya berdepan cabaran ekonomi dan politik dalam negeri.

Menurut Ketua Pejabat Berlin Majlis Eropah bagi Hubungan Luar, Cik Jana Puglierin, kemenangan AfD bukan semata-mata menunjukkan tarikan agenda parti itu.

Sebaliknya, katanya, keputusan tersebut turut mencerminkan kegagalan parti arus perdana menawarkan visi yang meyakinkan mengenai masa depan ekonomi, politik dan sosial Saxony-Anhalt.

Keputusan itu kini menjadikan rundingan pembentukan pemerintah negeri sebagai perhatian utama. Jika parti lain berjaya membentuk gabungan, AfD mungkin kekal sebagai pembangkang meskipun muncul sebagai parti terbesar.

Namun, dengan 44 peratus undi, pencapaian AfD di Saxony-Anhalt memberi isyarat bahawa landskap politik Jerman sedang berubah dan ketidakpuasan hati terhadap parti arus perdana semakin memberi ruang kepada parti sayap kanan. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan