BERLIN: Canselor baru Jerman Friedrich Merz berkata pada 6 Mei bahawa Amerika Syarikat harus “menjauhkan diri” daripada politik negaranya selepas parti Alternatif untuk Jerman (AfD yang berhaluan kanan mendapat sokongan kuat daripada sekutu Presiden Donald Trump.
Encik Merz, 69 tahun, seorang konservatif yang dipilih sebagai canselor ekonomi terbesar Eropah, juga berkata beliau merancang untuk bercakap melalui telefon dengan Encik Trump pada 8 Mei.
Perikatan Kesatuan Demokratik Kristian dan Kesatuan Sosial Kristian (CDU/CSU) pimpinannya memenangi pilihan raya pada Februari mendahului parti anti-imigresen AfD, yang menduduki tempat kedua dengan lebih 20 peratus, satu rekod untuk kumpulan itu.
Semasa kempen itu, AfD mendapat sokongan kuat daripada sekutu kuat Encik Trump yang juga jutawan teknologi Encik Elon Musk dan Naib Presiden JD Vance.
Encik Merz mengecam “pemerhatian tidak masuk akal” baru-baru ini dari Amerika tanpa menjelaskannya lebih lanjut dan berkata beliau “ingin menggalakkan pemerintah Amerika daripada mencampuri politik domestik Jerman.
Seorang ahli politik yang mempunyai hubungan lama dengan Amerika, Encik Merz berkata beliau sentiasa merasakan “daripada Amerika bahawa mereka boleh membezakan dengan jelas antara parti ekstremis dengan parti yang menjadi pusat politik”.
Encik Merz, bercakap dengan penyiar awam ZDF pada 7 Mei, menyatakan bahawa “Saya tidak campur tangan dalam kempen pilihan raya Amerika” yang memilih Encik Trump.
Minggu lalu, selepas agensi perisikan domestik Jerman menamakan AfD sebagai parti “pelampau sayap kanan”, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio menyifatkan tindakan itu sebagai “menyamar dalam kezaliman” dan berkata “Jerman harus berbalik arah”.
Encik Vance menulis di X bahawa “Barat meruntuhkan Tembok Berlin bersama-sama. Dan ia telah dibina semula - bukan oleh Soviet atau Russia, tetapi oleh penubuhan Jerman”.
Encik Musk mengambil bahagian secara maya pada perhimpunan Januari untuk AfD, memberitahu orang ramai bahawa “anda benar-benar mempunyai harapan terbaik” untuk Jerman.
Encik Merz ketika menyambut kemenangan parti pimpinannya pada 23 Februari dipetik sebagai menyatakan bahawa beliau akan membantu Eropah mencapai “kebebasan sebenar” daripada Amerik.
Kemenangan parti konsevatifnya diperoleh selepas gabungan tiga parti pimpinan Canselor Olaf Scholz yang kurang digemari runtuh, membuka jalan kepada perubahan besar dalam politik Jerman.
Encik Merz kini menghadapi cabaran besar membentuk pemerintah kerana perlu berunding dengan parti-parti lain dalam gabungan yang rumit dan mengambil masa yang panjang. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg