Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kementerian, Bank Syariah komited jadikan Indonesia hab halal sejagat

Jun 21, 2024 | 12:02 PM
halal
Badan Penganjur Jaminan Produk Halal (BPJPH) Kementerian Keagamaan Indonesia menandatangani perjanjian pengiktirafan bersama (MRA) dengan 37 institusi halal asing dalam satu majlis pada 2023. - Foto fail

JAKARTA: Kementerian Badan Usaha Milik Negara dan Bank Syariah Indonesia (BSI) milik pemerintah komited untuk meneruskan usaha membantu negara itu menjadi pemain dan pengeluar utama dalam rantaian nilai halal sejagat.

“Indonesia, dengan mengambil kesempatan daripada penduduk Islam kedua terbesar, boleh menjadi pusat industri halal dunia,” kata Cik Kartika Wirjoatmodjo, timbalan menteri kementerian itu, semasa merasmikan BSI International Expo 2024 di Jakarta pada 20 Jun.

Menurutnya, penggabungan tiga bank syariah negara ke dalam BSI pada 2021 merupakan bukti konkrit perubahan yang dilakukan kementerian.

Kini, dalam tahun ketiganya, BSI menunjukkan prestasi memberangsangkan, salah satunya telah memasuki senarai 10 Bank Islam Global Terbaik dari segi permodalan pasaran, tambahnya.

Ini sejajar dengan lonjakan harga saham penerbit yang melonjakkan paras pasaran syarikat kepada 131.47 trilion rupiah ($10.7 bilion) pada 13 Mac.

Dari segi prestasi kewangan, Cik Kartika berkata BSI adalah satu-satunya bank syariah dalam lima bank teratas di Indonesia, dengan jumlah aset 353.4 trilion rupiah dan keuntungan bersih mencapai 5.7 trilion rupiah pada 2023.

BSI juga merupakan penyumbang zakat terbesar di Indonesia, menyediakan 222 bilion rupiah pada 2023.

Dari segi pengembangan, BSI telah membuka cawangan operasi di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Ia kini dalam proses membuka cawangan di Arab Saudi untuk terus mengembangkan potensi ekosistem Islam khususnya perkhidmatan haji dan umrah.

Cik Kartika menambah, bank syariah itu juga melayani lebih 20 juta pelanggan, sekali gus menjadikan BSI sebagai bank dengan jumlah pelanggan kelima terbesar di Indonesia dan bank syariah dengan pelanggan paling ramai di dunia.

Beliau berkata, Ekspo Antarabangsa BSI 2024, adalah penyataan konkrit sokongan penuh bank syariah itu terhadap pembangunan ekosistem Islam khususnya industri halal di negara ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg