Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kempen boikot syarikat, produk pro-Israel beri kesan besar di Indonesia

Nov 18, 2024 | 5:30 AM
Penunjuk perasaan Pro-Palestin memegang sepanduk yang menyeru agar memboikot produk yang menyokong Israel semasa perhimpunan yang diadakan pada malam menjelang ulang tahun pertama konflik Israel-Hamas, di Bandung, Jawa Barat, pada 6 Oktober.
Penunjuk perasaan Pro-Palestin memegang sepanduk yang menyeru agar memboikot produk yang menyokong Israel semasa perhimpunan yang diadakan pada malam menjelang ulang tahun pertama konflik Israel-Hamas, di Bandung, Jawa Barat, pada 6 Oktober. - Foto AFP

JAKARTA: Kempen boikot terhadap syarikat-syarikat yang dianggap mempunyai hubungan dengan Israel telah memberikan kesan besar terhadap prestasi kewangan beberapa syarikat tersenarai di Indonesia.

Salah satu faktor utama yang dilihat oleh penganalisis ekonomi ialah pergerakan boikot itu, yang selain mempengaruhi pendapatan syarikat, turut menyebabkan penutupan cawangan dan pengurangan tenaga kerja.

Fenomena itu bukan sahaja memberi kesan kepada syarikat besar seperti Starbucks, Pizza Hut, dan KFC, malah turut mengubah landskap perniagaan di negara ini, dengan syarikat tempatan seperti CFC Indonesia dan Gokana Ramen yang tidak terlibat dalam boikot, melaporkan prestasi yang lebih baik.

PT MAP Boga Adiperkasa (MAPB), yang mengendalikan Starbucks di Indonesia, telah mencatat penyusutan jualan yang ketara sebanyak 21.2 peratus pada sembilan bulan pertama 2024, berbanding dengan tempoh yang sama pada 2023.

Kejatuhan itu membawa kerugian 79 bilion rupiah ($6.7 juta), berbanding keuntungan 111.5 bilion rupiah pada tahun sebelumnya.

Keadaan yang sama turut dialami oleh PT Sarimelati Kencana (PZZA), pengendali Pizza Hut, yang melaporkan penurunan hasil jualan hampir 26 peratus atau 2.04 trilion rupiah dengan kerugian lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Menurut penganalisis ekonomi, penurunan prestasi kewangan itu sebahagian besar disebabkan oleh kesan daripada kempen boikot yang semakin meluas.

Gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) atau Boikot, Jual Aset dan Sekat yang memberi tekanan kepada syarikat besar yang dilihat punya hubungan atau menyokong Israel, telah bertambah sejak Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza dan kumpulan bersenjata lain di Timur Tengah.

“Boikot ini memberi kesan besar kepada perniagaan mereka, terutamanya di kawasan luar bandar dan bandar besar di Indonesia.

“Walaupun faktor lain seperti daya beli yang lemah turut memainkan peranan, kesan daripada boikot ini adalah yang paling ketara,” kata penganalisis di Mirae Asset Sekuritas, Encik Nafan Aji Gusta Utama.

Rangkaian makanan segera KFC Indonesia turut melaporkan kerugian yang meningkat sebanyak 557.08 bilion rupiah ($47.3 juta) untuk suku ketiga 2024, yang membawa kepada penutupan berpuluh-puluh cawangan dan pembuangan 2,274 pekerja sepanjang 2023.

Syarikat-syarikat yang terjejas kini menghadapi dilema besar – adakah mereka perlu mengurangkan risiko dengan menangguhkan rancangan pengembangan perniagaan mereka atau terus berusaha untuk menarik semula pengguna?

Starbucks, misalnya, terpaksa menangguhkan pembukaan cawangan baru dan menutup beberapa cawangan yang tidak menguntungkan, sambil memberi tumpuan pada sumber di bahagian berpotensi tinggi, seperti teknologi.

Dalam satu kenyataan, ia menegaskan bahawa mereka adalah syarikat Indonesia dan tiada kaitan dengan Israel atau Amerika Syarikat, dan oleh itu, boikot yang berlaku tidak wajar menjejas mereka.

Dalam hal ini, syarikat-syarikat besar yang terlibat harus lebih berhati-hati dalam setiap langkah pengembangan mereka.

“Perlu ada lebih penekanan dalam memastikan produk yang ditawarkan lebih relevan dengan selera tempatan, di samping meningkatkan daya tarik produk mereka agar tidak kehilangan lebih ramai pelanggan,” ujar Encik Nafan.

Pengasas firma penyelidikan, CrossASEAN Research, Encik Angus Mackintosh, turut menekankan bahawa perniagaan syarikat seperti Starbucks, Pizza Hut, dan KFC di bandar-bandar kecil terjejas lebih teruk berbanding di bandar utama.

Beliau meramalkan bahawa mereka akan meneruskan rancangan pengembangan apabila ketegangan di Timur Tengah reda.

Namun pada masa ini, mereka perlu berhati-hati dalam melaksanakan sebarang langkah baru.

Tatkala syarikat multinasional menghadapi kesulitan, syarikat tempatan yang tidak terlibat dalam boikot berjaya mencatat prestasi lebih baik.

PT Pioneerindo Gourmet International, yang mengendalikan CFC Indonesia, melaporkan peningkatan hasil 13 peratus, manakala PT Champ Resto Indonesia, pengendali Gokana Ramen, mencatat pertumbuhan 12.8 peratus.

Kejayaan itu menunjukkan bahawa syarikat yang tidak terlibat dalam konflik geopolitik dapat mengekalkan sokongan pelanggan mereka dan berkembang meskipun menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar.

Kesan kempen boikot itu menunjukkan bahawa syarikat multinasional perlu lebih sensitif terhadap konteks politik dan sosial tempatan, serta bersikap lebih berhati-hati dalam menjalankan operasi di pasaran yang berisiko.

Unilever, yang mengeluarkan sabun Dove, kiub stok Knorr, dan aiskrim Ben & Jerry’s turut terjejas.

Ia melaporkan penurunan jualan 10.1 peratus di Indonesia, yang turut dikaitkan dengan kempen boikot terhadap jenama antarabangsa berikutan ketegangan di Timur Tengah.

Walaupun syarikat tersebut berusaha merombak sistem pengedaran mereka dan menawarkan produk yang lebih relevan dengan perubahan sosial, namun cabaran yang dihadapi tetap tidak boleh dipandang ringan.

Menurut penganalisis Barclays, Encik Warren Ackerman, prestasi buruk Unilever di Indonesia bukan perkara baru, dan syarikat tersebut perlu berusaha lebih keras untuk mengatasi masalah itu.

“Kenapa pelabur perlu percaya bahawa pemulihan kali ini akan berbeza dengan cabaran yang telah dihadapi sebelum ini?” katanya merujuk kepada masalah jangka panjang yang telah wujud di negara tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg