Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kempen hangat #2019TetapJokowi atau #2019GantiPresiden

Rakyat Indonesia akan memilih preisden baru dalam pilihan raya presiden pada April tahun depan. Walaupun ia sekitar enam bulan dari sekarang, bahangnya sudah meluas, baik di bandar dan kampung mahupun alam maya.
Sep 17, 2018 | 05:30 AM



BAHANG pilihan raya presiden Indonesia semakin dirasakan walaupun ia akan berlangsung sekitar enam bulan dari sekarang pada April tahun depan.



Mentelah kempen bagi pilihan raya yang menyaksikan ulangan persaingan pada 2014 itu - penyandang bekas peniaga perabot Joko 'Jokowi' Widodo dicabar bekas jeneral Prabowo Subianto - bermula secara rasmi Ahad ini.



Encik Jokowi masih popular dalam kalangan kebanyakan pengundi, dengan beberapa tinjauan menunjukkan beliau terus berada di depan dalam perlumbaan itu.



Popularitinya juga dikatakan meningkat dalam kalangan pengundi Muslim selepas beliau memilih Dr Ma'ruf Amin, pemimpin rohani Nahdlatul Ulama (NU), pertubuhan Islam terbesar di dunia yang mempunyai 80 juta anggota, yang juga ketua Majlis Ulama Indonesia, sebagai calon naib presidennya.



Populariti Encik Prabowo pula dikatakan bertambah dalam kalangan pengundi muda setelah beliau mengangkat bekas naib gabenor Jakarta, ahli perniagaan berjaya Sandiaga Uno, menjadi calon naib presidennya.



Walaupun kekal popular, Presiden Jokowi, yang sedang mengejar penggal kedua jawatan itu, belum berjaya dalam melaksana janjinya mencapai pertumbuhan ekonomi 7 peratus semasa dilantik menjadi presiden pada 2014. Ekonomi Indonesia tumbuh lebih 5 peratus tahun lalu.



Baru-baru ini pula, Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati merendahkan sasaran pertumbuhan Indonesia tahun ini daripada 5.4 peratus kepada 5.3 peratus disebabkan kebimbangan mengenai risiko yang dihadapi dek dasar perlindungan perdagangan Amerika Syarikat dan kenaikan kadar faedah yang dirancang oleh Rizab Persekutuan Amerika hingga melepas 2019.



'Kegagalan' Jokowi dalam aspek ekonomi ini dimanfaatkan Encik Prabowo dalam usahanya menggantikan Presiden itu, dengan menyasarkan dasar ekonomi beliau dan melahirkan kebimbangan mengenai kejatuhan nilai rupiah Indonesia di tengah-tengah ketidaktentuan global.



"Kami sangat prihatin tentang kemerosotan nilai rupiah yang tidak berkesudahan," kata Encik Prabowo dan Encik Sandiaga dalam satu kenyataan yang dihantar kepada akhbar The Straits Times baru-baru ini.



"Ia semakin menjadi beban kepada ekonomi negara kami (dan) bagi rakyat Indonesia yang paling terdedah, yang lambat laun akan menghadapi kenaikan harga barang asas seperti barang yang mereka gunakan setiap hari."



Komen di ambang permulaan rasmi kempen pilihan raya itu menyusuli pengumuman bahawa Indonesia akan menaikkan cukai import ke atas lebih 1,000 barangan - daripada elektronik hingga kereta mewah - bagi membendung import yang cepat meningkat dan mengelakkan kejatuhan lanjut nilai rupiah di tengahtengah tekanan luaran.



Rupiah merosot kira-kira 9 peratus berbanding dolar Amerika tahun ini. Encik Prabowo dan Encik Sandiaga menambah bahawa kejatuhan berterusan nilai rupiah berpunca daripada kelemahan asas ekonomi Indonesia.



Encik Prabowo dan Encik Sandiaga berkata sektor perkilangan Indonesia, yang merosot daripada 30 peratus daripada hasil dalam negeri kasar (GDP) pada 1997 kepada hanya 19 peratus sekarang, memberi kesan ke atas pasaran kerja dan keupayaan eksport negara.



"Asas ekonomi kita semakin lemah kerana ada kesilapan arah dalam strategi yang digunakan untuk mendorong pembangunan ekonomi kita," kata mereka. "Salah satu kesilapan arah itu ialah ketidakupayaan pemerintah memanfaat potensi ekonomi rakyat, yang membawa mereka ke arah pergantungan lebih besar pada beras, gula, garam, bawang putih, dll."



Pasukan itu mengeluarkan kenyataan tersebut walaupun - atau mungkin disebabkan - hanya beberapa hari sebelum itu, Menteri Penyelarasan Hal Ehwal Maritim Luhut Pandjaitan, pembantu rapat Presiden Jokowi yang juga anggota pasukan pemerintah yang sedang menangani cabaran ekonomi Indonesia, berusaha menenangkan kebimbangan mengenai berulangnya krisis kewangan 1998.



Nisbah hutang luar Indonesia kepada GDP-nya hari ini ialah 34 peratus, berbanding 60 peratus antara 1997 dan 1998, manakala inflasi semasa berada pada kadar 3.2 peratus, satu tahap sihat bagi sebuah negara membangun yang mencatat pertumbuhan 5.3 peratus pada suku kedua tahun ini - tertinggi sejak 2014, kata Encik Luhut.



Beliau menyatakan, menurut The Straits Times, bahawa pemerintah dapat menstabilkan ekonomi negara, yang sebahagian besarnya didorong sektor dan pelaburan domestik, dengan eksport menyumbang hanya 20 peratus kepada GDP, dan ini akan meminimumkan kesan daripada sembarang perang perdagangan.



Encik Jokowi juga berdepan dengan gerakan #2019GantiPresiden yang menggesa pengundi supaya jangan mengundinya, sekali gus mencabar kempen 'Jokowi Dua Periode' (Dua Penggal untuk Jokowi) oleh kumpulan relawan penyokong presiden itu.



Gerakan itu bermula Mac lalu sebagai hashtag dalam talian yang dimulakan oleh ahli politik pembangkang daripada Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Mardani Ali Sera. Dek menarik dan mudah diingat, hashtag itu dengan cepat menular di media sosial dan berkembang menjadi sebuah gerakan politik luar talian lebih besar dan lebih berpengaruh, yang mengejutkan Encik Jokowi.



Menurut satu komentar dalam The Jakarta Post, Presiden Jokowi pada mulanya mengejek bahawa kemeje-T #2019GantiPresiden tidak akan dapat menjatuhkannya.



"Saya tidak fikir anda boleh menggantikan seorang presiden dengan memakai kemeja-T," katanya.



Namun, pasukan media sosial beliau kemudian menghasilkan hashtag #2019TetapJokowi bagi menentang gerakan tersebut, walaupun tindakan itu secara tidak langsung memberi gerakan #2019GantiPresiden kredibiliti dan membuatnya semakin popular.



Ketua #2019TetapJokowi, Immanuel Ebenezer, mengatakan gerakan itu merupakan bentuk aspirasi masyarakat Indonesia yang menginginkan kepemimpinan Encik Jokowi selama dua penggal, lapor Tribunnews.com.



"Kita memakai hashtag itu untuk mempertegas sikap politik, sikap moral, politik kita didasari oleh kebangsaan," ujar Immanuel.



Komentar The Jakarta Post itu menyatakan hashtag#2019GantiPresiden sebuah slogan politik berkesan, tetapi "ia pada dasarnya ialah tindakan kecewa oleh sebuah kem pembangkang berpecah belah, yang pertama-tamanya payah mencari calon layak bagi mewajarkan alasan hashtag itu dicipta".



Penulisnya berkata "pergerakan politik tidak masuk akal seperti #2019GantiPresiden, yang dengan mudah boleh menyerlahkan kebencian terhadap Jokowi tanpa calon alternatif untuk ditawarkan" wujud disebabkan sistem politik Indonesia yang mengehadkan bilangan calon presiden hingga tidak ramai calon lebih baik dapat bertanding.



Di bawah peraturan pilihan raya, hanya parti yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 peratus kerusi parlimen atau mendapat 25 peratus undi pada pilihan raya lalu boleh meletakkan calon presiden.



Penulis komentar itu merumuskan: "Mempunyai pilihan sama dalam dua pilihan raya presiden sudah cukup buruk. Perkara terakhir yang kita perlukan ialah pergerakan politik yang tidak menawarkan apa-apa kecuali idea samar-samar bahawa bulat-bulat semua orang kecuali penyandang adalah seorang presiden yang lebih baik."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >