Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemusnahan sambut kepulangan

Selepas rejim Bashar al-Assad jatuh, ribuan penduduk Syria yang selama bertahun-tahun jadi pelarian kembali ke kediaman tetapi...
Dec 23, 2024 | 5:30 AM
Seorang lelaki melintasi runtuhan bangunan yang rosak di bandar Tel Rifaat, Syria, pada 2 Disember. Kawasan itu mengalami kemusnahan besar selepas bertahun-tahun pertempuran sengit melanda bandar tersebut.
Seorang lelaki melintasi runtuhan bangunan yang rosak di bandar Tel Rifaat, Syria, pada 2 Disember. Kawasan itu mengalami kemusnahan besar selepas bertahun-tahun pertempuran sengit melanda bandar tersebut. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Ribuan penduduk Syria yang selama bertahun-tahun menjadi pelarian, kini mula pulang ke kawasan asal mereka setelah kejatuhan rejim Bashar al-Assad.

Namun, kepulangan itu disambut dengan pemandangan memilukan – rumah mereka lenyap, tanah yang pernah menjadi simbol kehidupan kini hanya tinggal runtuhan dan debu.

Di kawasan kejiranan Qaboun, Damsyik, Encik Nizar al-Madani, 34 tahun, berdiri kaku dengan air mata mengalir melihat kemusnahan di sekelilingnya.

Selepas tujuh tahun meninggalkan kediamannya akibat konflik, Encik Nizar pulang hanya untuk mendapati tiada apa-apa yang tinggal.

“Kami pernah dengar tentang kemusnahan ini, tetapi melihatnya dengan mata sendiri sangat menyedihkan,” kata Encik Nizar dengan nada tersekat-sekat.

Menurut Encik Nizar, ketika beliau dan keluarganya terpaksa berpindah pada 2017, banyak bangunan di Qaboun sudah rosak akibat pertempuran sengit.

“Tetapi hari ini, tiada apa yang tinggal. Tiada kesan bangunan pun. Rejim benar-benar memusnahkan segala-galanya,” tambah beliau.

Kemusnahan di Qaboun bukan sesuatu yang kebetulan.

Rejim Assad dikatakan sengaja meratakan kawasan yang dianggap menjadi sarang penentangan terhadap pemerintahannya.

Undang-Undang No. 10 yang diperkenalkan pada 2018 menjadi salah satu instrumen bagi ‘menghalalkan’ tindakan itu.

Undang-undang tersebut memberi kuasa kepada pemerintah untuk membangunkan semula kawasan yang rosak akibat perang.

Namun pemilik rumah hanya diberikan 30 hari untuk membuktikan pemilikan hartanah mereka.

Jika gagal, rumah-rumah itu akan dirampas oleh pemerintah.

Cik Nadeedah Hannawi, 50 tahun, yang turut kembali ke Qaboun, berkongsi nasib malangnya.

“Kami tidak dapat membuktikan pemilikan rumah kami. Semasa berpindah ke utara, kami tak bawa dokumen penting. Tiada birokrasi di sana untuk kami sahkan apa-apa.

“Rejim al-Assad bukan sahaja menghalau kami, malah cuba mencuri rumah-rumah yang kami bina dengan titik peluh sendiri,” ujarnya,

Kemusnahan itu turut melibatkan kawasan perkuburan lama yang menyimpan memori keluarga.

“Bayangkan, kubur orang tersayang pun dihancurkan. Tetapi yang paling penting sekarang, tanah ini telah kembali kepada kami. Kami akan bina semula dengan tangan kami sendiri,” ujar Cik Nadeedah penuh bersemangat.

Walaupun Qaboun hanya tinggal kenangan, semangat untuk membina semula kehidupan masih membara dalam kalangan penduduk.

Encik Mahmoud Jahbar, 53 tahun, percaya ia adalah peluang untuk memulihkan tanah mereka.

“Rumah kami musnah, kenangan kami hilang, tetapi kami masih ada masa depan. Kami akan bina semula semuanya untuk generasi akan datang,” kata Encik Mahmoud dengan penuh tekad.

Kepulangan penduduk ke kawasan asal mereka juga berlaku di bandar lain seperti Tel Rifaat, yang turut mengalami keadaan serupa.

Seorang komander pemberontak di Tel Rifaat, Encik Firas Alito al-Ageid, 40 tahun, menyingkap bagaimana penduduk di sana sangat ingin pulang ke tanah asal mereka.

“Perkara paling penting bagi mereka adalah keinginan untuk pulang. Ini tanah air mereka,” jelas Encik Firas.

Tel Rifaat adalah sebuah bandar pertanian yang pernah dihuni 50,000 penduduk sebelum perang meletus pada 2011.

Ia menjadi simbol perjuangan rakyat Syria.

Selepas beberapa tahun di bawah kawalan rejim dan militan Kurdi, pemberontak berjaya menawan semula bandar tersebut, sekali gus membuka ruang kepada penduduk untuk kembali.

Seorang anggota pasukan pemberontak, Encik Muhammad Alito, menyifatkan kemenangan itu sebagai kejutan besar.

“Kami tak pernah sangka dapat pulang ke tanah sendiri. Ini semua kuasa Tuhan,” ujarnya.

Walaupun penduduk kembali, cabaran besar menanti mereka.

Kebanyakan bandar termasuk Tel Rifaat mengalami kerosakan teruk akibat serangan udara dan pertempuran berpanjangan.

Rumah-rumah rata, lorong-lorong dipenuhi runtuhan dan prasarana asas lumpuh sepenuhnya.

“Kami temui terowong bawah tanah yang dibuat militan Kurdi di bawah rumah datuk saya.

“Ia digunakan sebagai laluan ke medan tempur,” akui Encik Raed al-Nomer, 30 tahun, yang berasal dari Tel Rifaat.

Namun begitu, kehidupan perlahan-lahan kembali pulih.

Kanak-kanak mula bermain di celah runtuhan, manakala anggota keluarga kembali sibuk membersihkan kawasan dan membaiki bumbung rumah mereka.

Bagi rakyat Syria, kejatuhan rejim Assad bukan sekadar pengakhiran konflik, malah juga permulaan bagi satu era baharu.

Cik Asma Haj Ali, 54 tahun, yang bertemu kembali dengan anak-anaknya selepas lapan tahun terpisah, menggambarkan betapa sukarnya perjalanan hidup mereka sebelum ini.

“Kami menangis, tetapi tangisan kali ini adalah tangisan gembira. Kami akhirnya bersama kembali,” katanya.

Semangat untuk membina semula Syria terserlah di setiap sudut.

Dari Qaboun ke Tel Rifaat, penduduk tempatan menunjukkan bahawa mereka tidak akan tunduk kepada kemusnahan.

Cik Nadeedah menambah: “Kami dihalau dari tanah kami, rumah kami dirampas, tetapi kami tidak akan berputus asa. Syria ini milik kami, dan kami akan membinanya semula.”

Kini, dunia menyaksikan bagaimana rakyat Syria yang selama ini dipinggirkan, bangkit semula dengan semangat luar biasa.

Kejatuhan rejim Assad menjadi harapan bagi kehidupan yang lebih baik dan aman untuk masa hadapan.

“Ini bukan pengakhiran, ini adalah permulaan baharu bagi Syria,” kata Encik Mahmoud Jahbar penuh keyakinan. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg