DAMSYIK: Pelajar Syria kembali ke bilik darjah pada 15 Disember selepas pemerintah baru mengarahkan pembukaan semula sekolah, menandakan langkah awal mengembalikan keadaan seperti sediakala.
Namun, cabaran besar menanti untuk membina semula negara selepas perang saudara yang meragut ratusan ribu nyawa dan menghancurkan bandar.
Ketua de facto Syria, Ahmad al-Sharaa, pemimpin Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang sebelum ini dikenali sebagai Abu Mohammed al-Jolani, berdepan tugas besar untuk menghidupkan semula ekonomi yang lumpuh akibat sekatan antarabangsa, sambil memastikan jutaan pelarian yang tinggal di kem dapat kembali ke tanah air.
Pegawai pemerintah melaporkan kebanyakan sekolah di seluruh negara mula dibuka semula pada 15 Disember, tetapi sebahagian ibu bapa masih keberatan menghantar anak mereka ke sekolah kerana bimbang terhadap situasi semasa.
Di sebuah sekolah lelaki di Damsyik, pelajar bersorak gembira di pekarangan sekolah sambil menyaksikan bendera baru digantung oleh setiausaha sekolah, Encik Raed Nasser.
Salah seorang pelajar, Salah al-Din Diab, meluahkan rasa lega.
“Saya sangat gembira. Dahulu saya takut berjalan di jalan raya kerana bimbang akan dikerah untuk perkhidmatan tentera,” katanya.
Seiring usaha membina semula negara, Syria berdepan tekanan daripada sekatan antarabangsa.
Utusan khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Syria, Encik Geir Pedersen, tiba di Damsyik pada 15 Disember menyeru agar sekatan ditamatkan segera bagi memudahkan pemulihan ekonomi.
“Kita berharap sekatan akan dihentikan dengan cepat agar usaha membina semula Syria dapat berjalan lancar,” ujar Encik Pedersen.
Beliau turut membincangkan keperluan menyemak semula Ketetapan Majlis Keselamatan PBB 2254, yang menggariskan pembentukan pemerintah bersifat terangkum, penyusunan perlembagaan baru dan pilihan raya bebas dalam tempoh enam bulan.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, menyokong proses peralihan yang menghasilkan pemerintah “inklusif, boleh dipercayai, dan tidak bersifat sektarian.”
Dalam usaha mengembalikan kestabilan, pemerintah baharu turut memberi jaminan kepada kumpulan minoriti, termasuk Kristian, bahawa hak dan kebebasan mereka akan dilindungi.
Di Bab Touma, kawasan Kristian di Damsyik, penduduk tempatan kembali ke gereja buat kali pertama selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.
Namun, kebanyakan mereka masih berjaga-jaga.
“Kami masih takut walaupun tiada perkara buruk berlaku,” kata seorang penduduk, Cik Maha Barsa, selepas menghadiri misa di Gereja Katolik Greek Melkite.
Di Latakia, Setiausaha Majlis Jemaah di Kathedral St George Greek Orthodox, Cik Lina Akhras, menyatakan masyarakat Kristian selesa di bawah pemerintahan Assad, tetapi kini hanya mahu kedamaian.
“Kami hanya mahu hidup dalam keamanan. Terima kasih tuhan, wakil HTS sudah berbincang dengan paderi kami untuk memberi jaminan,” katanya.
Di peringkat sejagat, usaha diplomasi untuk membantu Syria mula rancak.
Delegasi Qatar tiba di Damsyik untuk bertemu pemerintah sementara, manakala Turkey membuka semula kedutaannya selepas 12 tahun.
Britain turut mengadakan hubungan diplomatik dengan kumpulan HTS walaupun kumpulan itu disenaraikan sebagai organisasi pengganas.
Menteri Luar Britain, Encik David Lammy, mengumumkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Syria.
“Kami mempunyai hubungan diplomatik untuk memastikan keperluan rakyat Syria dapat ditangani,” katanya.
Delegasi Perancis turut dijangka tiba di Damsyik untuk menilai keperluan mendesak penduduk Syria.
Sementara itu, Washington turut menyatakan pihaknya telah mengadakan “hubungan langsung” dengan HTS untuk memastikan kestabilan.
Sukarelawan di Damsyik juga memainkan peranan penting dengan menyediakan makanan panas kepada mangsa perang dan doktor yang memberikan rawatan di hospital.
“Kami mahu membantu mereka yang menderita akibat kezaliman rejim lama dan memastikan mereka dapat memulakan kehidupan baru,” kata relawan di Damsyik. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg