Topic followed successfully
Go to BHkuKenaikan kos jejas festival air songkran
Kenaikan kos jejas festival air songkran
Kenaikan kos jejas festival air songkran
BANGKOK: Daripada jualan pistol air yang berkurangan kepada rancangan perjalanan yang dibatalkan, kenaikan harga yang disebabkan oleh perang Iran telah menurunkan jangkaan perbelanjaan minggu depan semasa tahun baru tradisional Thailand, atau Songkran.
Festival air terbesar di dunia yang secara rasminya dijadualkan berlangsung selama tiga hari mulai 13 April, merupakan tarikan utama pelancong, kerana pengunjung yang berpakaian berwarna-warni menyembur air antara satu sama lain dalam ritual kuno yang melambangkan pembersihan, penghormatan dan nasib baik.
Tetapi perbelanjaan tahun ini dijangka merosot buat kali pertama sejak pandemik Covid-19, kata Encik Thanavath Phonvichai, Presiden Dewan Perniagaan Universiti Thailand.
Perbelanjaan semasa perayaan, yang biasanya merupakan salah satu tempoh perbelanjaan terbesar di Thailand, diramalkan akan jatuh 3.7 peratus kepada kira-kira 130 bilion baht (S$4.46 bilion), menurut satu tinjauan universiti, dengan 36 peratus responden merancang untuk berbelanja lebih sedikit.
Songkran biasanya menyaksikan ramai penduduk Bangkok pulang ke kampung halaman mereka dari ibu negara Thailand, membantu memacu perbelanjaan di seluruh negara.
Tetapi ada yang membatalkan rancangan kerana kos pengangkutan dan sara hidup yang lebih tinggi, sekali gus mengurangkan bajet isi rumah.
“Kos pengangkutan terlalu tinggi dan perjalanan tidak dapat dilakukan. Saya tinggal di sekitar Sukhumvit, jadi saya hanya akan meraikan Songkran di sana,” kata Encik Yuparat Kheowsakhu.
Satu tinjauan berasingan oleh Suan Dusit Poll mendapati bahawa 51.42 peratus daripada 1,272 responden yang ditinjau antara 31 Mac dengan 3 April merancang untuk tidak menyertai perayaan bagi menjimatkan wang.
Jualan telah menurun separuh tahun ini, kata Encik Saran Keavvichai, penjual pistol air di pasar borong Sampeng yang luas di Chinatown Bangkok.
“Jualan kami banyak merosot, jadi kami kurang memesan dan menjangka keuntungan lebih rendah.
“Tahun lepas jauh lebih baik. Kami kurang menyimpan stok, dan peniaga lain tidak datang untuk membeli untuk menjualnya semula. Mereka takut untuk melabur,” tambahnya.
Dalam pada itu, Kerajaan Thailand giat membuat persediaan untuk memudahkan perjalanan menjelang perayaan Songkran minggu depan, dengan memastikan orang ramai mendapat bekalan bahan api mencukupi, tambang pengangkutan yang stabil dan langkah keselamatan ditingkatkan di seluruh negara.
Jurucakap Kerajaan, Cik Ratchada Thanadirek, berkata kerajaan mengakui kebimbangan orang ramai terhadap peningkatan kos sara hidup dan kos pengangkutan awam serta akses kepada bahan api di sepanjang laluan perjalanan utama semasa tempoh perayaan. - Reuters

