Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KABINET BARU MALAYSIA

Kepimpinan Anwar akan diuji dalam undi percaya sidang Parlimen pertama

Dec 05, 2022 | 05:30 AM



DESAS-DESUS perlantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri mula tersebar beberapa hari sebelum ia diumumkan Jumaat lalu.



Pada mulanya ramai menyifatkan berita itu tidak berasas yang sengaja diputarbelitkan para penyokong parti pembangkang Perikatan Nasional (PN)



Ini kerana Datuk Ahmad Zahid masih menghadapi pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram di mahkamah.



Dalam kerajaan sebelum ini, semua Ahli Parlimen yang mempunyai pertuduhan kes mahkamah tidak dibenarkan menjawat kedudukan Menteri Kabinet.



Pelbagai andaian dan konspirasi politik dibincangkan secara terbuka di laman Internet dan media sosial sekiranya langkah kontroversial itu berlaku.



Tengkarah itu mendorong pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memberi amaran bahawa langkah melantik sesiapa yang masih menghadapi dakwaan mahkamah sebagai Menteri Kabinet akan menjejas kewibawaan kerajaan.



Spekulasi semakin membara apabila Tan Seri Annuar Musa, seorang pemimpin kanan Umno yang sebelum ini lantang mengkritik dan menggesa Dato Ahmad Zahid meletak jawatan tiba-tiba berubah nada.



Malah, beliau mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pemilihan wakil Umno menjadi anggota Kabinet mesti berdasarkan hierarki parti.



"Umno tidak harus dipandang enteng atau 'to be taken for granted'. Umno juga tidak harus diterima separuh separuh. Umpama semangkuk gulai, jangan kuah diambil tapi isi nak dibuang," tegas beliau



Kenyataan itu kelihatan bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri yang menegaskan bahawa mereka yang dilantik dalam Kabinetnya tidak akan diberi sebagai "ganjaran" sokongan membentuk kerajaan.



"Saya mahu mereka menyokong saya dengan dasar yang dibawa dan komitmen antirasuah, serta meningkatkan ekonomi negara," katanya.



Namun begitu, sumber dalaman Umno memberitahu Berita Harian, Perdana Menteri tidak boleh memutuskan siapa yang harus mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet.



Ini kerana kerajaan perpaduan sekarang walaupun dipimpin Pakatan Harapan (PH) hanya terbentuk dengan sokongan beberapa buah parti utama - BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)



"Oleh kerana itu, sekiranya BN sebagai parti kedua terbesar dalam kerajaan memutuskan Zahid Hamidi menjadi wakil mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri, ia harus diterima.



"Jika tidak ia akan menjejas perjanjian membentuk kerajaan bersama yang dipersetujui. Inilah realiti politik yang perlu dihadapi," kata sumber itu.



Ramai penganalisis berpendapat Datuk Anwar akan menghadapi risiko besar kerana kehadiran Datuk Ahmad Zahid dalam Kabinet menjejas imej kerajaan perpaduan pimpinannya.



Apatah lagi kerana langkah itu seakan-akan mengesahkan dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa wujudnya perjanjian sulit antara mereka untuk membentuk kerajaan gabungan sebelum Pilihan Raya Umum15 (PRU15) berlangsung.



Bagi pihak pembangkang yang dipimpin Tan Seri Muhyiddin Yasin, tengkarah ini bakal menjadi senjata ampuh untuk mempersoalkan ketelusan kerajaan baru itu.



Bagaimanapun dengan tiga kementerian penting dalam kerajaan dikuasai PH, tanggapan bahawa Kabinet dipengaruhi BN mungkin sukar dibuktikan.



Jawatan Menteri Kewangan akan juga menjadi tanggungjawab Datuk Anwar.



Dua orang kanan beliau dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik memimpin dua kementerian besar - Encik Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi dan Datuk Seri Saifuddin Nasution di Kementerian Dalam Negeri.



Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya diberi empat jawatan Menteri walaupun ia adalah parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam kerajaan perpaduan ini.



Para penganalisis politik yakin langkah itu bertujuan meredakan dakwaan pengaruh DAP dalam Kabinet.



Satu lagi perkembangan ketara ialah ketiadaan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mantan Menteri Pertahanan dalam Kabinet baru ini.



Mereka pernah dianggap sebagai kumpulan kluster Menteri yang tidak berpihak kepada Datuk Ahmad Zahid dalam kerajaan sebelum ini.



Sebaliknya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mantan Menteri Kewangan yang kalah dalam PRU15 dilantik semula sebagai senator untuk membolehkan beliau menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.



Apakah implikasi pembentukan Kabinet ini kepada kepimpinan Datuk Anwar?



Persoalan ini akan terjawab apabila beliau dijangka mengusulkan undi percaya di sidang pertama Parlimen pada 19 Disember untuk menguji keabsahan kerajaan perpaduan pimpinannya.



  • Penulis mantan wartawan kanan BH yang kini menetap di Kuala Lumpur.

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >