Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Kepimpinan Perikatan Nasional bidas Ismail Sabri

Oct 13, 2022 | 05:30 AM



DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob perlu bertanggung jawab penuh terhadap keputusan beliau menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada 10 Oktober lalu.



Kempimpinan Perikatan Nasional (PN) terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas kenyataan Datuk Ismail Sabri itu yang menyifatkan tindakan 12 menteri mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong membelakangkan institusi Perdana Menteri.



Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tindakan beliau dan 11 rakan lain selaras keputusan parti yang diwakili mereka yang tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.



"Saya menandatangani dan mengutus surat itu adalah seperti diputuskan PAS (Parti Islam SeMalaysia) dan Bersatu yang tidak mahu PRU15 diadakan. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pun selalu mengatakan dirinya adalah 'party man' (orang kuat parti). Saya hormat cara beliau menjawab.



"Maka saya pun sebagai 'party man', kena dengar kepada (keputusan) parti. Apabila parti kata tidak sesuai sekarang (PRU15), saya pun ikut sama tak sesuai (diadakan PRU15).



"Sama juga dengan beliau (Datuk Ismail Sabri), sekiranya Presiden dia (Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kata nak ada pilihan raya sekarang, maka beliau kena ikut," katanya pada sidang media Taklimat Op Banjir di Bukit Aman di sini, semalam.



Kelmarin, Datuk Seri Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan yang menganggap tindakan tidak wajar 12 menteri tersebut mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan, lebih-lebih lagi pelantikan beliau sebagai PM diperkenan Yang di-Pertuan Agong,



Sehubungan itu, katanya, kesan daripada tindakan menteri tersebut mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.



Kenyataan Datuk Ismail Sabri itu merujuk kepada kenyataan media Istana Negara sebelum ini yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.



Menurut Datuk Ismail Sabri kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia.



"Negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang. Seperti yang saya jelaskan dalam Perutusan Khas pembubaran Parlimen ke-14 ini adalah menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat," tambahnya.



Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, beliau yakin rakyat mengetahui alasan sebenar mengapa PM mahu mengadakan PRU15 dalam masa terdekat.



Katanya, keputusan PM tersebut tidak lain adalah berpunca daripada tekanan dan desakan oleh Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid.



"Pada masa ini, rakyat mahu kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan.



"Perikatan Nasional akan terus mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini. Ini merupakan antara sebab mengapa Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah melancarkan Skuad Prihatin Nasional khusus untuk berdepan bencana banjir semasa Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Pahang baru-baru ini, " katanya.



Sementara itu di Kota Kinabalu, Tan Sri Muhyiddin menyifatkan tindakan Datuk Ismail Sabri menyalahkan beliau dan 12 menteri PN sebagai punca diadakan PRU15 sebagai tidak bertanggungjawab.



Pengerusi PN itu berkata Perdana Menteri tidak sepatutnya menyalahkan sesiapa berhubung perkara itu, sebaliknya perlu bertanggungjawab terhadap apa yang sudah dilakukan.



"Ia sangat tidak bertanggungjawab apabila Perdana Menteri menyalahkan saya dan anggota Kabinet mengenai apa yang berlaku sekarang.



"Mereka tidak patut salahkan sesiapa, mereka yang bertanggungjawab. Kita tidak pertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang perkenan PRU15 atas budi bicara baginda kerana ia mengikut perlembagaan," katanya ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Bersatu Sabah, lewat malam kelmarin. 




"Saya menandatangani dan mengutus surat itu adalah seperti diputuskan PAS (Parti Islam SeMalaysia) dan Bersatu yang tidak mahu PRU15 diadakan. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pun selalu mengatakan dirinya adalah 'party man' (orang kuat parti). Saya hormat cara beliau menjawab.

"Maka saya pun sebagai 'party man', kena dengar kepada (keputusan) parti. Apabila parti kata tidak sesuai sekarang (PRU15), saya pun ikut sama tak sesuai (diadakan PRU15)."

- Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >