JAKARTA: Kementerian Perusahaan Milik Negara Indonesia akan melaksanakan skim kerja empat hari seminggu di pejabatnya, dengan harapan dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja.
“Kementerian sedang memuktamadkan peraturan itu sekarang,” kata Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia, Teknologi dan Pengurusan Maklumat, Encik Tedi Bharata, ketika ditemui selepas menghadiri peringatan Hari Senyap.
Kementerian juga sedang menyediakan wadah digital untuk menyokong skim kerja empat hari seminggu, yang menyaksikan lonjakan minat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Semakin banyak syarikat di seluruh dunia mencubanya, malah menjadikannya kekal. Ini bermakna pekerja bekerja empat hari dalam seminggu, biasanya selama 32 jam, tetapi masih mendapat gaji penuh.
Encik Bharata berkata hari cuti tambahan dijangka meningkatkan kesejahteraan pekerja, yang akan memberi kesan positif kepada prestasi kerja mereka di pejabat.
“Kesejahteraan adalah salah satu aspek yang perlu kita jaga untuk pekerja kita,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tempoh empat hari bekerja seminggu hanya disediakan untuk pekerja yang mencatatkan prestasi baik di pejabat.
“Kami amat berminat untuk meningkatkan produktiviti mereka. Justeru, kami perlu berinovasi melalui program baru, termasuk program yang sedang kami rancang untuk Kementerian Perusahaan Milik Negara,” katanya.
Menteri Perusahaan Milik Negara, Encik Erick Thohir, kali pertama mengumumkan rancangan memperkenalkan skim kerja empat hari minggu untuk kakitangan kementeriannya pada Mac. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg