Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes aktivis diserang asid: Indonesia penjara 4 anggota tentera
Kes aktivis diserang asid: Indonesia penjara 4 anggota tentera
Kes aktivis diserang asid: Indonesia penjara 4 anggota tentera
JAKARTA: Mahkamah tentera Indonesia pada 10 Jun menjatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun terhadap empat pegawai Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Ia susulan pembabitan mereka dalam serangan asid melibatkan seorang aktivis hak asasi manusia yang lantang mengkritik perluasan peranan tentera dalam pemerintahan negara itu.
Hakim Fredy Ferdian berkata seorang tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun; seorang lagi dua tahun enam bulan; manakala dua lagi masing-masing dihukum penjara dua tahun dan setahun enam bulan.
Beliau turut memerintahkan dua tertuduh utama diberhentikan secara tidak hormat daripada perkhidmatan tentera.
Menurut Hakim Fredy, serangan terhadap aktivis Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS), Encik Andrie Yunus, itu tidak dipengaruhi mana-mana “rantaian arahan” daripada pihak atasan tentera.
Mahkamah mendapati keempat-empat anggota tentera terbabit bersalah melakukan serangan berat secara terancang terhadap Encik Andrie yang juga Timbalan Penyelaras KontraS.
Peguam mewakili tertuduh berkata mereka sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Seorang lagi hakim, Encik Zainal, berkata kesemua tertuduh adalah anggota Badan Perisikan Strategik Tentera Nasional Indonesia (Bais TNI) dengan pangkat kapten, leftenan satu dan sarjan dua.
Menurut beliau, tertuduh pertama menerima hukuman paling berat kerana menjadi pelaku utama serangan selain menghasut anggota lain agar turut serta.
“Tertuduh kedua pula mencadangkan penggunaan asid, manakala tertuduh ketiga dan keempat terlibat secara pasif dengan menyertai serangan itu,” katanya.
Pendakwa raya sebelum ini menuntut semua tertuduh dihukum penjara dua tahun enam bulan.
Ketua Bais, Encik Yudi Abrimantyo, meletak jawatan pada Mac lalu dalam apa yang disifatkan jurucakap tentera sebagai “tanggungjawab moral” terhadap kejadian berkenaan.
Mahkamah turut mendapati serangan tersebut dirancang selepas tertuduh berasa marah dan tersinggung terhadap Encik Andrie.
Menurut hakim, kemarahan itu tercetus selepas Encik Andrie mengganggu satu mesyuarat tertutup ahli Parlimen di sebuah hotel yang turut dihadiri pegawai tentera.
Mesyuarat tersebut membincangkan pindaan undang-undang tentera yang membolehkan lebih ramai anggota tentera aktif dilantik ke jawatan awam.
Pindaan undang-undang yang diluluskan Parlimen Indonesia pada 2025 itu meningkatkan jumlah kementerian dan institusi awam yang boleh diisi anggota tentera aktif daripada 10 kepada 14.
Hakim turut berkata tertuduh marah kerana Encik Andrie menuduh pihak tentera menjadi dalang di sebalik bantahan besar-besaran di seluruh Indonesia pada Ogos 2025.
“Serangan itu berpunca daripada inisiatif sendiri dan dilakukan secara spontan oleh tertuduh,” katanya.
Serangan asid pada Mac lalu menyebabkan 20 peratus tubuh Encik Andrie melecur dan mata kanannya rosak teruk sehingga beliau hilang penglihatan pada mata tersebut.
Kes itu mencetuskan perhatian meluas di Indonesia dan menghidupkan semula kebimbangan mengenai keselamatan aktivis hak asasi manusia di negara berkenaan.
Encik Andrie sebelum ini bersama beberapa aktivis lain meminta perbicaraan dijalankan di mahkamah awam dan bukannya mahkamah tentera kerana bimbang berlaku usaha melindungi pihak tertentu.
Beliau juga enggan menghadiri prosiding mahkamah atas alasan kesihatan dan hilang kepercayaan terhadap sistem perbicaraan tentera.
Pertubuhan Amnesti Antarabangsa Indonesia mengkritik keputusan mahkamah dan menyifatkannya gagal memberikan keadilan sebenar kepada Encik Andrie.
Menurut organisasi itu, keputusan tersebut tidak mengambil kira kemungkinan penglibatan pihak lain atau rantaian arahan dalam serangan berkenaan.
“Keputusan ini tidak membawa keadilan kepada Andrie dan gagal mempertimbangkan penglibatan aktor lain atau kemungkinan arahan daripada pihak atasan,” ujar kenyataan Amnesty International Indonesia.
Pemerhati hak asasi manusia di Indonesia turut mempersoalkan sama ada dalang sebenar di sebalik serangan tersebut akan dikenal pasti.
Mereka berkata kes keganasan terhadap aktivis di Indonesia sering berakhir tanpa tindakan terhadap pihak yang dianggap bertanggungjawab di peringkat lebih tinggi. – Agensi berita.
