JAKARTA: Kematian tragis seorang pelatih perubatan Universiti Diponegoro, Semarang, Jawa Tengah, telah membuka mata masyarakat terhadap masalah buli yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar perubatan di Indonesia.
Dr Aulia Risma Lestari, 30 tahun, yang mengikuti program pakar bius Universiti Diponegoro di Hospital Besar Dr Kariadi, Semarang, Jawa Tengah, ditemui mati di bilik sewanya pada 12 Ogos.
Beliau dipercayai meragut nyawanya sendiri dengan memberikan suntikan ubat bius dengan dos tinggi kepada diri sendiri.
Polis sedang menyiasat dakwaan bunuh diri dan sama ada kemurungan, dikaitkan dengan kejadian buli yang direkodkan dalam diari mangsa, adalah antara faktor yang menyumbang kepada kematiannya.
Menteri Kesihatan Indonesia, Encik Budi Gunadi Sadikin, telah mengakui bahawa masalah buli bukanlah isu terpencil tetapi satu fenomena yang meluas di institusi pendidikan perubatan di seluruh negara.
Menurut beliau, terdapat banyak laporan yang diterima berkenaan kes buli dalam kalangan pelajar perubatan, yang telah menunjukkan tanda-tanda kemurungan serius sehingga mendorong kepada pemikiran untuk membunuh diri.
Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan menyeru agar budaya senioriti yang toksik dalam kalangan pelajar perubatan dihentikan serta-merta.
Beliau menegaskan bahawa terdapat kaedah pendidikan yang lebih saintifik untuk melahirkan pekerja kesihatan yang tahan lasak tanpa menyebabkan kemurungan dan pemikiran untuk membunuh diri dalam kalangan pelajar baru.
Bagi menangani isu itu, Kementerian Kesihatan Indonesia telah berjanji untuk bekerjasama rapat dengan pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap kes itu.
Buat sementara waktu, program residensi anestesiologi di Rumah Sakit Umum Pusat Dr. Kariadi (RSUP) di Semarang telah dihentikan sehingga siasatan selesai.
Kedua-dua pihak, Universiti Diponegoro dan hospital berkenaan, mengakui bertanggungjawab atas tragedi tersebut dan menyatakan komitmen mereka untuk memastikan situasi yang selesa dan selamat bagi semua saksi supaya mereka boleh memberi keterangan tanpa rasa takut.
Selain itu, Kementerian Kesihatan juga telah menjalankan satu kaji selidik pada April.
Ia melibatkan 12,100 pelatih perubatan di 28 hospital pengajar di bawah naungannya.
Hasil kajian tersebut menunjukkan seorang daripada lima pelatih perubatan mengalami kemurungan, dengan 0.6 peratus daripada mereka menunjukkan gejala kemurungan yang teruk.
Kematian tragis pelatih perubatan itu telah membuka pintu kepada pendedahan lebih banyak kes buli dalam kalangan pelatih perubatan di Indonesia.
Salah seorang bekas pelatih perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Encik Wildan’, mendedahkan beliau terpaksa menarik diri daripada program pendidikan perubatan pakar (PPDS) akibat kes buli yang teruk oleh rakan-rakan senior.
Keputusan Encik Wildan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan mengenai kekurangan pakar perubatan di Indonesia.
Menteri Kesihatan baru-baru ini menyatakan bahawa negara tersebut mungkin terpaksa mengambil pakar perubatan asing untuk mengisi kekosongan tersebut.
Encik Wildan berkongsi bahawa keluarganya mendesak beliau supaya berhenti daripada program tersebut setelah mengetahui tentang kes buli yang dialaminya.
Meskipun keputusan tersebut memberi kesan kepada cita-cita kerjayanya, beliau lebih mementingkan kesihatan mental dan kesejahteraan keluarganya.
Kematian Dr Aulia bukanlah kes buli pertama membabitkan doktor yang menjadi tajuk utama berita.
Pada Ogos 2020, Encik Albertus Berfan, 28 tahun, dari sekolah perubatan Universiti Airlangga, membunuh diri akibat didakwa dibuli oleh seniornya.
Dari Julai 2023 hingga awal Ogos 2024 ini, Kementerian Kesihatan menerima 356 laporan buli, termasuk bukan fizikal seperti ugutan, dipaksa bekerja pada waktu rehat atau masa yang tidak menentu dan diberi tugas tiada kaitan dengan kerja atau pelajaran.
Saringan kesihatan yang dijalankan kementerian pada Mac 2024 mendapati 2,716 petugas perubatan, atau 22.4 peratus daripada 12,121 warga perubatan yang dikaji, mengalami kemurungan.
Sebanyak 399 pegawai perubatan, atau 3 peratus, turut mengaku mempunyai niat mahu membunuh diri atau mencederakan diri sendiri dalam tempoh dua minggu sebelum saringan.
Hasil tinjauan bagaimanapun tidak menjelaskan punca kemurungan.
Kekurangan pakar perubatan di Indonesia telah menjadi masalah genting.
Encik Budi menyatakan Indonesia memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun untuk memenuhi keperluan pakar perubatan jika semua pelatih perubatan berjaya menamatkan pengajian tanpa sebarang gangguan.
Namun, situasi menjadi lebih rumit apabila ada di antara pelatih itu yang berhenti akibat tekanan mental atau buli.
Dalam satu mesyuarat bersama Suruhanjaya IX Dewan Perwakilan Rakyat pada Julai 2024, Encik Budi menekankan 285 hospital umum daerah di seluruh negara tidak mempunyai tujuh jenis pakar perubatan yang diperlukan untuk memenuhi standard operasi hospital.
Pakar itu termasuk dalam bidang obstetrik, perubatan dalaman, pediatrik, pembedahan, anestesiologi, patologi klinikal, dan radiologi.
Selain masalah kekurangan pakar, isu agihan doktor yang tidak sekata di seluruh Indonesia turut menjadi masalah besar.
Ini khususnya di kawasan pedalaman yang sukar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang mencukupi.
Budaya buli dalam kalangan pelatih perubatan bukan sesuatu yang baru.
Budaya itu kerap tersembunyi di sebalik alasan untuk ‘mendisiplinkan’ pelajar atau membina ketahanan mental.
Namun, realitinya, buli bukan sahaja menyebabkan tekanan mental, malah meninggalkan kesan trauma yang mendalam.
Seorang pelatih ortopedik dan traumatologi di Yogyakarta, Encik Marcelius Patria Prabaniswara, mendedahkan beliau sering menjadi mangsa buli fizikal dan lisan oleh seniornya sepanjang empat semester dalam program tersebut.
Beliau dihukum secara fizikal seperti ditampar, dipukul dengan objek, atau disuruh melakukan tekan tubi akibat kesalahan kecil seperti tidak membalas mesej atau panggilan telefon dengan segera.
Encik Marcelius akhirnya terpaksa berhenti daripada program tersebut pada 2022 kerana mengalami trauma dan pemikiran untuk membunuh diri.
Kini, beliau bekerja dalam industri kewangan, jauh daripada bidang perubatan yang pernah menjadi impiannya.
Kejadian itu menggesa perlunya tindakan lebih tegas dan menyeluruh untuk menangani masalah buli dalam kalangan pelatih perubatan di Indonesia.
Walaupun beberapa langkah telah diambil oleh pihak universiti dan hospital, seperti menghentikan sementara program residensi dan mengenakan tindakan disiplin terhadap pelaku buli, masalah itu memerlukan pendekatan lebih mendalam.
Pakar kesihatan dan aktivis menyarankan agar program sokongan psikologi diperluas dan disepadukan dalam sistem pendidikan perubatan.
Selain itu, penting juga untuk mewujudkan saluran aduan yang bebas dan selamat bagi pelatih perubatan yang menjadi mangsa buli untuk melaporkan kejadian tanpa rasa takut terhadap kesan tindak balas.
Menteri Kesihatan turut menyeru agar sistem pendidikan perubatan dirombak bagi menghapuskan budaya senioriti yang toksik.
Dengan adanya pendekatan pendidikan yang lebih saintifik dan memberi tumpuan pada kesihatan mental, diharapkan ia dapat melahirkan pakar perubatan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi malah sihat dari segi mental dan emosi.
Kes bunuh diri seorang pelatih perubatan di Semarang bukan sahaja mencerminkan kegagalan individu, malah ia juga mendedahkan kelemahan sistem pendidikan perubatan di Indonesia yang perlu diperbaiki dengan segera.
Isu buli yang berleluasa perlu ditangani dengan serius bagi memastikan generasi doktor yang akan datang dapat menamatkan pengajian mereka dengan selamat dan berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh dedikasi tanpa dibelenggu oleh trauma psikologi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg