PETALING JAYA: Setiap hari, secara purata sekitar 850 video TikTok di Malaysia dipadamkan kerana mengandungi unsur gangguan dan buli.
Berdasarkan data daripada gergasi media sosial itu, kira-kira 78,000 video di Malaysia yang mengandungi kandungan sedemikian telah dibuang oleh TikTok dalam tempoh tiga bulan pertama 2024.
Namun begitu, angka-angka tersebut mungkin hanya sebahagian kecil daripada gambaran keseluruhan mengenai masalah buli siber, menurut pakar kesihatan mental.
Mereka mencadangkan agar platform media sosial mengambil langkah tambahan untuk melindungi pengguna, termasuk mempercepatkan tindakan terhadap pembuli dalam talian dan memperbaiki pengesahan pengguna bagi mengelakkan pembuli daripada mencipta akaun baru.
Pada masa yang sama, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mendidik orang ramai mengenai cara untuk menjaga kesihatan mental mereka semasa dalam talian.
Isu buli siber telah menjadi perhatian baru-baru ini selepas kematian pempengaruh media sosial, Cik A Rajeswary, yang lebih dikenali sebagai Esha.
Pada 5 Julai, Esha ditemui mati selepas menjadi mangsa gangguan dan ancaman dalam talian di TikTok.
Di bawah dasar keselamatan dan kesopanan, garis panduan komuniti TikTok tidak membenarkan sebarang bentuk gangguan atau buli. Video yang mengandungi unsur-unsur tersebut akan dikeluarkan daripada platform tersebut.
Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Datuk Dr Andrew Mohanraj, berkata terdapat kemungkinan besar lebih banyak kes pengguna media sosial yang berani untuk membuli dan mengganggu orang lain.
“Adalah satu cabaran untuk menangani setiap kes buli dan gangguan dalam talian. Tetapi dengan adanya kecerdasan buatan (AI) bersama moderator manusia, seharusnya tidak terlalu sukar untuk mengenal pasti dan mengurangkan kandungan berbahaya,” kata pakar psikiatri tersebut.
Ahli psikologi klinikal, Cik Sanghamitra Gupta, berkata memadamkan video yang mengandungi gangguan dan buli adalah satu permulaan, tetapi banyak lagi kes yang masih tidak dilaporkan.
“Dengan purata 850 video buli diturunkan dalam sehari, video-video tersebut telah ditandai atau dilaporkan sebagai gangguan, kemudian melalui proses semakan dan akhirnya dipadamkan. Namun, pada masa video tersebut dipadamkan, kadang-kadang kerosakan telah pun berlaku,” katanya.
TikTok dilaporkan mempunyai 28.68 juta pengguna berumur 18 tahun ke atas di Malaysia pada awal 2024, berdasarkan sumber pengiklanan syarikat induknya, ByteDance.
Dalam garis panduan komuniti TikTok, platform ini ingin memastikan setiap pengguna boleh berkongsi pandangan mereka tanpa rasa takut untuk dihina atau dibuli.
Presiden Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Encik Joel Low, berkata pengesahan yang lebih baik akan membantu mencegah pembuli dalam talian daripada mendaftar akaun baru untuk mengganggu orang lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengumumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meminda Kanun Keseksaan bagi memperkenalkan peruntukan khusus untuk kesalahan buli siber.
Platform juga akan dikenakan peraturan dengan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg