JAKARTA: Pengamal kesihatan Indonesia, Cik Tifauzia ‘Tifa’ Tyassuma, menghadapi prosiding pertama perbicaraan kes fitnah pada 2 Julai susulan dakwaannya bahawa diploma universiti mantan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo adalah palsu.

Dalam prosiding di Mahkamah Daerah Jakarta Timur, pendakwa raya mendakwa Cik Tifa mencemarkan nama baik Encik Jokowi menerusi beberapa hantaran media sosial dan kemunculan dalam program bual bicara sepanjang 2025 yang mempersoalkan ketulenan diploma ijazah sarjana muda pemimpin itu.

“Daripada 28 hantaran media sosial yang diteliti Jokowi, lima mengandungi dakwaan tertuduh bahawa diploma sarjana muda beliau adalah palsu,” kata pendakwa raya di hadapan panel tiga hakim dalam prosiding yang disiarkan secara langsung.

Cik Tifa didakwa mengikut Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik (ITE) serta Kanun Jenayah Indonesia (KUHP), yang membawa hukuman maksimum enam tahun penjara jika sabit kesalahan.

Selepas prosiding, Cik Tifa mempertahankan tindakannya dan berkata beliau hanya memberikan pandangan profesional berdasarkan gambar diploma yang tersebar dalam talian dan didakwa milik Encik Jokowi dari Universiti Gadjah Mada (UGM).

“Saya hanya mengulas satu aspek yang berada dalam bidang kepakaran saya iaitu gambar tersebut. Saya menggunakan pengetahuan mengenai anatomi morfologi untuk memberikan penjelasan,” katanya kepada wartawan.

Cik Tifa sebelum ini sering berkongsi pandangannya mengenai isu tersebut di platform X dan Instagram, di mana beliau mempunyai lebih 222,000 pengikut di X dan 71,000 pengikut di Instagram.

Dalam profil media sosialnya, Cik Tifa memperkenalkan dirinya sebagai ahli epidemiologi, saintis neurologi, pengamal kesihatan dan penceramah awam.

Beliau mula dikenali ramai ketika pandemik Covid-19 pada 2020 selepas lantang mengkritik pengendalian krisis kesihatan oleh pemerintah Indonesia.

Dakwaan CikTifa turut selari dengan kenyataan mantan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Encik Roy Suryo, serta pakar forensik digital, Encik Rismon Sianipar, yang turut mempertikaikan ketulenan diploma Encik Jokowi.

Kontroversi mengenai diploma Encik Jokowi sebenarnya sudah berlarutan sejak kempen pemilihan semula beliau pada 2019 dan beberapa kali kembali menjadi perhatian umum.

Isu itu turut mencetuskan pelbagai tindakan undang-undang termasuk saman sivil pada 2022, laporan polis dan siasatan terhadap beberapa individu tahun lalu.

Walaupun polis Indonesia pada Julai 2025 menyimpulkan diploma Encik Jokowi adalah tulen selepas semakan dilakukan, Encik Roy dan Cik Tifa terus mempersoalkan kesahihan dokumen tersebut.

Mereka juga mencabar Encik Jokowi supaya menunjukkan diploma asalnya secara terbuka kepada umum.

Pada 19 Jun lalu, Cik Tifa dan Encik Roy ditahan polis Jakarta dalam perkembangan yang dianggap peningkatan besar dalam pertikaian berpanjangan itu.

Encik Roy kemudian memfailkan permohonan praperbicaraan di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan bagi mencabar kesahihan penahanannya.

Susulan proses tersebut, perbicaraan kes fitnah melibatkan Encik Roy masih belum bermula sementara menunggu keputusan mahkamah mengenai permohonannya.

Prosiding praperbicaraan Encik Roy diteruskan pada 2 Julai.

Peguam Encik Jokowi, Encik Yakup Hasibuan, berkata anak guamnya bersedia hadir ke mahkamah dan menunjukkan diploma asal sekiranya diperlukan.

“Jika diminta mahkamah, beliau bersedia memberikan keterangan dan mengemukakan diploma itu sebagai bukti,” katanya selepas prosiding.

Kes tersebut mendapat perhatian meluas di Indonesia kerana melibatkan mantan presiden negara itu dan beberapa tokoh terkenal yang lantang mengkritik pemerintah.

Penganalisis melihat kes itu turut mencerminkan ketegangan antara kebebasan bersuara dengan undang-undang fitnah siber di Indonesia yang sering digunakan terhadap pengkritik pemerintah.

Undang-undang ITE sebelum ini beberapa kali menerima kritikan pertubuhan hak asasi manusia yang mendakwa ia terlalu luas dan boleh digunakan untuk menyekat pandangan kritikal di media sosial.

Walaupun begitu, pihak pendakwa raya menegaskan tindakan terhadap Cik Tifa dibuat berdasarkan dakwaan penyebaran maklumat yang dianggap mencemarkan reputasi dan maruah seseorang.

Perbicaraan kes itu dijadual disambung semula pada 9 Julai ini. – Agensi berita.