JAKARTA: Mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo turun padang untuk memberi sokongan kepada calon-calon Koalisi Indonesia Maju (KIM) menjelang Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) yang dijadualkan pada 27 November.
Tindakan itu diambil sebagai usaha terakhir memperkuat peluang kemenangan calon pilihannya di kawasan utama seperti Jakarta dan Jawa Tengah, yang dianggap sebagai medan tempur penting.
Pada 16 November, Encik Jokowi menyertai perarakan kempen di Purwokerto untuk menyokong calon Gabenor dan Timbalan Gabenor Jawa Tengah, Encik Ahmad Luthfi dan Encik Taj Yasin.
Pasangan itu adalah wakil daripada KIM, yang turut menyokong kemenangan Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, iaitu anak sulung Encik Jokowi.
Encik Jokowi dilihat menaiki jip putih terbuka bersama Encik Luthfi dan Encik Yasin sambil mengedarkan kemeja-T yang merakam gambar mereka kepada para penyokong yang hadir.
“Saya datang kerana saya menyokong mereka,” kata Encik Jokowi kepada wartawan.
Encik Jokowi turut hadir dalam acara sokongan untuk Encik Ridwan Kamil, calon Gabenor Jakarta di bawah parti Golkar, bersama pasangannya Encik Suswono daripada Parti Keadilan Sejahtera (PKS).
Dalam kempen itu, Encik Jokowi memuji Encik Ridwan sebagai pemimpin yang berpengalaman berdasarkan rekodnya sebagai mantan Gabenor Jawa Barat dan Datuk Bandar Bandung.
“Beliau sangat layak memimpin Jakarta dengan cabaran-cabaran yang ada,” ujar Encik Jokowi.
Encik Jokowi turut menekankan latar belakang pendidikan Encik Ridwan, yang merupakan lulusan bidang seni bina di Institut Teknologi Bandung (ITB) dan memiliki ijazah sarjana dalam reka bentuk bandar dari Universiti California, Berkeley.
“Jakarta perlukan pemimpin yang memahami perancangan dan reka bentuk bandar, dan Ridwan Kamil memiliki kelayakan itu,” tambahnya.
Namun, sokongan Encik Jokowi terhadap calon KIM berlaku dalam suasana politik yang kompleks.
Tinjauan terbaru menunjukkan pasangan Ridwan-Suswono mula kehilangan keunggulan di Jakarta.
Pasangan itu kini disaingi calon Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Encik Pramono Anung dan Encik Rano Karno, yang telah meraih sokongan besar, termasuk daripada mantan Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan.
Keadaan yang hampir serupa turut berlaku di Jawa Tengah.
Pasangan Luthfi-Yasin menghadapi persaingan sengit dengan bekas Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Encik Andika Perkasa dan Encik Hendrar Prihadi, yang didokong PDI-P, parti terbesar di kawasan tersebut.
Menurut Encik Yoes Kenawas, penganalisis politik dari Lembaga Survei Indonesia (LSI), walaupun Encik Jokowi masih mempunyai pengaruh yang kuat, terutama di Jawa Tengah, sokongannya tidak semestinya menjamin kemenangan calon KIM.
“Sokongan Jokowi di Jakarta, misalnya, mungkin tidak begitu signifikan kerana pengaruh tokoh seperti Anies Baswedan dan Ahok masih besar,” jelas Yoes.
Encik Yoes turut memberi amaran bahawa penglibatan Encik Jokowi boleh mencetuskan persepsi bahawa calon KIM bergantung kepada “bantuan daripada pihak atasan,” yang boleh menjadi isu sensitif bagi pengundi kelas menengah di Jakarta.
Sementara itu, Encik Kennedy Muslim, penyelidik kanan di Indikator Politik, menyatakan bahawa pencarian sokongan daripada tokoh berpengaruh seperti Encik Jokowi menunjukkan perubahan strategi kempen.
“Dalam keadaan yang sangat sengit, sokongan seperti ini amat penting untuk menarik pengundi yang masih belum membuat keputusan,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg