SAN FRANCISCO: Seorang bekas pekerja OpenAI yang dituduh memasang peranti rakaman di pejabat syarikat itu di San Francisco, diperintah supaya ditahan tanpa ikat jamin pada 19 Oktober selepas seorang hakim persekutuan menganggapnya berisiko melarikan diri.

Hakim Daerah Amerika Syarikat, Encik Alex Tse, memutuskan bahawa wujud risiko “nyata” Abdulrahman Alfozan, 35 tahun, akan gagal menghadirkan diri ke mahkamah, sekali gus menolak permohonan peguamnya supaya Alfozan dibebaskan.

Pihak pendakwa raya memetik hubungan kerap Alfozan dengan seorang ahli kerabat diraja Arab Saudi yang tidak dinamakan ketika berhujah membantah pembebasannya.

Alfozan hadir di mahkamah pada 19 Oktober dengan memakai pakaian penjara berwarna jingga dan langsung tidak bersuara sepanjang perbicaraan selama sejam itu.

Alfozan ditahan pada 9 Oktober dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atas tuduhan memintas komunikasi lisan.

Dalam dokumen yang difailkan pada 18 Oktober, Pejabat Pendakwa Raya Amerika mendakwa Alfozan – yang telah bekerja di OpenAI sejak 2025 – kerap berhubung dengan seorang ahli kerabat diraja Arab Saudi.

Meskipun aduan terhadap Alfozan tidak melibatkan tuduhan aktiviti perisikan, Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika, Encik Jay Clayton, dalam satu kenyataan minggu lalu memberi bayangan bahawa kes itu mempunyai implikasi terhadap keselamatan negara.

“Siasatan pihak pemerintah masih dijalankan dan mungkin mengakibatkan pertuduhan serius lain,” menurut dokumen mahkamah baharu itu, sambil menambah bahawa perkara berkenaan adalah “satu kebimbangan bagi keselamatan negara Amerika”.

“Sama ada defendan merakam mesyuarat OpenAI bagi memperkasa dirinya dengan meningkatkan prospek perniagaan sendiri, atau untuk membantu pemerintah asing, atau kedua-duanya sekali, perbuatannya merupakan satu jenayah,” tambah dokumen itu.

Ahli kerabat diraja Arab Saudi yang tidak dinamakan itu beberapa kali cuba merekrut jurutera berkenaan bagi satu inisiatif kecerdasan buatan (AI) di Arab Saudi.

“Arab Saudi lebih memerlukan kamu berbanding Amerika,” tulis individu itu dalam satu perbualan WhatsApp, menurut dokumen berkenaan. 

Alfozan membalas dengan simbol ‘100’ – lazimnya digunakan bagi menunjukkan persetujuan.

Sebelum ditahan, Alfozan membeli tiket sehala ke ibu negara Arab Saudi, Riyadh, bagi penerbangan 12 Oktober, dengan pihak pendakwa raya berhujah bahawa tindakan itu membuktikan dia berisiko melarikan diri.

Peguam Alfozan, Encik William Pernik, bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dengan berkata Alfozan mempunyai temu duga pewarganegaraan Amerika yang dijadualkan pada 6 November.

Isteri dan bayi Alfozan telah meninggalkan Amerika pada 10 Oktober, sehari selepas dia ditahan.

Menurut pihak pendakwa raya, mereka menggunakan tiket yang dibayar oleh seorang pegawai tentera Arab Saudi, sambil menambah bahawa Amerika dan Arab Saudi tidak mempunyai perjanjian ekstradisi (penghantaran balik penjenayah).

Peguam Alfozan berhujah di mahkamah bahawa anak guamnya tidak berisiko melarikan diri kerana sedang berusaha menjadi warga Amerika, selain bersedia mencagarkan aset bernilai AS$1 juta (kira-kira $1.28 juta) bagi ikat jaminnya.

Pihak pendakwa raya bagaimanapun berkata ia mungkin lebih menguntungkan buat Alfozan jika dia pulang ke Arab Saudi.

“Sebaik sahaja dia pulang, tiada cara untuk membawanya kembali (ke Amerika), kes ini akan lenyap, dan sebab itulah kes ini adalah kes yang lebih besar,” kata Encik Tse di bilik mahkamah.

Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 6 November.

Alfozan dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam sebuah bilik persidangan larangan, di mana dia dilihat memandang ke belakang televisyen tempat peranti rakaman USB yang dibungkus dengan tisu tandas telah diletakkan, menurut Jabatan Keadilan (DOJ) pada minggu lalu.

Penahanan dan dakwaan itu berlaku di tengah-tengah persaingan sengit global untuk menguasai bidang AI. – AFP.