Syarikat guaman di sini menganggap pelanggaran dasar kecerdasan buatan generatif (GenAI) sebagai kesalahan yang boleh menyebabkan peguam terlibat dipecat, berikutan satu kes penting di Mahkamah Tinggi yang mengarahkan seorang peguam membayar kos $800 kerana memetik satu kes tidak wujud yang dijana AI.
Beberapa firma yang dihubungi The Business Times berkata pelanggaran garis panduan AI boleh dianggap sebagai isu disiplin yang serius, dan boleh menyebabkan akses peranti disekat sehinggalah kepada pemecatan.
Cik Stephanie Yuen Thio, rakan kongsi pengurusan bersama di TSMP Law, berkata kunci kepada dasar AI firma guaman itu ialah peguam mesti terus memenuhi tanggungjawab profesional mereka.
“AI, seperti mana-mana perisian lain yang kami gunakan, hanyalah alat; dan menjadi tanggungjawab kami memastikan produk kerja akhir adalah tepat dan sesuai,” jelas beliau.
Peguam yang melanggar dasar itu akan dianggap melanggar syarat pekerjaan dan akan mendapat “akibatnya”, tambahnya.
Di Withers KhattarWong, ketidakpatuhan dasar AI boleh mengakibatkan tindakan tatatertib, bermula daripada latihan semula dan akses terhad kepada peranti, kepada sekatan rasmi di bawah prosedur sumber manusia dan pematuhannya.
“Prinsipnya jelas,” kata Encik Chenthil Kumarasingam, ketua bahagian serantau firma itu untuk penyelesaian pertikaian di Asia.
“Peguam tetap bertanggungjawab secara peribadi atas kerja mereka, sama ada AI digunakan atau tidak,” tambahnya.
Begitu juga firma Drew & Napier, yang menganggap pelanggaran AI “sebagai mana-mana pelanggaran lain dan (berurusan dengannya) mengikut dasar tegas, yang boleh mengakibatkan tindakan tatatertib”, kata ketua pegawai teknologi, Encik Rakesh Kirpalani.
Firma-firma guaman itu menyatakan demikian menyusuli penghakiman Mahkamah Tinggi pada 29 September yang menyaksikan Penolong Pendaftar Tan Yu Qing mendapati peguam bagi pihak yang menuntut, telah bertindak “tidak wajar, tidak munasabah dan cuai” dengan memetik pihak berkuasa rekaan yang dihasilkan oleh GenAI dalam penghujahan bertulis.
Peguam pihak yang menuntut, Lalwani Anil Mangan daripada DL Law Corporation, pada mulanya mencirikan kesilapan itu sebagai “bersifat perkeranian” atau “kesilapan ketika menaip” dalam surat-menyuratnya dengan mahkamah.
Namun, beliau mengakui kes itu “tidak wujud” hanya selepas disoal semasa perbicaraan pada 22 Julai.
Encik Lalwani kemudian mendedahkan, seorang peguam muda telah menggunakan aplikasi AI untuk menjana petikan itu, yang gagal disahkannya sebelum memfailkan penyerahan bagi pihak anak guamnya.
Cik Tan memerintahkan Encik Lalwani membayar sendiri kos defendan $800 – berasingan daripada kos biasa permohonan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg