Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin: Pendakwa mesti serba boleh tangani jenayah berasas AI

Perkasa diri dalam bidang teknologi, kerjasama dengan rakan antarabangsa
Sep 8, 2025 | 6:07 PM
Edwin Tong
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, berucap di persidangan dan mesyuarat agung tahunan ke-30, Persatuan Pendakwa Raya Antarabangsa di Hotel Shangri-La Singapura, pada 8 September. - Foto ST

Peningkatan jenayah dalam talian dan kemajuan kecerdasan buatan (AI) menimbulkan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini bagi pendakwa dan sistem keadilan jenayah di seluruh dunia, kata Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, pada 8 September.

Cabaran tersebut menuntut pendakwa supaya menjadi lebih serba boleh, mengamalkan pendekatan pelbagai disiplin dan inovatif, serta memperkukuh kerjasama antarabangsa, kata Encik Tong, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri).

Encik Tong berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama semasa persidangan dan mesyuarat agung tahunan ke-30 Persatuan Pendakwa Raya Antarabangsa di Hotel Shangri-La Singapura.

Lebih 450 pendakwa daripada sekitar 90 negara hadir di persidangan anjuran Pejabat Peguam Negara (AGC), yang akan berakhir pada 10 September, lapor The Straits Times (ST).

Di majlis perasmian pada 7 September, Presiden Tharman Shanmugaratnam, membicarakan tentang pelanggaran undang-undang antarabangsa serta bagaimana jurang keadilan berskala besar boleh melemahkan kestabilan, dan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam secara lebih meluas.

Pada 8 September, Encik Tong menekankan keperluan bagi pendakwa agar memperkasa diri dengan kemahiran dalam bidang teknologi.

Ini selain bekerjasama dengan rakan antarabangsa bagi menangani jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan.

“Kita sedang menyaksikan peningkatan jenayah kewangan di peringkat sejagat seperti penipuan, pengubahan wang haram dan penipuan sekuriti,” kata Encik Tong.

Menurut anggaran Polis Antarabangsa (Interpol), antara AS$2 trilion ($2.57 trilion) dengan AS$3 trilion hasil daripada dapatan haram telah disalur melalui sistem kewangan sejagat setiap tahun, jelas Encik Tong.

Di Singapura, $456.4 juta lesap akibat penipuan pada separuh pertama 2025.

Encik Tong berkata trend jenayah itu berlaku serentak dengan perkembangan teknologi yang pesat.

Aplikasi AI Generatif (Gen AI) seperti ChatGPT, Gemini dan Copilot membolehkan pengguna menjana teks, gambar dan video, dengan mudah. 

Dengan kemajuan pada masa akan datang, ia dijangka mengubah cara kerja serta mewujudkan peluang baru.

Namun, teknologi itu turut mengurangkan halangan bagi melakukan jenayah dengan ketara.

Gen AI memudahkan penjenayah mencipta e-mel pancingan data (phishing) yang meyakinkan dengan gaya dan nada rakan sekerja serta agensi pemerintah, atau mereka mesej suara pemalsuan mendalam (deepfake) yang hampir sama dengan suara orang tersayang, jelas Encik Tong.

Teknologi turut memperluas skala jenayah rentas sempadan, kata beliau.

Pasukan Polis Singapura (SPF) pada awal 2025 telah bekerjasama dengan rakan polis di Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Thailand dalam satu operasi membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian.

Menerusi operasi tersebut, 435 individu telah diberkas, dengan pegawai merampas bahan penyalahgunaan seksual kanak-kanak, termasuk yang dihasilkan menggunakan alat Gen AI.

Justeru, adalah penting bagi pendakwa untuk sentiasa mengikuti perkembangan teknologi supaya dapat memahami cara teknologi digunakan dalam kegiatan jenayah, ujar Encik Tong.

Beliau menambah bahawa para pendakwa juga perlu menjalin kerjasama dan perkongsian antarabangsa bagi menangani jenayah rentas sempadan dengan berkesan.

“Dalam dunia halangan untuk melakukan jenayah semakin berkurang setiap hari, kerana dipacu oleh AI dan teknologi, kita benar-benar tidak mampu untuk hanya bergantung pada usaha penguatkuasaan sendiri,” katanya.

Kerjasama boleh mengambil pelbagai bentuk, termasuk persidangan bagi perkongsian amalan terbaik, perjanjian dua hala untuk memperkukuh perkongsian rasmi, serta bantuan undang-undang bersama, antaranya perkongsian maklumat bagi memudahkan siasatan rentas sempadan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg