Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan banjir di Riau perlu baik pulih prasarana

Jan 15, 2024 | 1:11 PM
PERLU BAIKI PRASARANA: Kesan banjir yang sering berlaku menjejas keadaan keselamatan prasarana dan perlu segera diperbaiki seperti yang berlaku di Jalan Rangau, Desa Petani, Kecamatan Bathin Solapan, Bengkalis, Riau, pada 7 Januari 2024.
PERLU BAIKI PRASARANA: Kesan banjir yang sering berlaku menjejas keadaan keselamatan prasarana dan perlu segera diperbaiki seperti yang berlaku di Jalan Rangau, Desa Petani, Kecamatan Bathin Solapan, Bengkalis, Riau, pada 7 Januari 2024. - Foto TENTERA NASIONAL INDONESIA

JAKARTA: Beberapa minggu banjir di Riau dan kerosakan rangkaian pengangkutan telah mendorong pihak berkuasa bencana Indonesia untuk segera menilai semula keselamatan bangunan awam dan rangkaian pengangkutan di tengah-tengah jangkaan cuaca yang lebih ekstrem akan datang.

Lebuh Raya Trans-Sumatera Timur, dari wilayah Aceh paling utara di Sumatera ke hujung selatan pulau itu di Lampung, telah terputus sejak dua minggu lalu akibat banjir di Kabupaten Pelalawan, wilayah Riau.

Setakat Ahad, 14 Januari, sekurang-kurangnya 12 kilometer bahagian Pelalawan lebuh raya itu ditenggelami air, menurut laporan media.

Banjir itu, sedalam antara 50 sentimeter hingga 130 sentimeter, memerangkap beberapa trak dan kenderaan berat dan menyebabkan sebahagian besar rangkaian pengangkutan Sumatera tergendala.

Agensi Kerja Raya dan Perumahan Riau mendakwa perlu menunggu Kementerian Kerja Raya dan Perumahan untuk memulakan kerja-kerja pembaikan di jalan negara yang terletak di bawah bidang kuasa kementerian itu, lapor The Jakarta Post.

Banjir di Sumatera Barat merosakkan Jambatan Kiambang, yang menghubungkan ibu kota provinsi Padang ke Pekanbaru, ibu kota wilayah Riau.

Insiden itu mendapat perhatian Menteri Kerja Raya dan Perumahan, Encik Basuki Hadimuljono, yang melawat Sumatera Barat pada Jumaat lalu untuk menyelia kerja-kerja pembaikan jambatan itu.

Hujan lebat sejak beberapa hari lalu turut menyebabkan Sungai Cikapundung di Jawa Barat pecah tebingnya, membanjiri sebahagian wilayah Kabupaten Bandung di wilayah itu.

Menurut Badan Mitigasi Bencana (BPBD) Jawa Barat, lebih 4,000 rumah ditenggelami air banjir, dengan kedalaman antara 30 hingga 170 sentimeter, menjejas kira-kira 25,000 penduduk di lima daerah di wilayah itu.

“Sehingga petang Jumaat, banjir mula surut. Majoriti penduduk yang terjejas banjir tidak perlu dipindahkan,” kata jurucakap BPBD Jawa Barat, Encik Hadi Rahmat Hardjasasmita pada Jumaat, seperti dipetik oleh kompas.id.

Insiden baru-baru ini telah memaparkan kegagalan lama Indonesia untuk memastikan prasarananya dapat menahan serangan cuaca ekstrem berkala negara itu, yang telah menjadi semakin tidak menentu di tengah-tengah masalah alam sekitar global.

“Pemerintah perlu melakukan penilaian yang jujur. Kita tidak boleh selalu menyalahkan cuaca,” kata pakar kaji cuaca Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN), Encik Edvin Aldrian, pada 14 Januari.

“Apabila melibatkan banjir, Indonesia mesti mempunyai daya tahan yang lebih baik kerana akan ada banjir yang lebih besar pada masa akan datang.”

Bagi tujuan ini, beliau menggesa pihak berkuasa memastikan longkang yang mengalir di sepanjang lebuh raya, terutamanya di sepanjang pantai utara Jawa dan pantai timur Kalimantan, berfungsi dan tidak tersumbat.

Sementara itu, pakar pengurusan risiko bencana, Encik Mizan Bisri, berkata masalah terbesar yang menggugat kesiapsiagaan bencana Indonesia ialah “perancangan yang lemah” dan “penyelewengan”.

“Tetapi masalah ini bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia adalah akibat perancangan yang lemah dan akses kepada data saintifik untuk setiap jenis bencana, tidak diagihkan secara sama rata dan terdapat masalah pengawasan kerana kekurangan bajet,” katanya. – Agensi berita.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg