Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keselamatan dipertingkat di Katedral Cologne pada Krismas ekoran ancaman serangan

Dec 24, 2023 | 5:58 PM
TINGKAT KESELAMATAN: Polis Jerman telah meningkatkan kawalan keselamatan di Katedral Cologne berikutan tanda-tanda serangan yang dirancang untuk malam Tahun Baru dan susulan amaran pemerintah dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai peningkatan ancaman pengganasan oleh kumpulan ekstremis Islam.
TINGKAT KESELAMATAN: Polis Jerman telah meningkatkan kawalan keselamatan di Katedral Cologne berikutan tanda-tanda serangan yang dirancang untuk malam Tahun Baru dan susulan amaran pemerintah dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai peningkatan ancaman pengganasan oleh kumpulan ekstremis Islam. - Foto REUTERS

BERLIN: Polis Jerman berkata pada 23 Disember bahawa mereka telah meningkatkan kawalan keselamatan di Katedral Cologne berikutan tanda-tanda serangan yang dirancang untuk malam Tahun Baru dan susulan amaran pemerintah dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai peningkatan ancaman pengganasan oleh kumpulan ekstremis Islam.

Polis dalam satu kenyataan berkata bahawa mereka akan menggunakan anjing pengesan untuk memeriksa katedral tersebut selepas misa malam, atau evening mass, dan kemudian akan menutupnya.

Pada malam 24 Disember, sehari sebelum Krismas, mereka akan menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas semua pengunjung dan menggalak orang ramai untuk hadir lebih awal.

Polis berkata mereka tidak dapat menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara ini memandangkan siasatan yang sedang dijalankan.

Akhbar Jerman Bild sebelum ini melaporkan bahawa pihak berkuasa keselamatan di Austria, Jerman dan Sepanyol telah menerima isyarat kumpulan ekstremis Islam mahu melakukan serangan semasa perayaan Krismas dan Tahun Baru.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Menteri Dalam Negeri, Cik Nancy Faeser, telah memberi amaran tentang peningkatan ancaman keganasan ekstremis Islam di Jerman dan tempat lain di Eropah ekoran perang Israel-Hamas yang telah meningkatkan risiko radikalisasi.

Polis Austria dalam satu kenyataan berkata mereka meningkatkan kawalan keselamatan di gereja dan bazar Krismas memandangkan keadaan berjaga-jaga yang tinggi.

“Memandangkan pengganas di seluruh Eropah menggesa serangan ke atas acara Kristian, terutamanya sekitar 24 Disember, pihak berkuasa keselamatan telah mengambil langkah perlindungan yang sepadan di ruang awam,” kata polis.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol mengumumkan pada awal Disember pengukuhan langkah keselamatan mulai 18 Disember untuk cuti Krismas, dengan amaran antipengganasan pada tahap 4 atau “berisiko tinggi”, seperti yang berlaku sejak Jun 2015. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg