Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketegangan baru di Timur Tengah: Perbezaan pendekatan Trump dengan sekutu lama

Negara Teluk kini gesa pendekatan yang lebih tegas terhadap Israel dan lebih ‘lunak’ terhadap Iran, berbeza dengan dasar keras Trump semasa penggal pertama
Jan 20, 2025 | 5:30 AM
Seorang wanita berjalan melewati poster-poster tebusan yang diculik semasa serangan maut pada 7 Oktober 2023 oleh Hamas, di Tel Aviv, Israel, pada 26 November 2024. 
Seorang wanita berjalan melewati poster-poster tebusan yang diculik semasa serangan maut pada 7 Oktober 2023 oleh Hamas, di Tel Aviv, Israel, pada 26 November 2024.  - Foto REUTERS

WASHINGTON: Ketika Encik Donald Trump bersiap untuk kembali ke Rumah Putih, negara-negara Teluk yang kaya dengan minyak menyambut kembalinya mantan presiden itu untuk kali kedua.

Namun, kali ini, hubungan antara Encik Trump dengan negara itu dilihat berbeza, dengan perbezaan jelas mengenai isu-isu utama seperti Israel dan Iran.

Walaupun tidak dijangka berlaku ketegangan besar, negara Teluk, termasuk Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), kini menggesa pendekatan yang lebih tegas terhadap Israel dan lebih ‘lunak’ terhadap Iran, berbeza dengan dasar keras yang diambil oleh Encik Trump semasa penggal pertama.

Encik Trump dijangka kembali menerajui Rumah Putih dengan strategi yang menekankan penguatkuasaan kepentingan Amerika di peringkat global.

Fokus utama kempen beliau adalah memerangi ancaman terhadap kepentingan Amerika dan mempromosikan dasar-dasar yang mengutamakan hegemoni Amerika. Pelantikan Trump dijanga memberi tumpuan semula kepada dasar luar beliau yang keras, terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan Timur Tengah.

Seperti yang dinyatakan dalam artikel oleh Foreign Policy, Encik Trump telah menunjukkan bahawa pentadbirannya akan mengambil pendirian tegas terhadap isu kritikal di Timur Tengah, termasuk dalam soal perlakuan Hamas terhadap tebusan.

Beliau memberi amaran bahawa jika tebusan-tebusan yang ditawan di Gaza tidak dibebaskan menjelang pelantikannya, akan ada “balasan yang hebat”.

Keperluan Kepimpinan AS di Timur Tengah dan Pendekatan Terhadap Israel

Sebagai permulaan, salah satu gesaan yang paling jelas datang dari Putera Turki al-Faisal, mantan ketua perkhidmatan perisikan Arab Saudi.

Dalam satu surat terbuka kepada Encik Trump yang diterbitkan pada November lalu di akhbar The National, Abu Dhabi Putera Turki menyatakan bahawa “Tuhan telah menyelamatkan nyawa anda” dan berharap Encik Trump akan meneruskan misi keamanan yang telah dimulakan pada penggal pertama.

Hal ini merujuk kepada Perjanjian Abraham, yang menyaksikan beberapa negara Arab menjalin hubungan dengan Israel.

Dalam surat tersebut, Putera Turki menekankan bahawa kepimpinan Amerika adalah penting dalam memastikan keseimbangan antara kebimbangan kemanusiaan dengan kepentingan strategik.

“Kepimpinan yang teguh yang mengimbangi kepentingan kemanusiaan dan strategik diperlukan di kawasan ini,” kata Encik Anwar Gargash, seorang penasihat kepada Presiden UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed, dalam satu ucapan di Abu Dhabi.

Namun, pendekatan ini semakin diuji oleh perubahan ketara dalam polisi mengenai Israel dan Iran.

Perubahan paling signifikan dalam pendekatan negara Teluk terhadap Israel dilihat melalui langkah daripada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS).

Pada Sidang Puncak Liga Arab di Riyadh, MBS menggelar serangan ketenteraan Israel di Gaza sebagai “genosid”.

Ini adalah perubahan besar berbanding sikap sebelum ini, di mana Saudi hampir memulakan hubungan diplomatik dengan Israel tanpa memenuhi syarat utama – penubuhan negara Palestin.

Sebelum perang Gaza yang tercetus pada Oktober 2023, Saudi seolah-olah bersedia memulihkan hubungan dengan Israel, dengan beberapa perancangan yang melibatkan hubungan pertahanan yang lebih kukuh dengan Amerika Syarikat serta sokongan untuk program nuklear di Arab Saudi.

Namun, dengan ketegangan yang tercetus, MBS kini menyatakan bahawa Saudi tidak akan memulihkan hubungan dengan Israel sehingga negara Palestin ditubuhkan.

“Putera Mahkota mahu memastikan bahawa pendirian Arab Saudi adalah jelas,” kata Encik Ali Shihabi, seorang ahli perniagaan Saudi yang rapat dengan keluarga diraja kepada The Wall Street Journal (WSJ).

UAE, yang merupakan negara yang menandatangani Perjanjian Abraham turut menunjukkan pendekatan yang lebih keras terhadap Israel. Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed, berkata bahawa Amiriah “tidak akan berbelah bahagi dalam sokongan kepada rakyat Palestin.”

Pendekatan Perdamaian terhadap Iran

Pada masa yang sama, negara-negara Teluk kini dilihat lebih cenderung kepada pendekatan ‘damai’ terhadap Iran. Semasa penggal pertama Encik Trump, Arab Saudi dan UAE menyokong dasar keras Amerika terhadap Iran, yang dianggap sebagai pesaing utama di Timur Tengah.

Mereka menyambut baik pengunduran Amerika dari perjanjian nuklear Iran dan keputusan Encik Trump untuk membunuh jeneral Iran, Qassem Suleimani, pada 2020.

Namun, sejak kebelakangan ini, dinamik di Timur Tengah telah berubah.

Saudi dan Iran mencapai satu perjanjian pada Mac 2023 yang mengurangkan ketegangan di Teluk Parsi dan membuka pintu untuk hubungan diplomatik lebih tinggi.

Negara kecil seperti Bahrain juga telah mengubah sikapnya terhadap Iran, dengan Raja Hamad bin Isa al-Khalifa berkata tiada alasan untuk melambatkan pemulihan hubungan diplomatik, lapor The New York Times (NYT).

Bagi Saudi, matlamat utama mereka adalah untuk mewujudkan persekitaran yang stabil yang dapat menyokong usaha pengembangan ekonomi yang lebih pelbagai. Iran, yang telah lama terpinggir akibat sekatan ekonomi dan politik, kini melihat rundingan dengan Riyadh sebagai langkah penting untuk keluar dari pengasingan tersebut.

Sebagai tambahan, terdapat tanda-tanda bahawa Iran mungkin terbuka untuk berunding dengan Encik Trump. Ramai pegawai Iran serta penganalisis menyarankan agar Iran berunding dengan bekas presiden itu, terutama dalam usaha mengekalkan kedudukannya di arena antarabangsa.

Ketegangan Ekonomi Berkaitan Minyak

Walaupun negara Teluk secara umumnya terbuka dengan pendekatan diplomasi transaksional Encik Trump, terdapat kemungkinan perbezaan dalam polisi ekonomi.

Salah satu janji utama kempen Encik Trump adalah untuk menggalakkan pengeluaran minyak dan gas Amerika.

Jika Amerika meningkatkan pengeluaran minyak seperti yang dijanjikan, negara Teluk akan berdepan dengan kesukaran kerana harga minyak akan menurun, merugikan ekonomi mereka yang sangat bergantung kepada minyak.

“Bertambahnya pengeluaran minyak Amerika akan menurunkan harga dan menjejaskan ekonomi yang bergantung kepada minyak di Teluk,” kata Encik Bader al-Saif, seorang penyelidik di Chatham House kepada CNN.

Qatar, sebagai pengeluar gas asli utama, juga berkemungkinan terjejas, walaupun mereka dilaporkan tidak terlalu bimbang mengenai hal ini.

Dengan situasi yang semakin bergolak di Timur Tengah dan perubahan besar dalam hubungan antara negara-negara Teluk dan Israel serta Iran, Encik Trump akan menghadapi cabaran yang berbeza ketika memulakan penggal keduanya.

Walaupun negara-negara Teluk masih mengharapkan kepimpinan Amerika yang kuat, mereka jelas menunjukkan ketidaksepakatan terhadap beberapa dasar Trump, terutamanya mengenai Israel dan Iran. Menangani ketegangan ini sambil mempertahankan hubungan dengan sekutu lama akan menjadi tugas besar bagi Encik Trump dalam menghadapi realiti baru di Timur Tengah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg