GAZA: Kenyataan Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Encik Donald Trump, bahawa “neraka menanti” di Timur Tengah jika tebusan yang ditahan dalam serangan yang diketuai Hamas tidak dibebaskan menjelang 20 Januari, telah menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan penduduk Gaza.
Di kawasan Mawasi, Khan Younis, Encik Mohammed Ali, seorang bapa kepada dua anak, mengikuti perkembangan berita dengan penuh resah melalui telefon bimbitnya.
“Saya tidak tahu apa lagi yang tinggal di Gaza untuk dibakar dalam neraka Trump.
“Kami berharap kenyataannya lebih seimbang dan mendesak gencatan senjata, bukan menyimbah minyak pada api,” katanya.
Penduduk Gaza kini berada dalam keadaan amat sukar akibat pembunuhan berterusan, perpindahan secara paksa dan kebuluran.
Encik Khader Hamed, yang dipindahkan ke Deir al-Balah, menggambarkan kenyataan Encik Trump sebagai sangat membimbangkan.
“Semua penduduk Gaza menunggu hasil rundingan ini dengan harapan ia akan membawa kepada gencatan senjata, tetapi kenyataan Trump tidak memberi isyarat yang baik,” katanya sambil berjalan di pasar yang terkesan akibat sekatan Israel dan kenaikan harga barangan.
Cik Umm Ismail, yang berlindung di kem Nuseirat, menyuarakan ketakutannya bahawa kenyataan Encik Trump boleh mendorong Israel memperluas serangan mereka ke wilayah tengah.
“Jika mereka ingin membunuh kami, lakukan saja sekarang kerana kami mati beribu kali setiap hari,” katanya.
Bagi hampir dua juta penduduk Gaza, penderitaan kehidupan mereka telah menjadi tidak tertanggung.
Sejak lebih setahun lalu, mereka tinggal di khemah, menghadapi kekurangan makanan dan perubatan, serta ancaman serangan udara yang berterusan.
Menurut pegawai kesihatan tempatan, hampir 46,000 telah terbunuh dan kawasan Gaza telah berubah menjadi serpihan runtuhan.
Penduduk Deir al-Balah, Encik Alaa Isam, berkata: “Saya tidak pasti Trump memahami keadaan di sini. Ia sudah seperti neraka.”
Kenyataan Encik Trump pada 8 Januari bahawa “semua keadaan menjadi ganas” jika tebusan tidak dibebaskan menjelang beliau mengambil alih jawatan hanya menambah kebimbangan penduduk Gaza, yang berasa mereka akan dihukum lebih teruk jika rundingan gagal.
Walaupun penduduk Gaza menyalahkan Israel atas kemusnahan yang berlaku, sesetengahnya turut mempersoalkan tindakan Hamas.
Penduduk Deir al-Balah, Encik Abdul Aziz Said, berkata: “Hamas sepatutnya mencapai persetujuan sejak dulu lagi. Mereka kata mahu hentikan perang, tetapi tindakan mereka menunjukkan sebaliknya.”
Kenyataan Encik Trump diungkapkan ketika Hamas dan Israel sudah mengadakan rundingan dengan Qatar dan Mesir, selaku pengantara dalam usaha paling intensif sejak beberapa bulan kebelakangan ini bagi mencapai gencatan senjata di Gaza.
Pentadbiran Amerika yang bakal berakhir menyeru satu usaha terakhir untuk mencapai perjanjian sebelum Encik Joe Biden meninggalkan jawatan dan ramai di rantau itu melihat pelantikan Encik Trump sebagai tarikh akhir tidak rasmi.
Encik Steven Witkoff, yang akan menjadi utusan khas Encik Trump di Timur Tengah, menyatakan keyakinannya bahawa rundingan untuk membebaskan tebusan akan mencapai kemajuan.
“Kami melihat beberapa kemajuan hebat dan berharap akan ada pengumuman positif sebelum pelantikan Presiden,” katanya.
Namun, penduduk Gaza tetap khuatir bahawa dasar pro-Israel Trump yang agresif semasa penggal pertama akan diteruskan.
Bekas guru di Sekolah Antarabangsa Amerika di Gaza, Cik Amna Soliman, berkata: “Amerika adalah enjin utama dalam serangan yang tidak adil ini. Gaza sudah tiada apa-apa lagi.”
Ketika beliau kehilangan rumah, pekerjaan dan ahli keluarganya akibat perang, Cik Amna menambah:
“Kami sudah hidup dalam ketakutan, kebimbangan dan kengerian setiap hari.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg