Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketegangan meningkat di sempadan Lebanon sedang AS giat usaha gencatan senjata

Jun 6, 2024 | 3:04 PM
Asap berkepul-kepul semasa pengeboman Israel di perkampungan sempadan selatan Lebanon, Khiam, pada 5 Jun.
Asap berkepul-kepul semasa pengeboman Israel di perkampungan sempadan selatan Lebanon, Khiam, pada 5 Jun. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Sedang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, giat berusaha untuk mencapai gencatan senjata di Jaluran Gaza pada 5 Jun, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengancam tindakan ketenteraan “sangat sengit” terhadap Hezbollah di Lebanon.

Dua hari selepas kumpulan militan melancarkan roket bertubi-tubi dan dron dari Lebanon sehingga mencetuskan beberapa kebakaran hutan di utara Israel, Encik Netanyahu menemui tentera dan anggota bomba di kawasan itu dan berkata tentera Israel bersedia untuk menyerang.

“Sesiapa yang fikir mereka boleh menyakiti kami perlu tahu bahawa kami akan bertindak balas. Kami bersedia untuk aksi yang sangat sengit di utara,” tegas Encik Netanyahu.

Dengan latar belakang ketegangan yang semakin memuncak di sempadan Israel-Lebanon, pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik William J. Burns, bertemu pegawai tertinggi Qatar dan Mesir pada 5 Jun dalam usaha terkini untuk menjadi perantara perjanjian bagi menamatkan pertempuran di Gaza dan membebaskan tebusan yang ditawan semasa serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober.

Encik Burns bertemu di Doha dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dan ketua Perkhidmatan Perisikan Am Mesir, Encik Abbas Kamel, dedah seorang pegawai yang diberi taklimat mengenai perkara itu, yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Perdana Menteri Qatar dan Encik Kamel juga bertemu dengan pemimpin Hamas di Doha pada 5 Jun, tambah pegawai itu lagi. 

Mesir dan Qatar telah menjadi pengantara utama antara Israel dengan Hamas, yang tidak bercakap secara langsung antara satu sama lain.

Pertemuan dengan Encik Burns memberi tumpuan kepada mencari jalan untuk membawa Israel dan Hamas lebih dekat kepada gencatan senjata, ujar pegawai itu.

Beliau menyatakan bahawa Qatar telah menerima respons awal yang positif daripada Hamas terhadap cadangan gencatan senjata yang diajukan oleh Encik Biden, tetapi masih menunggu jawapan rasmi.

Menggariskan cadangan itu pada 31 Mei, Encik Biden menyifatkan ia sebagai pelan tiga fasa yang ditawarkan oleh Israel kepada Hamas, bermula dengan gencatan senjata enam minggu dalam pertempuran dan akhirnya membawa kepada “pemberhentian permusuhan secara kekal” dan pembinaan semula Gaza.

Walaupun Encik Biden menyifatkan cadangan itu sebagai tawaran Israel, Encik Netanyahu, tidak secara terbuka mengesahkan syarat seperti yang diterangkan oleh presiden Amerika itu.

Encik Netanyahu memberitahu Anggota Parlimen Israel pada 3 Jun bahawa beliau terbuka untuk mencapai gencatan senjata selama enam minggu, tambah seseorang yang menghadiri perbincangan tertutup itu.

Tetapi secara terbuka, Encik Netanyahu terus menegaskan bahawa Israel tidak akan berhenti berperang di Gaza sehingga keupayaan tentera dan pemerintahan Hamas dimusnahkan.

Dua menteri sayap kanan Encik Netanyahu telah mengancam untuk meninggalkan pakatannya dan menjatuhkan pemerintahnya jika beliau bersetuju dengan sebarang perjanjian yang menyebabkan Hamas tetap utuh.

Seorang pegawai kanan Hamas, Encik Basem Naim, pada 5 Jun mengulangi pendirian kumpulan itu bahawa ia tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian yang tidak membawa kepada gencatan senjata kekal.

Beliau juga berkata bahawa “tidak masuk akal” untuk Hamas berunding semasa tentera Israel melancarkan serangan di Gaza.

Tanpa persetujuan untuk menghentikan pertempuran, Israel berkata pada 5 Jun bahawa ia telah melancarkan serangan di tengah Gaza.

Berpuluh-puluh orang telah terbunuh, lapor pekerja kesihatan di Gaza, yang memberi amaran bahawa satu-satunya hospital yang tinggal di kawasan itu telah dibanjiri dengan pesakit yang cedera.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Kementerian Kesihatan Gaza berkata ia telah merekodkan 36 maut dan 115 cedera.

Kumpulan bantuan antarabangsa Doctors Without Borders berkata bahawa sekurang-kurangnya 70 mayat, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah dibawa ke Hospital Syahid Al Aqsa di tengah Gaza sejak 4 Jun.

Tentera Israel bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg