BEIRUT: Ketegangan di Timur Tengah kian meningkat sedang Iran dan sekutunya bersiap sedia melakukan tindak balas menyusuli pembunuhan pemimpin politik Hamas, Encik Ismail Haniyeh, pada 31 Julai.
Amerika Syarikat, yang juga sekutu Israel, berkata mereka akan menggerakkan kapal perang dan jet pejuang ke rantau itu sementara beberapa negara Barat menggesa rakyat mereka supaya meninggalkan Lebanon, yang juga pangkalan bagi gerakan Hezbollah yang disokong Iran.
Sementara itu, beberapa syarikat penerbangan juga telah membatalkan penerbangan.
Ketegangan di rantau itu kian memuncak selepas pembunuhan Encik Haniyeh sehari selepas serangan Israel di Beirut membunuh komander tertinggi Hezbollah, Encik Fuad Shukr.
Hamas dan Iran menuduh Israel bertanggungjawab bagi pembunuhan Encik Haniyeh dan mengancam bertindak balas.
Israel tidak menafikan mahupun mengakui mereka bertanggungjawab bagi kematian Encik Haniyeh.
Pada 3 Ogos, satu serangan udara oleh Israel ke atas sebuah sekolah yang melindungi penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Bandar Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 15 rakyat Palestin.
Tentera Israel mendakwa sekolah tersebut digunakan sebagai pusat arahan bagi Hamas menyembunyikan militan dan menghasilkan senjata.
Hamas bagaimanapun menafikan mereka beroperasi dari kemudahan awam seperti sekolah dan hospital.
Menurut Hamas, serangan di sekolah itu berlaku beberapa jam selepas dua serangan di Tebing Barat, yang diduduki Israel, membunuh sembilan militan termasuk seorang komander Hamas.
Serangan udara pertama di Tebing Barat terkena sebuah kenderaan di sebuah bandar berhampiran bandar Tulkarm, yang menurut tentera Israel, telah menyasar sel militan yang sedang dalam perjalanan untuk melakukan serangan.
Beberapa jam kemudian, serangan udara kedua di kawasan tersebut menyasarkan satu lagi kumpulan militan yang telah menembak askar, apa yang disifatkan tentera Israel sebagai operasi memerangi pengganasan di Tulkarm.
Hamas berkata salah seorang daripada mereka yang terbunuh adalah komander briged Tulkarmnya, manakala Jihad Islam mendakwa empat lelaki lain yang maut dalam serangan tersebut merupakan anggotanya.
Sekurang-kurangnya 39,550 rakyat Palestin terbunuh dalam kempen tentera Israel di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Serangan tersebut tercetus dek serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang menyaksikan lebih 1,400 orang terbunuh dan 250 lagi diambil sebagai tebusan, kata Israel.
Menurut sumber pihak berkuasa lapangan terbang Mesir, pada 3 Ogos, sebuah delegasi peringkat tinggi Israel telah mengadakan lawatan singkat ke Kahirah dalam usaha untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata Gaza.
Menteri Ehwal Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, turut dijadual melawat Iran pada 4 Ogos untuk membincangkan perkembangan serantau dengan rakan sejawatnya, menurut media Iran.
Dengan kebimbangan perang Israel terhadap militan Palestin di Gaza boleh merebak menjadi konflik Timur Tengah yang lebih meluas, Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata beliau berharap Iran akan berundur daripada sebarang serangan.
“Saya harap begitu. Saya tidak tahu,” kata Encik Biden kepada media pada 3 Ogos apabila ditanya sama ada Iran akan berundur. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg