Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hezbollah serang balas roket ke Israel

Biden: Pembunuhan Haniyeh tidak bantu rundingan gencatan senjata
Aug 2, 2024 | 2:23 PM
Israel
Pegawai pertahanan Awam Lebanon memadamkan api ekoran serangan udara Israel ke atas bandar di Shamaa, selatan Lebanon pada 1 Ogos. - Foto AFP

BEIRUT: Hezbollah berkata ia telah melancarkan roket di utara Israel pada 1 Ogos, “sebagai tindak balas”, terhadap serangan maut Israel di selatan Lebanon – serangan pertama kumpulan itu selepas Israel membunuh komander tertingginya awal minggu ini.

Kumpulan yang disokong Iran itu berkata dalam satu kenyataan bahawa serangan melibatkan berpuluh-puluh roket Katyusha itu disasarkan ke atas sebuah kampung di selatan Shamaa dan menyebabkan sejumlah korban orang awam.

Tentera Israel berkata sejurus selepas serangan roket itu, tentera udaranya mengebom kawasan pelancar roket Hezbollah.

Awal 1 Ogos, Kementerian Kesihatan Lebanon berkata empat rakyat Syria terbunuh dalam serangan Israel di Shamaa, daerah Hezbollah dan Israel telah berbalas tembakan hampir setiap hari sejak perang Gaza bermula pada Oktober.

Kementerian itu berkata serangan Israel itu turut mencederakan lima warga Lebanon.

Kepulan asap tebal dilihat menerawang ke angkasa akibat serangan yang turut merosakkan dua bangunan berhampiran dan kenderaan.

Serangan Hezbollah itu merupakan yang pertama sejak serangan udara Israel membunuh komander tertingginya, Fuad Shukr, pada petang 30 Julai.

Pemimpin mereka, Encik Hassan Nasrallah, memberi amaran bahawa kumpulannya pasti akan bertindak balas terhadap pembunuhan Encik Shukr.

Kematiannya berlaku beberapa jam selepas pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di Teheran pada 31 Julai.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata pada 1 Julai bahawa pembunuhan Encik Haniyeh tidak membantu untuk mencapai gencatan senjata dalam perang Israel di Gaza.

“Ia tidak membantu,” kata Encik Biden apabila ditanya sama ada pembunuhan Encik Haniyeh merosakkan peluang memeterai perjanjian gencatan senjata.

Encik Biden dalam panggilan telefon dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut membincangkan penempatan tentera pertahanan Amerika yang baharu untuk menyokong Israel.

Menurut kenyataan Rumah Putih, skop bantuan itu adalah khusus bagi menghadapi ancaman seperti serangan peluru berpandu dan dron.

Encik Biden juga memberitahu Netanyahu bahawa Washington komited untuk mempertahankan keselamatan Israel “terhadap semua ancaman dari Iran”, kata Rumah Putih, selepas pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas di Teheran itu.

Encik Biden menegaskan komitmennya terhadap keselamatan Israel merangkumi semua ancaman dari Iran, termasuk kumpulan pejuang proksinya, Hamas, Hezbollah, dan Houthi, kata Rumah Putih memetik kenyataan bersama Encik Biden dan Encik Netanyahu.

Iran dan Hamas telah menyalahkan Israel yang sebaliknya enggan mengulas mengenai pembunuhan itu.

Keganasan sejak Oktober telah membunuh sekurang-kurangnya 542 orang di pihak Lebanon, termasuk 114 orang awam.

Sekurang-kurangnya 22 askar dan 25 orang awam telah terbunuh di pihak Israel, termasuk di Bukit Golan.

Dalam pada itu, pegawai tertinggi Iran akan bertemu wakil sekutu serantau Iran dari Lebanon, Iraq dan Yaman untuk membincangkan kemungkinan tindakan balas terhadap Israel selepas pembunuhan Encik Haniyeh.

Risiko konflik yang meluas di Timur Tengah telah meningkat selepas pembunuhan Encik Haniyeh dan Encik Shukr.

Wakil Hamas dan Jihad Islam, serta gerakan Houthi Yaman, Hezbollah dan kumpulan penentang Iraq, akan menghadiri mesyuarat di Teheran itu.

“Iran dan sekutunya akan menjalankan penilaian menyeluruh selepas mesyuarat di Teheran untuk mencari cara terbaik dan paling berkesan untuk membalas dendam terhadap rejim Zionis,” kata seorang pegawai kanan Iran.

Seorang lagi pegawai Iran berkata Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei dan anggota kanan Kor Pengawal Revolusi elit Iran akan hadir sama.

“Bagaimana Iran dan barisan penentangan akan bertindak balas sedang dikaji. Ini pasti akan berlaku dan rejim Zionis sudah pasti akan menyesalinya,” kata Jeneral Mohammad Baqeri, ketua kakitangan angkatan tentera Iran pada 1 Ogos. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg