Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetegangan Timur Tengah dijangka jadi tumpuan pemimpin dunia di Perhimpunan Agung PBB
Ketegangan Timur Tengah dijangka jadi tumpuan pemimpin dunia di Perhimpunan Agung PBB
NEW YORK: Ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah dijangka menjadi antara isu utama apabila hampir 130 pemimpin dunia berkumpul di New York minggu ini bagi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika konflik Iran-Amerika Syarikat dan pertempuran di Yaman meningkatkan kebimbangan terhadap tercetusnya perang serantau lebih luas.
Perhimpunan tahun ini berlangsung ketika sistem antarabangsa yang dibentuk selepas Perang Dunia Kedua berdepan tekanan akibat beberapa konflik serentak, termasuk perang di Ukraine, pergolakan Timur Tengah serta kebimbangan terhadap risiko kecerdasan buatan (AI).
Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai 15 anggota juga dijangka mengadakan beberapa mesyuarat peringkat tinggi mengenai Ukraine, AI dan Timur Tengah.
Perhatian khusus dijangka tertumpu kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang dijadual berucap di Perhimpunan Agung pada 22 September.
Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dengan Iran dan keselamatan serantau antara isu utama perbincangan.
Ketegangan itu meningkat selepas pertempuran antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran kembali memuncak di Yaman.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Houthi memperluas penguasaannya di barat Yaman, termasuk kawasan strategik berhampiran Selat Bab el-Mandeb yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.
Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan kerana Bab el-Mandeb merupakan laluan penting bagi perdagangan dan penghantaran tenaga dunia. Sebarang gangguan berpanjangan boleh menjejaskan perkapalan dan meningkatkan tekanan terhadap harga minyak.
Pertempuran turut merebak ke wilayah Arab Saudi. Houthi mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap beberapa sasaran di Riyadh serta kemudahan minyak Saudi Aramco di Yanbu, sebuah hab eksport minyak utama negara itu.
Arab Saudi pula sebelum ini menuduh kumpulan itu cuba menyasarkan Makkah, manakala Houthi mendakwa menembak jatuh sebuah pesawat pejuang F-15 Saudi di Yaman.
Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan bahawa perang Yaman sekali lagi boleh menjadi medan utama dalam persaingan serantau yang lebih luas membabitkan Iran dan sekutu Amerika.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, memberi amaran mengenai kesukaran menyelesaikan konflik Yaman melalui tindakan ketenteraan, sambil menekankan pengalaman lalu menunjukkan betapa rumitnya campur tangan ketenteraan di negara itu.
Usaha diplomatik PBB diteruskan, tetapi prospek mencapai penyelesaian semakin sukar ketika pertempuran meningkat dan kedudukan Houthi di medan perang semakin kukuh.
Pada masa sama, ketegangan antara Washington dengan Teheran terus mencetuskan kebimbangan.
Markas pusat tentera Iran pada 20 September mendakwa menerima maklumat bahawa Amerika, dengan sokongan beberapa negara serantau, mungkin sedang menyediakan serangan baru terhadap Iran.
Teheran memberi amaran bahawa sebarang serangan baru akan dibalas dengan serangan berterusan terhadap pangkalan serta kepentingan Amerika di rantau itu. Negara yang membantu operasi sedemikian juga akan dianggap sebagai pihak dalam konflik. Iran tidak memberikan bukti terperinci mengenai maklumat yang menjadi asas dakwaan itu.
Encik Trump pula berkata beliau berada dalam dalam fasa kritikal membuat keputusan berhubung Iran dan membayangkan perkembangan besar mungkin berlaku tidak lama lagi.
Ketegangan itu berlaku meskipun tiada serangan Amerika terhadap Iran dilaporkan secara terbuka sejak lebih dua minggu lalu.
Keadaan keselamatan yang tidak menentu mendorong kedutaan Amerika di beberapa negara Timur Tengah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya lebih berwaspada.
Amaran yang dikeluarkan di beberapa negara termasuk Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Jordan dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan konflik ketenteraan boleh meningkat dengan cepat, selain memberi amaran mengenai kemungkinan pembatalan penerbangan, penutupan ruang udara dan gangguan perjalanan.
Kehadiran Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, di New York dijangka mendapat perhatian khusus.
Pemerintah Trump membenarkan delegasi utama Iran menghadiri Perhimpunan Agung, meskipun mengenakan sekatan perjalanan dan beberapa sekatan lain terhadap delegasi itu.
Encik Pezeshkian dijadual berucap pada 23 September.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pula dijadual berucap pada 24 September.
Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, tidak akan hadir secara fizikal selepas Amerika sekali lagi menolak permohonan visanya.
Perhimpunan Agung pada 17 September meluluskan resolusi membolehkan beliau menyampaikan ucapan melalui video.
Selain Iran dan Yaman, diplomat menjangkakan keselamatan laluan perkapalan, pasaran tenaga dan konflik Gaza turut menjadi tumpuan pertemuan pemimpin Arab dan dunia.
Krisis Sudan juga dijangka dibincangkan dalam satu pertemuan peringkat tinggi di luar acara utama, walaupun diplomat tidak menjangkakan kejayaan diplomatik besar dalam masa terdekat.
Dengan dua laluan tenaga dan perdagangan utama dunia – Selat Hormuz dan Bab el-Mandeb – terdedah kepada ketegangan geopolitik, perkembangan di Timur Tengah bukan lagi sekadar isu keselamatan serantau.
Ia turut membawa risiko kepada perdagangan, bekalan tenaga dan ekonomi global, sekali gus menjadikan usaha mengelakkan konflik lebih luas antara Amerika, Iran dan sekutu masing-masing antara cabaran diplomatik terbesar sepanjang Perhimpunan Agung PBB minggu ini. - Agensi berita
