KAHIRAH: Ketua Hezbollah di Lebanon Sheikh Naim Qassem berkata bahawa kumpulannya tidak akan menerima sebarang alasan untuk tentera Israel melanjutkan tempoh pengunduran daripada selatan Lebanon.
“Apa yang berlaku selepas tempoh yang diberikan untuk pengunduran Israel? Israel terpaksa berundur kerana 60 hari sudah tamat.
“Kami tidak menerima sebarang alasan untuk melanjutkan satu saat atau satu hari,” kata Sheikh Qassem dalam ucapan yang dirakamkan di televisyen pada 27 Januari.
Israel berkata pada 24 Januari bahawa pengunduran tenteranya akan berlangsung melebihi tempoh 60 hari seperti yang ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata dengan Hezbollah, dengan menyatakan syarat perjanjian itu belum dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Lebanon.
Amerika Syarikat pada 26 Januari menyatakan bahawa perjanjian antara Lebanon dengan Israel akan kekal berkuat kuasa sehingga 18 Februari, lanjutan kepada tarikh akhir 26 Januari yang dipersetujui sebelum ini.
Sheikh Qassem berkata, kumpulannya menerima maklumat bahawa Washington pada mulanya mencadangkan kepada pegawai Lebanon untuk melanjutkan perjanjian itu hingga 28 Februari, yang menurutnya telah mereka tolak.
Perdana Menteri sementara Lebanon, Encik Najib Mikati, berkata semasa pertemuan dengan Duta Besar Amerika, Cik Lisa Johnson, bahawa negaranya mematuhi perjanjian gencatan senjata dengan Israel sehingga 18 Februari.
Encik Mikati berkata tekanan diperlukan untuk menamatkan pencerobohan dan pelanggaran berulang” Israel dan bagi pastikan pengunduran sepenuhnya Israel dari wilayah yang diduduki di selatan, sebagai balasan, kata pejabatnya dalam satu kenyataan pada 27 Januari.
“Tiada sesiapa di Lebanon boleh menerima lanjutan pengunduran tentera Israel meskipun untuk seketika. Israel mesti keluar,” tegas Sheikh Qassem.
“Sebarang kesan daripada kelewatan penarikan diri akan menjadi tanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika, Perancis dan entiti Israel,” tambahnya.
Beliau juga berkata “penentangan” mempunyai hak untuk bertindak dalam apa yang difikirkan sesuai sebagai tindak balas kepada “pendudukan”.
Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 24 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 141 yang lain di selatan Lebanon pada 26 dan 27 Januari, kata Kementerian Kesihatan Lebanon, ketika beribu-ribu penduduk cuba pulang ke rumah mereka di kawasan itu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg