BEIRUT: Tentera Israel membunuh tiga orang dan mencederakan 31 lagi yang cuba pulang ke rumah mereka di selatan Lebanon, tempat yang terus terdapat askar Israel walaupun tarikh untuk mereka berundur telah berlalu pada 26 Januari, menurut kementerian kesihatan Lebanon.
Israel telah berkata ia mahu askarnya kekal di selatan Lebanon melebihi tarikh yang ditetapkan di bawah satu gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat, yang telah menghentikan perang dengan Hezbollah.
Pada 25 Januari, tentera Israel juga mengarahkan penduduk supaya jangan pulang ke selatan Lebanon hingga dimaklumkan kemudian.
Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, tentera Israel harus berundur dari selatan Lebanon sedang senjata dan anggota kumpulan Hezbollah dikeluarkan dari kawasan itu dan tentera Lebanon dikerahkan ke situ, dalam 60 hari yang berakhir pada pagi 26 Januari.
Bagaimanapun, Israel berkata syarat itu belum dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Lebanon, sementara tentera Lebanon yang disokong Amerika mendakwa Israel sengaja berlengah-lengah.
Televisyen al-Manar Hezbollah, yang disiarkan dari beberapa lokasi di selatan, menunjukkan rakaman penduduk bergerak ke arah perkampungan, sekali gus mengingkari arahan Israel.
Beberapa orang daripada mereka memegang bendera kumpulan itu dan imej anggota Hezbollah yang terkorban dalam perang.
Seorang jurucakap tentera Israel, dalam satu siaran di X yang ditujukan kepada penduduk di selatan Lebanon, menuduh Hezbollah cuba “memanaskan keadaan” dan berkata tentera Israel akan “dalam masa terdekat” memberitahu mereka tempat mereka boleh pulang.
Kementerian kesihatan Lebanon berkata seorang individu dibunuh di Houla, seorang lagi di Aitaroun, dan yang ketiga di Blida akibat apa yang digambarkannya sebagai serangan tentera Israel ke atas penduduk semasa mereka cuba kembali ke tempat tinggal mereka.
Tentera Israel tidak segera mengulas tentang jumlah korban.
Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, yang merupakan ketua tentera Lebanon yang disokong Amerika hingga Parlimen memilihnya sebagai ketua negara pada 9 Januari, menggesa rakyatnya di selatan Lebanon supaya mengawal diri dan mempercayai tentera Lebanon.
“Kedaulatan Lebanon dan kewibawaan wilayahnya tidak boleh dirundingkan dan saya akan terus membawa isu ini ke peringkat tertinggi untuk memastikan hak dan maruah anda,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Israel tidak menyatakan berapa lama tenteranya akan terus berada di selatan Lebanon. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg