RAFAH: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menggesa “gencatan senjata kemanusiaan segera, pembebasan tanpa syarat semua tebusan dan lonjakan segera bantuan kemanusiaan” ke Gaza yang terkepung.
“Tetapi gencatan senjata hanya akan menjadi permulaan. Ia akan menjadi jalan yang panjang untuk bangkit daripada kemusnahan dan trauma perang ini,” katanya dalam persidangan penderma di Kuwait.
Ketika usaha pengantaraan melibatkan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat bagi mencapai gencatan senjata kelihatan terhenti, Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berkata pada 11 Mei bahawa gencatan senjata boleh menjadi kenyataan “esok” jika Hamas membebaskan tebusan yang ditahan di Gaza sejak serangan 7 Oktober yang mencetuskan perang.
Para saksi dan pegawai perubatan berkata serangan udara Israel melanda bahagian utara, tengah dan selatan Gaza pada waktu malam hingga ke pagi 12 Mei.
Di Rafah, bandar paling selatan Gaza yang terletak di sempadan Mesir, hospital Kuwait berkata pada 12 Mei ia telah menerima 18 mayat mangsa yang terbunuh dalam serangan Israel sejak 24 jam lalu.
Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan 240 tebusan.
Serangan balas Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 34,971 orang di Gaza, lapor kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas.
Israel menentang tekanan antarabangsa supaya tidak meneruskan rancangan menggempur Rafah tetapi ia sebaliknya menghantar kereta kebal dan tentera ke timur Rafah. Ini sekali gus telah menutup lintasan bantuan kemanusiaan utama ke Gaza.
Tentera pada 11 Mei memperluaskan arahan pemindahan ke timur Rafah dan berkata 300,000 rakyat Palestin telah meninggalkan kawasan tersebut.
Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) mengecam dalam siaran di X “pemindahan secara paksa dan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin” yang “tiada tempat selamat untuk mereka tuju” di Gaza.
“Bedilan meriam tidak berhenti sama sekali selama beberapa hari,” kata Encik Mohammed Hamad, 24 tahun, yang telah meninggalkan timur Rafah menuju ke barat bandar itu.
Penduduk diarah tentera Israel supaya berpindah ke “zon kemanusiaan” Al-Mawasi, di pantai barat laut Rafah, walaupun kumpulan bantuan telah memberi amaran ia belum bersedia menerima kemasukan pelarian.
Ketua Kesatuan Eropah, Encik Charles Michel, berkata di media sosial bahawa orang awam Rafah diarah ke “zon tidak selamat” dan mengecamnya sebagai “tidak boleh diterima”.
Jurucakap pihak berkuasa lintasan Gaza, Encik Hisham Adwan, memberitahu AFP pada 12 Mei bahawa lintasan Rafah kekal ditutup sejak tentera Israel menguasai kawasan itu pada 7 Mei, “menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan” dan pemindahan pesakit yang memerlukan rawatan perubatan.
Beliau berkata tentera Israel “telah mara dari sempadan timur” kira-kira 2.5 kilometer ke Rafah.
Agensi berita, Al-Qahera, pada 11 Mei berkata Kahirah enggan bekerjasama dengan Israel mengenai penghantaran bantuan melalui lintasan Rafah. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg