Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

TRAGEDI DI STADIUM JAWA TIMUR

Ketua polis dipecat, puluhan anggota disiasat

Oct 05, 2022 | 05:30 AM



MALANG (Indonesia): Puluhan anggota polis Indonesia kini di bawah siasatan berhubung kejadian rempuhan dalam satu perlawanan bola sepak yang mengorbankan sekurang-kurangnya 125 orang, sedang pihak berkuasa berusaha menentukan punca kejadian stadium paling berdarah di dunia dan siapa yang harus dipersalahkan.



Menurut agensi berita, ketua polis tempatan telah dilucutkan jawatannya.



Dalam kejadian itu, ribuan penonton yang panik telah dirempuh Sabtu lalu ketika mereka cuba melarikan diri dari stadium yang sesak di Malang, Jawa Timur.



Ini selepas polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong pasukan Arema FC, yang memasuki kawasan padang selepas kelab itu kalah di tempat sendiri di tangan Persebaya Surabaya.



Badan induk dunia bola sepak Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menetapkan "gas kawalan orang ramai" tidak boleh digunakan semasa perlawanan.



Encik Choirul Anam, pesuruhjaya badan hak asasi Indonesia pula memberitahu wartawan bahawa jika gas pemedih mata tidak dilepaskan, "mungkin tidak berlaku huru-hara".



Jumlah kematian di Malang itu adalah yang terbesar dalam perlawanan bola sepak sejak 1964, apabila 328 terbunuh dalam kemalangan ketika Peru menjadi tuan rumah Argentina di ibu kota Lima.



Sembilan pegawai polis telah digantung tugas mereka, kata jurucakap polis Indonesia, Encik Dedi Prasetyo, sambil menambah bahawa 28 pegawai sedang disiasat.



Keputusan untuk menggunakan gas pemedih mata adalah antara isu yang sedang disiasat, tambahnya.



Sementara itu, orang ramai terus berkabung kelmarin dan semalam di luar stadium.



Ada yang menabur bunga di atas baju kelab Arema manakala ada yang berdoa atau menangis, antaranya pengurus kelab itu, Encik Ali Fikri.



Ketua menteri keselamatan, Dr Mahfud MD, berkata pemerintah telah membentuk pasukan pencari fakta, merangkumi ahli akademik, pakar bola sepak dan pegawai, untuk menyiasat bencana itu.



"Mereka telah diminta... dalam beberapa hari akan datang untuk mendedahkan pesalah yang terlibat dalam jenayah ini," kata Dr Mahfud pada satu sidang akhbar.



Seorang pegawai pemerintah berkata mereka yang terbunuh termasuk 32 kanak-kanak.



Presiden Joko Widodo telah mengarahkan persekutuan bola sepak untuk menggantung semua perlawanan bola sepak peringkat teratas sehingga siasatan selesai.



Dr Mahfud berkata keluarga mangsa akan menerima 50 juta rupiah ($4,700) sebagai pampasan, dan rawatan bagi ratusan lagi yang cedera adalah percuma.



Pada Ahad lalu, beliau berkata penonton di stadium itu melebihi kapasiti dengan 42,000 tiket dijual di stadium yang boleh menampung 38,000 orang.



Namun pihak berkuasa berkata tiket tidak dijual kepada peminat pasukan Persebaya atas sebab keselamatan.



Fifa, yang menggelar insiden itu sebagai "tragedi yang tidak dapat difahami", telah meminta pihak berkuasa bola sepak Indonesia untuk memberinya laporan penuh.



Presiden Arema FC, Encik Gilang Widya Pramana, memohon maaf kepada mangsa kelmarin dan berkata beliau bersedia bertanggungjawab sepenuhnya.



Harapan Indonesia untuk menganjurkan acara sukan peringkat dunia pada masa depan akan bergantung kepada kredibiliti penyiasatannya berkaitan bencana stadium bola sepak itu dan pembaharuan keselamatan, ujar penganalisis. - Reuters, AFP.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >