GENEVA: Rokok elektronik pakai buang yang kelihatan anggun dan kantung nikotin berperisa gula-gula adalah antara pelbagai produk baru yang menyasarkan golongan muda dan mencetuskan gelombang ketagihan tembakau dan nikotin di seluruh dunia.
Memberikan amaran tersebut, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan bilangan kanak-kanak yang tertarik kepada produk tersebut.
“Sekolah merupakan barisan hadapan dalam perang menentang tembakau dan nikotin akibat kegiatan syarikat-syarikat secara aktif merekrut generasi penagih,” kata beliau ketika berucap di pembukaan persidangan sejagat mengenai kawalan tembakau.
Satu laporan WHO yang dikeluarkan pada Oktober menganggarkan hampir 15 juta remaja di seluruh dunia kini menggunakan rokok elektronik atau vape, kata Dr Tedros dalam mesyuarat ke-11 negara-negara anggota Konvensyen Rangka Kerja Konvensyen bagi Kawalan Tembakau (FCTC) WHO.
Beliau memuji kemajuan dramatik yang telah dicapai dalam beberapa dekad kebelakangan ini dalam membendung tabiat berbahaya itu, walaupun lebih daripada lapan juta penduduk di seluruh dunia dianggarkan mati akibat penyakit berkaitan tembakau setiap tahun.
Selama 20 tahun yang lalu, penggunaan tembakau dalam kalangan golongan muda “telah merosot sebanyak satu pertiga di seluruh dunia”, katanya, sambil menambah bahawa ini telah mendorong “pengeluar tembakau membangunkan produk baru bagi menarik pelanggan”.
Agensi kesihatan PBB itu turut mempersoalkan pemasaran industri tembakau berupa vape dan produk baru lain kononnya sebagai alternatif yang lebih selamat kepada produk tembakau tradisional dan sebagai alat membantu berhenti merokok.
“Tiada bukti manfaat kesihatan awam, malah terdapat bukti yang semakin meningkat tentang bahayanya,” kata Dr Tedros, sambil mengecam bahawa produk sedemikian lebih disasarkan kepada perokok muda. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg