JAKARTA: Keputusan Singapura untuk mengharamkan rokok elektronik (e-rokok) atau vape menimbulkan persoalan besar kepada negara serantau, termasuk Indonesia.
Sehingga kini, Indonesia masih memilih pendekatan kawalan berbanding larangan menyeluruh.
Isu itu mendapat perhatian serius kerana ia menyentuh aspek kesihatan awam, penguatkuasaan undang-undang, serta implikasi ekonomi yang kompleks.
Pada 18 Ogos 2025, pemerintah Singapura menguatkuasakan larangan pembelian, pemilikan dan penggunaan vape di bawah Akta Kawalan Iklan dan Jualan Tembakau.
Pemerintah Singapura turut menambah bahan kimia baharu, termasuk etomidate, ke dalam senarai dadah terkawal Kelas C, bagi mengelakkan penyalahgunaan bahan narkotik melalui e-rokok.
Berbeza dengan Singapura, Indonesia belum memutuskan sama ada mahu melaksanakan larangan penuh.
Ketua Badan Narkotik Nasional (BNN), Encik Suyudi Ario Seto, menegaskan bahawa kajian menyeluruh sedang dijalankan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Berhubung kemungkinan larangan, kita perlu duduk bersama dan berbincang.
“Keputusan ini tidak boleh dibuat secara sepihak. Kita mesti bekerjasama,” kata Encik Suyudi ketika merasmikan Persidangan Serantau Persatuan Profesional Penggunaan Bahan Antarabangsa di Bali pada 17 September.
Beliau turut menekankan bahawa BNN tidak mempunyai kuasa tunggal untuk melaksanakan larangan.
Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM).
“Kajian makmal masih dijalankan. Kita akan bekerjasama dengan kementerian lain sebelum sebarang langkah diambil,” tambah Encik Suyudi.
Isu vape di Indonesia bukan sekadar berkait nikotin.
Penemuan terkini BNN menunjukkan ancaman lebih serius.
Sebahagian produk mengandungi bahan narkotik berbahaya.
Daripada 350 contoh produk vape yang diuji di seluruh Indonesia antara Julai dengan pertengahan September 2025, sekitar 10 peratus dikesan mengandungi narkotik Kelas I seperti ganja sintetik, methamphetamine, dan etomidate.
Keadaan itu menimbulkan risiko besar, khususnya kepada golongan muda yang menjadi pengguna utama vape.
Data BNN menunjukkan majoriti pengguna adalah generasi Z yang berusia antara 18 dengan 22 tahun.
“Remaja dan belia muda paling terdedah kepada manipulasi industri yang menyasarkan pasaran mereka melalui promosi menarik dan persepsi bahawa vape lebih selamat daripada rokok tradisional,” jelas Profesor Candra Fajri Ananda, dari Universiti Brawijaya, di Malang, Indonesia.
Selain itu, kes pengedaran dadah melalui cecair vape kian meningkat.
Polis Medan, misalnya, pada Jun lalu menumpaskan sebuah ‘kilang’ vape haram yang menghasilkan kira-kira 300 kartrij cecair vape bercampur narkotik setiap hari, dengan nilai jualan harian mencecah 1.5 bilion rupiah ($116,290).
“Ini menunjukkan bagaimana peranti vape boleh menjadi medium penyeludupan dadah yang sukar dikesan,” kata Ketua Pengarah Narkotik Polis Sumatera Utara, Dr Jean Calvijn Simanjuntak.
Sebahagian pakar perubatan menganggap larangan total wajar dipertimbangkan.
Mantan Pengerusi Persatuan Doktor Indonesia (IDI), Dr Prijo Sidipratomo, menegaskan bahawa kerosakan paru-paru akibat penggunaan vape adalah serius.
“Lebih baik larang terus, terutama dengan penemuan bahawa sebahagian produk mengandungi narkotik. Risiko kesihatan kepada paru-paru amat luar biasa,” tegas beliau.
Pandangan itu mencerminkan kebimbangan bahawa kawalan semata-mata mungkin tidak cukup untuk melindungi kesihatan awam, khususnya di tengah-tengah kelemahan pengawasan dan penguatkuasaan di pasaran gelap.
Namun, pendekatan larangan penuh bukan tanpa cabaran.
Indonesia merupakan pasaran e-rokok yang sedang berkembang pesat.
Kajian Pusat Penyelidikan Kebijakan Ekonomi Universiti Brawijaya (PPKE FEB UB) menunjukkan penggunaan vape meningkat, terutama kerana persepsi ia lebih murah dan “kurang berbahaya” berbanding rokok tradisional.
Harga vape yang relatif lebih rendah turut mendorong peralihan pengguna.
Rokok tembakau yang sah memerlukan perbelanjaan bulanan antara 525,000 rupiah dengan 1.08 bilion rupiah, manakala vape sekitar 500,000 rupiah hingga 750,000 rupiah.
“Polisi harga dan cukai memainkan peranan besar dalam mendorong peralihan ini.
“Ketika harga rokok konvensional naik, pengguna mencari alternatif lebih murah,” jelas Profesor Candra.
Sejak 2018, pemerintah Indonesia memilih mekanisme cukai bagi mengawal vape.
Pengarah Komunikasi dan Bimbingan Pengguna Cukai, Encik Nirwala Dwi Heryanto, menjelaskan:
Kementerian Kewangan menilai bahawa vape tergolong dalam kategori barang kena cukai kerana penggunaannya perlu dikawal, peredarannya mesti diawasi, dan ia boleh mendatangkan kesan negatif.
“Melalui pendekatan fiskal ini, pemerintah berharap dapat mengekang pertumbuhan pasaran vape agar tidak berkembang tanpa kawalan.”
Pendekatan ini berbeza dengan Singapura yang memilih larangan total.
Indonesia sebaliknya menekankan keseimbangan antara kawalan kesihatan awam dengan realiti ekonomi industri tembakau serta potensi hasil cukai.
Walaupun strategi cukai memberi kawalan fiskal, cabaran terbesar adalah penguatkuasaan.
Pasaran dalam talian sukar dipantau, dan produk tidak berdaftar mudah didapati.
Profesor Candra memberi amaran bahawa tanpa sekatan lebih ketat ke atas promosi dalam talian dan akses remaja kepada pembelian digital, kawalan cukai sahaja tidak mencukupi.
“Perlu ada pembatasan akses pembelian dalam talian dan penguatkuasaan lebih agresif terhadap produk haram,” katanya.
Tambahan pula, persepsi masyarakat bahawa vape “lebih selamat” menjejas usaha kesihatan awam.
Tanpa kempen pendidikan risiko yang kukuh, pengguna muda mungkin terus tertarik kepada produk berperisa dan murah.
Malaysia kini dilihat mengambil jalan tengah yang mendekati Singapura.
Pada 10 September 2025, Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan pelaksanaan larangan berperingkat terhadap penjualan dan penggunaan vape.
Ini memberi tekanan moral kepada Indonesia untuk menilai semula kedudukannya.
Negara jiran telah memulakan dasar kawalan lebih ketat kerana kebimbangan terhadap kesihatan awam dan penyalahgunaan dadah.
Langkah Malaysia dan Singapura boleh memberi kesan domino di rantau Asean.
Indonesia, dengan pasaran pengguna muda yang besar, akan diperhatikan sama ada sanggup menyeimbangkan kepentingan ekonomi dengan keselamatan kesihatan.
Dari sudut akademik, dasar Indonesia ketika ini mencerminkan pendekatan ‘mengurangkan kemudaratan’ yang mengekalkan ruang kawalan melalui cukai dan pengawasan, berbanding larangan mutlak.
Pendekatan itu boleh dilihat pragmatik, namun keberkesanannya bergantung kepada keupayaan penguatkuasaan dan pendidikan awam.
“Jika pengawasan gagal dan produk haram terus beredar luas, strategi fiskal sahaja tidak cukup.
“Risiko penyalahgunaan dadah dalam vape memerlukan tindak balas yang lebih menyeluruh,” ujar seorang penganalisis dasar kesihatan awam.
Sementara itu, BNN menegaskan masih mengkaji dan menunggu persetujuan bersama daripada pelbagai kementerian sebelum membuat cadangan rasmi.
Ini memberi ruang kepada debat nasional yang lebih matang sama ada Indonesia akan mengikuti jejak Singapura dan Malaysia atau mengekalkan pendekatan kawalan yang lebih fleksibel tetapi penuh risiko.
Keputusan jiran Indonesia memberi isyarat jelas bahawa perlindungan kesihatan awam boleh mengatasi kepentingan pasaran.
Namun, Indonesia berdepan dilema lebih kompleks iaitu keperluan melindungi generasi muda daripada bahaya nikotin dan narkotik, sambil menjaga kestabilan ekonomi industri tembakau dan mengawal pasaran haram.
Seperti ditegaskan Encik Suyudi: “Ini bukan keputusan sepihak. Kita perlu kerjasama dan data yang kukuh.”
Persoalannya kini adakah data saintifik dan tekanan serantau akan mendorong Jakarta mengambil langkah lebih tegas, atau kekal dengan pendekatan fiskal yang berhati-hati. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg