GAZA: Setahun lalu, serangan maut Hamas di selatan Israel mencetuskan tindak balas tentera besar-besaran oleh Israel ke atas Gaza.
Walaupun banyak kawasan di Gaza telah musnah dan puluhan ribu rakyat Palestin terbunuh, termasuk kanak-kanak, tujuan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, untuk menghancurkan Hamas masih belum tercapai.
Walaupun lemah, Hamas masih meneruskan peperangan gerila terhadap Israel.
Pada ulang tahun serangan mereka pada 7 Oktober, Hamas melancarkan beberapa roket ke arah Israel, menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya sebahagian daripada keupayaan ketenteraan mereka yang lebih canggih masih berfungsi.
Jurucakap sayap ketenteraan Hamas menegaskan bahawa mereka akan “meneruskan perang berpanjangan dan menyakitkan” terhadap Israel.
Israel mendakwa telah membunuh dan menawan lebih 17,000 anggota Hamas di Gaza – angka yang sukar disahkan.
Sebelum perang, jumlah anggota Hamas dianggarkan sekitar 25,000 orang.
Namun, jumlah tepat anggota yang terbunuh tidak jelas kerana Hamas jarang mengesahkan laporan Israel mengenai kematian pemimpin atau anggota mereka.
Pengarah program antikeganasan di Insititut Washington bagi Dasar Timur Tengah, Dr Matthew Levitt, berkata kebanyakan yang terbunuh mungkin hanya “askar biasa,” bukan komander utama.
Ramai pemimpin kanan Hamas, dilaporkan terbunuh dan ramai lagi yang masih bersembunyi. Ini menyebabkan kekeliruan tentang siapakah yang benar-benar mengendalikan Hamas dalam tempoh peperangan ini.
Hamas, yang turut menjadi sasaran serangan Israel di Gaza, kini menghadapi cabaran besar selepas serangan besar-besaran pada 7 Oktober 2023.
Sejak itu, beberapa pemimpin utama mereka telah diserang oleh Israel.
Pada Julai, Encik Ismail Haniyeh, ketua biro politik Hamas yang berpangkalan di Qatar, terbunuh dalam satu letupan di Teheran, Iran. Hamas dan Iran menyalahkan Israel, walaupun Israel tidak mengesahkan keterlibatan mereka.
Pada Ogos, Israel mengumumkan mereka membunuh Muhammad Deif, ketua sayap ketenteraan Hamas, dalam satu serangan udara di selatan Gaza.
Encik Deif dikatakan terlibat secara langsung dalam perancangan serangan pada 7 Oktober.
Terkini, pembunuhan ke atas Ketua Hamas, Encik Yahya Sinwar, yang menggantikan Encik Hanieyah dianggap hampir melumpuhkan Hamas.
Ada yang menganggap Hamas mungkin tidak akan bertahan dalam peperangan ini.
Namun kehancuran Gaza mungkin menyemarakkan lagi semangat anggotanya pada masa hadapan.
Beberapa kali tentera Israel mendapati Hamas kembali muncul di kawasan yang sudah dikuasai, menunjukkan bahawa mereka masih mampu bertahan dan beroperasi.
Seperti banyak aspek lain dalam operasi Hamas, maklumat mengenai senjata mereka sukar diperoleh.
Sebelum perang, risikan Israel menganggarkan Hamas dan anggota kumpulan lain di Gaza memiliki sekitar 30,000 roket, dengan pelbagai jarak dan kecanggihan.
Sesetengah roket itu diseludup masuk melalui terowong, sementara yang lain dihasilkan di Gaza menggunakan bahan yang dikumpul daripada bom Israel yang tidak meletup.
Dalam perang kali ini, Hamas melepaskan lebih 13,200 roket ke arah Israel, dengan 25 peratus daripadanya ditembak pada 7 Oktober 2023.
Sebelum kematian Encik Sinwar, Hamas melepaskan empat lagi roket, dan satu daripadanya berjaya dipintas oleh pertahanan udara Israel.
Salah satu aspek terpenting dalam pertahanan Hamas ialah sistem terowong bawah tanah yang mereka bina sejak bertahun-tahun.
Terowong itu dilaporkan sepanjang 800 kilometer, memberikan perlindungan kepada anggota dan pemimpin Hamas.
Israel kini sedang giat memusnahkan terowong itu, tetapi prosesnya memakan masa dan sangat berbahaya.
Terowong juga digunakan untuk menyembunyikan 250 tebusan yang diculik oleh Hamas, menyukarkan usaha Israel untuk menghancurkan jaringan bawah tanah tersebut tanpa membahayakan nyawa tebusan.
Keupayaan terowong itu bukan sahaja melindungi pemimpin Hamas, malah turut berfungsi sebagai sistem komunikasi utama kumpulan itu.
Mereka menggunakan telefon darat dan kurier bawah tanah untuk menyampaikan mesej, yang meminimumkan peluang Israel untuk memintas komunikasi mereka.
Walaupun mengalami kemusnahan besar, Hamas dilaporkan masih mempunyai keupayaan untuk berperang, dan pertempuran ini nampaknya akan berlanjutan untuk masa yang lama.
Persoalannya kini adalah bagaimana Gaza akan dibina semula selepas peperangan?
Jika Gaza dibiarkan dalam keadaan “negara yang terbengkalai,” ini boleh mencetuskan lebih banyak radikalisasi, yang mungkin membawa kepada lebih banyak konflik pada masa hadapan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg