GAZA: Kematian pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, memberi tamparan serius kepada Hamas, namun beberapa pihak memberi amaran akan bahaya daripada kekosongan kuasa yang ditinggalkan selepas kehilangan pemimpin itu.
Beliau tidak dibunuh dalam operasi yang dirancang, tetapi secara kebetulan dalam pertempuran dengan tentera Israel di Rafah, selatan Gaza pada 17 Oktober. Gambar yang diambil di tempat kejadian menunjukkan Encik Sinwar, berpakaian seragam tempur, terkorban dalam runtuhan bangunan yang terkena bedilan kereta kebal.
Kumpulan Hezbollah di Lebanon berkata mereka akan memperhebatkan serangan terhadap Israel dalam fasa baru yang lebih agresif susulan pembunuhan Encik Sinwar.
Iran, yang menyokong Hezbollah, pula berkata semangat perjuangan menentang Israel kini semakin memuncak selepas pemergian Encik Sinwar yang dipercayai antara dalang utama serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memuji tenteranya tetapi menjelaskan bahawa betapa besarnya kemenangan itu, ia bukanlah penamat perang.
“Perang belum berakhir. Ia sukar dan ia merugikan kita. Cabaran yang hebat masih menanti kita. Kita memerlukan ketabahan, perpaduan dan keberanian... bersama-sama kita berjuang dan akan menang,” ujar beliau.
Beliau mengulangi matlamat perangnya berkali-kali – memusnahkan Hamas sebagai kuasa tentera dan politik dan membawa pulang tebusan.
Pembunuhan Encik Sinwar mendorong semula gesaan untuk membebaskan berpuluh-puluh warga Israel yang dijadikan tebusan oleh kumpulan Hamas di Gaza.
Ketika pemimpin dunia menggesa Hamas membebaskan tebusan, keluarga dan penyokong mereka menyuarakan keyakinan perkembangan terkini akan memberi nafas baru kepada perbincangan mengenai pembebasan tebusan.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata kematian Encik Sinwar adalah “hari yang baik” untuk dunia, sambil menambah bahawa pembunuhan itu menghapuskan halangan utama kepada gencatan senjata di Gaza dan perjanjian tebusan.
Kementerian Luar Qatar berkata Perdana Menterinya, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, membuat panggilan kepada Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berhubung perkembangan terkini usaha pengantaraan bersama untuk menamatkan perang.
Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran bahawa ketidaktentuan yang timbul susulan pembunuhan Encik Sinwar menimbulkan potensi ancaman di mana Hamas mungkin melakukan serangan balas.
Pembunuhan Encik Sinwar juga menimbulkan persoalan penting mengenai siapa yang akan menggantikannya. Antara calon yang disebut termasuk Encik Mahmoud al-Zahar, pengasas Hamas, yang dikenali dengan pendirian tegas dan pandangan konservatif.
Beliau merupakan tokoh kanan dalam kepimpinan politik Hamas dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar. Encik Al-Zahar terselamat daripada beberapa percubaan pembunuhan oleh Israel pada 1992 dan 2003. Media melaporkan beliau tidak kelihatan atau membuat sebarang kenyataan sejak perang meletus pada 7 Oktober 2023.
Turut dipertimbangkan ialah Encik Mohammed Deif, pemimpin sayap tentera Hamas, Briged Izz al-Din al-Qassam, yang juga tokoh misteri dan dilaporkan salah seorang dalang serangan 7 Oktober 2023. Encik Deif juga dikatakan mereka bentuk salah satu senjata Hamas iaitu, roket Qassam dan terbabit dalam pembinaan rangkaian terowong bawah tanah di Gaza. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg