JAKARTA: Rangkaian makanan segera KFC Indonesia telah melaporkan kerugian yang meningkat sebanyak 557.08 bilion rupiah ($47.3 juta) untuk suku ketiga 2024, yang membawa kepada penutupan berpuluh-puluh cawangan dan pembuangan 2,274 pekerja sepanjang 2023.
Fast Food Indonesia (Fast), syarikat yang mengendalikan kedai KFC di negara itu, mengaitkan punca kerugian besar itu akibat daripada boikot besar-besaran yang didorong oleh sentimen orang ramai terhadap konflik Israel-Palestin.
Salah satu lagi sebab ialah pemulihan yang perlahan akibat daripada penularan Covid-19.
“Kedua-dua peristiwa ini telah memberi kesan negatif terhadap prestasi kewangan syarikat selama sembilan bulan berturut-turut, berakhir pada 30 September 2024,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Menurut laporan kewangannya, kerugian suku ketiga syarikat itu mewakili peningkatan yang mengejutkan sebanyak 266.45 peratus berbanding kerugian 152 bilion rupiah dalam tempoh yang sama 2023.
Pendapatan turun 22.34 peratus tahun ke tahun kepada 2.58 trilion rupiah, manakala jualan makanan dan minuman mencatat penurunan mendadak 22.39 peratus, daripada 4.6 trilion rupiah kepada 3.57 trilion rupiah.
Bilangan cawangan KFC Indonesia merosot daripada 762 pada Disember 2023 kepada 715 pada September 2024, dengan jumlah tenaga kerja menyusut daripada 15,989 kepada 13,715 dalam tempoh yang sama.
Saham Fast, yang turut memegang lesen untuk jenama makanan segera lain termasuk Naughty by Nature dan Taco Bell, telah mencatat kemerosotan sekitar 60 peratus tahun ke tahun setakat 11 November.
Fast Food Indonesia telah diasaskan oleh Keluarga Gelael pada 1978 dan setahun selepas itu, syarikat tersebut memperoleh francais dengan pembukaan cawangan pertamanya pada Oktober 1979 di Jalan Melawai di Jakarta.
Pembukaan restoran pertama terbukti berjaya dan diikuti dengan pembukaan lebih banyak cawangan di Jakarta dan peluasan ke beberapa bandar utama lain di Indonesia termasuk Bandung, Semarang, Surabaya, Medan, Makassar, dan Manado. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg