Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khaleda Zia, mantan PM wanita pertama Bangladesh meninggal dunia

Dec 30, 2025 | 1:04 PM
Cik Khaleda Zia, mantan Perdana Menteri Bangladesh dan pengerusi parti pembangkang utama, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), melambai kepada penyokong ketika menghadiri satu perhimpunan anjuran gabungan 18 parti pimpinan BNP di Dhaka pada 25 Oktober 2013.
Cik Khaleda Zia, mantan Perdana Menteri Bangladesh dan pengerusi parti pembangkang utama, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), melambai kepada penyokong ketika menghadiri satu perhimpunan anjuran gabungan 18 parti pimpinan BNP di Dhaka pada 25 Oktober 2013. - Foto AFP

DHAKA: Mantan Perdana Menteri Bangladesh, Cik Begum Khaleda Zia, meninggal dunia pada 30 Disember pada usia 80 tahun, sekali gus menutup satu babak penting dalam sejarah politik negara Asia Selatan itu yang selama puluhan tahun dibentuk oleh persaingan sengit antara dua tokoh wanita paling berpengaruh di Bangladesh.

Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) mengesahkan pemergian pemimpinnya itu dalam satu kenyataan rasmi.

“Pengerusi BNP dan mantan perdana menteri, pemimpin nasional Begum Khaleda Zia, telah menghembuskan nafas terakhir pada 6 pagi hari ini (30 Disember), sejurus selepas solat subuh,” menurut kenyataan tersebut.

“Kami memohon keampunan bagi rohnya dan mengajak seluruh rakyat mendoakan kesejahteraannya,” tambah kenyataan itu.

Pemergian Cik Khaleda berlaku ketika ramai pemerhati politik menjangkakan beliau bakal kembali ke arena kuasa.

Walaupun uzur dan pernah dipenjarakan, beliau pada November lalu menyatakan kesediaan berkempen dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada Februari 2026, pilihan raya pertama sejak kebangkitan rakyat pada 2024 lalu yang menumbangkan seteru politiknya, Sheikh Hasina.

BNP dilihat sebagai antara pendahulu utama dalam pilihan raya tersebut.

Namun, kesihatan Cik Khaleda merosot secara mendadak pada akhir November apabila beliau dikejarkan ke hospital akibat pelbagai komplikasi kesihatan. Keadaannya terus memburuk walaupun menerima rawatan rapi.

Beberapa jam sebelum meninggal dunia, petugas parti masih sempat menyerahkan kertas pencalonannya bagi tiga kawasan Parlimen, satu isyarat betapa simbolik dan pentingnya figura beliau kepada BNP.

Pemimpin interim Bangladesh, Encik Muhammad Yunus, sebelum ini menggesa rakyat mendoakan kesihatan Cik Khaleda, menyifatkannya sebagai “sumber inspirasi besar kepada negara”.

Ketua media BNP, Encik Moudud Alamgir Pavel, turut mengesahkan kematian Khaleda kepada agensi berita AFP.

Cik Khaleda merupakan perdana menteri wanita pertama Bangladesh dan memegang jawatan itu dalam dua penggal penuh serta satu penggal singkat.

Sepanjang hampir tiga dekad, beliau silih berganti menerajui pemerintah bersama Hasina, anak kepada pengasas Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman.

Persaingan antara dua dinasti politik ini bukan sahaja membentuk landskap politik negara, malah sering melumpuhkan proses demokrasi.

Akhbar Prothom Alo menyifatkan Cik Khaleda sebagai seorang “pemimpin yang tidak pernah berkompromi”.

Akhbar itu menulis bahawa kehidupannya sarat dengan “pendakian dan kejatuhan, tuntutan mahkamah, penahanan, pemenjaraan serta tekanan politik yang melampau”.

“Beliau menempuh ujian politik pada tahap paling ekstrem,” lapor akhbar tersebut.

Dalam dekad terakhir hidupnya, Cik Khaleda sering berada dalam tahanan penjara atau tahanan rumah di bawah pemerintahan Hasina.

Pada 2018, beliau dipenjarakan atas kes rasuah berkaitan dana rumah anak yatim, satu kes yang menurut penyokongnya bersifat bermotif politik.

Hukuman itu kemudian dinaikkan kepada 10 tahun.

Beliau turut menghidap pelbagai penyakit kronik, termasuk artritis reumatoid, diabetes dan masalah hati yang serius.

Selepas dijangkiti Covid-19 pada 2021, doktor mengesyorkan rawatan di luar negara, namun permohonan itu ditolak mahkamah ketika Hasina masih berkuasa.

Cik Khaleda hanya dibebaskan pada 2024, selepas Hasina digulingkan dan melarikan diri ke luar negara.

Beberapa kes mahkamah terhadapnya digugurkan, namun keadaan kesihatannya tidak pernah pulih sepenuhnya.

Dalam kenyataan awam terakhirnya dari katil hospital, Cik Khaleda menyambut kejatuhan Hasina sebagai “pengakhiran kezaliman”.

“Melalui perjuangan panjang yang penuh pengorbanan, kita akhirnya bebas daripada pemerintah fasis dan tidak sah,” katanya ketika itu dengan nafas tersekat-sekat.

Dilahirkan sebagai Khaleda Khanam Putul di daerah Dinajpur pada pertengahan 1940-an, kehidupannya banyak dipengaruhi oleh pergolakan sejarah Asia Selatan, termasuk pemisahan India dan Pakistan serta kemerdekaan Bangladesh pada 1971.

Beliau berkahwin dengan Encik Ziaur Rahman, tokoh tentera yang kemudiannya menjadi presiden Bangladesh sebelum dibunuh dalam rampasan kuasa pada 1981.

Kematian suaminya membuka jalan kepada kemasukan Cik Khaleda ke dunia politik, sebelum beliau bangkit sebagai ketua BNP dan akhirnya menjawat jawatan perdana menteri.

Cik Khaleda meninggalkan seorang anak lelaki, Encik Tarique Rahman, yang pulang ke Bangladesh minggu lalu selepas 17 tahun dalam buangan sendiri di Britain.

Encik Tarique dijangka mengetuai BNP dalam pilihan raya 12 Februari 2026 dan disebut-sebut sebagai calon perdana menteri sekiranya parti itu menang.

Pemergian Cik Khaleda menandakan berakhirnya satu era politik yang didominasi oleh persaingan peribadi, dendam sejarah dan perebutan kuasa yang panjang.

Walaupun kontroversi sentiasa mengiringi namanya, pengaruh beliau terhadap politik Bangladesh tidak dapat dinafikan.

Bagi penyokongnya, Cik Khaleda adalah simbol keteguhan dan penentangan terhadap autoritarianisme.

Bagi pengkritiknya, beliau tokoh yang sarat dengan legasi politik lama.

Namun, sejarah Bangladesh akan terus mengingatinya sebagai salah seorang tokoh paling berpengaruh yang pernah membentuk hala tuju negara itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg