Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Politik Bangladesh bergolak setelah kuasa 15 tahun ‘wanita besi’ tumbang

Aug 12, 2024 | 5:30 AM
Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina bersama dengan pihak media dan pemerhati pilihan raya dalam sidang akhbar, sehari selepas beliau memenangi pilihan raya Parlimen ke-12, di Dhaka pada 8 Januari 2024. Bantahan yang bermula dengan demonstrasi pimpinan pelajar terhadap peraturan pengambilan pekerjaan di sektor pemerintah memuncak pada 5 Ogos, dengan Cik Hasina melarikan diri dan tentera mengumumkan membentuk pemerintahan sementara.
Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina bersama dengan pihak media dan pemerhati pilihan raya dalam sidang akhbar, sehari selepas beliau memenangi pilihan raya Parlimen ke-12, di Dhaka pada 8 Januari 2024. Bantahan yang bermula dengan demonstrasi pimpinan pelajar terhadap peraturan pengambilan pekerjaan di sektor pemerintah memuncak pada 5 Ogos, dengan Cik Hasina melarikan diri dan tentera mengumumkan membentuk pemerintahan sementara. - Foto AFP

DHAKA:  Mantan Perdana Menteri Sheikh Hasina pernah membantu menyelamatkan Bangladesh daripada pemerintahan tentera tetapi pemerintahannya tumbang pada 5 Ogos ketika penunjuk perasaan menyerbu istananya di Dhaka.

Cik Hasina ketika berdepan penunjuk perasaan hanya diberi masa 45 minit oleh tentera untuk meninggalkan negara itu dengan menaiki helikopter keluar meninggalkan Bangladesh bukanlah kali pertama berlaku di negara Asia Selatan itu.

Ramai pemimpin Bangladesh yang terpaksa melarikan diri atau menjalani tempoh pentadbiran lebih pendek akibat pergolakan ganas yang meragut nyawa sejak negara berkenaan mengecapi kemerdekaan setengah abad lalu.

Protes bermula pada Julai lalu dengan perhimpunan yang diketuai oleh pelajar universiti menentang kuota pekerjaan perkhidmatan awam.

Tidak lama kemudian protes memuncak menjadi pergolakan maut dan menuntut Cik Hasina berundur.

Selama 15 tahun berturut-turut beliau telah berkuasa dan berjaya meningkatkan ekonomi negara dan pada masa sama melakukan penahanan besar-besaran seteru politik dan sekatan hak asasi manusia terhadap perlakuan pasukan keselamatannya.

Cik Hasina, 76 tahun, memenangi penggal kelima sebagai perdana menteri pada Januari lalu tetapi pembangkang memboikot undi yang dikatakan tidak bebas dan tidak adil.

Pengkritik menuduh pemerintahannya melakukan pencabulan hak, termasuk pembunuhan aktivis pembangkang.

Menelusuri sejarah pergolakan Bangladesh, AFP mengimbau beberapa detik hitam yang berlaku di negara berkenaan.

Bangladesh yang sebelum ini dikenali sebagai Pakistan Timur muncul sebagai negara baru pada 1971 selepas peperangan sengit membabitkan India.

Ketika Cik Hasina berusia 27 tahun dan melancong ke luar negara, seorang pegawai tentera telah membunuh bapanya, Perdana Menteri Sheikh Mujibur Rahman dan ibunya serta tiga abangnya dalam rampasan kuasa pada 1975.

Tokoh kemerdekaan, Sheikh Mujibur Rahman dilantik Perdana Menteri pertama sebelum memperkenalkan sistem satu parti dan mengambil alih jawatan sebagai presiden pada Januari 1975.

Beliau bersama isteri dan tiga anak lelaki kemudian dibunuh sekumpulan tentera dalam tempoh kurang setahun, pada 15 Ogos 1975.

Jawatan beliau diambil alih Encik Khondaker Mostaq Ahmad selepas mendapat sokongan sebahagian tentera.

Tempoh pentadbiran Encik Khondaker juga tidak bertahan lama dan digulingkan dalam rampasan kuasa didalangi ketua turus tentera Khaled Mosharraf pada 3 November 1975, sebelum dibunuh pemberontak.

Jeneral Ziaur Rahman kemudian mengambil alih kuasa selepas siri rampasan kuasa dan tindak balas pada 7 November 1975.

Jeneral Ziaur akhirnya dibunuh ketika cubaan pemberontakan pada 30 Mei 1981 selepas kurang enam tahun berkuasa.

Kesinambungan pentadbiran Bangladesh diteruskan Timbalan Presiden, Encik Abdus Sattar, yang ketika itu dilantik sebagai Presiden sementara dengan sokongan Jeneral Hussain Muhammad Ershad.

Namun, Encik Hussain berpaling tadah terhadap Encik Abdus Sattar dalam tempoh setahun dan menggulingkan beliau dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 24 Mac 1982.

Encik Hussain kemudian memperkenalkan undang-undang tentera sejurus mengambil alih tampuk pentadbiran negara, selain melantik Encik Ahsanuddin Chowdhury sebagai presiden.

Beliau kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Ketua Negara pada 11 Disember 1983, manakala Encik Ahsanuddin menerajui parti politik yang setia kepada jeneral berkenaan.

Encik Hussain meletak jawatan sebagai presiden pada 6 Disember 1990, selepas gelombang protes menuntut demokrasi di Bangladesh.

Beliau kemudian ditahan pada 12 Disember dan dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan rasuah dan dibebaskan pada Januari 1997.

Menteri Kehakiman, Encik Shahabuddin Ahmed, mengambil alih sebagai pemimpin sementara sehingga pilihan raya diadakan pada 1991.

Pilihan raya bebas pertama negara itu diadakan pada awal 1991, dengan Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) muncul sebagai pemenang.

Balu Jeneral Ziaur Rahman, Cik Khaleda Zia, dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Bangladesh.

Beliau kemudian digantikan pesaing utamanya, Cik Hasina, selepas Liga Awami pimpinan Cik Hasina mengalahkan BNP dalam pilihan raya, pada 1996.

Namun, pentadbiran Bangladesh kembali diterajui BNP pada 2001, dengan Cik Khaleda sekali lagi menjadi perdana menteri dan menamatkan tempoh pentadbirannya pada Oktober 2006.

Pada 2007, Presiden Encik Iajuddin Ahmed dengan sokongan tentera mengisytiharkan darurat selepas demonstrasi antipemerintah.

Pemerintah peralihan diketuai tentera kemudian melancarkan tindakan antirasuah, memenjarakan kedua-dua Cik Hasina dan Cik Khaleda atas dakwaan rasuah sebelum mereka dibebaskan pada 2008.

Cik Hasina sekali lagi menjadi perdana menteri selepas Liga Awami memenangi pilihan raya pada Disember 2008.

Manakala Cik Khaleda, 78 tahun, yang kesihatan merosot teruk dan terkurung di hospital selepas beliau dijatuhi hukuman penjara 17 tahun kerana rasuah pada 2018.

Penyokong telah memuji Cik Hasina kerana memimpin Bangladesh sehingga berjaya meningkatkan ekonomi, sebahagian besarnya dibantu tenaga kerja kilang yang kebanyakannya wanita menjana industri eksport pakaian di negara tersebut.

Bangladesh, salah satu negara termiskin di dunia apabila memperoleh kemerdekaan daripada Pakistan pada 1971, telah berkembang secara purata lebih 6 peratus setiap tahun sejak 2009.

Semasa pentadbiran beliau, kemiskinan telah menjunam dan lebih 95 peratus daripada 170 juta penduduknya yang kini mempunyai akses kepada elektrik, dengan pendapatan per kapita mengatasi India pada 2021.

Cik Hasina juga dipuji kerana tindakan tegas terhadap militan Islam di negara majoriti Islam itu selepas lima pelampau Bangladesh menyerbu kafe Dhaka yang popular dengan ekspatriat Barat dan membunuh 22 orang pada 2016. 

Namun, kali ini ketika berita pemergiannya tersebar di seluruh Bangladesh, berjuta-juta orang turun ke jalan-jalan raya untuk meraikan perkembangan tersebut.

Orang ramai mengibarkan bendera dengan ada yang menari di atas kereta kebal tentera, sebelum beribu-ribu penduduk memecah masuk pintu kediaman rasmi Cik Hasina di Dhaka ketika beliau dipercayai mencari suaka politik di Britain. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg