SEPANG: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka beroperasi semula menjelang 31 Januari 2025, kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke.
Beliau berkata dua set Aerotrain telah tiba minggu lepas dan sedang memasuki fasa pemasangan, dan akan memasuki fasa pemeriksaan selepas itu, lapor The Star.
“Fasa ini akan mengambil masa kira-kira empat bulan dan jika semuanya berjalan lancar, ia dijangka mula beroperasi pada 31 Januari 2025,” katanya selepas meninjau dan memeriksa Aerotrain baru itu di Terminal 1 KLIA pada 2 September.
Menurut Encik Loke, pemeriksaan dinamik akan dimulakan pada Oktober, dengan Aerotrain itu akan diuji menggunakan trek sebenar serta melakukan perkhidmatan ulang-alik.
“Oleh itu, saya ingin menjelaskan kepada penumpang dan orang ramai bahawa sekiranya mereka melihat Aerotrain beroperasi, ia adalah ujian untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Encik Loke berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu melaksanakan pemantauan rapi dan memastikan semua proses serta ujian dijalankan dengan baik supaya tiada lagi kelewatan.
“Tahun depan (2025) adalah tahun utama untuk negara ini kerana kita akan mempengerusikan Asean dan mesyuarat antarabangsa, dan tentunya kita mengharapkan Aerotrain ini bersedia,” katanya.
Menurut Encik Loke, secara keseluruhan MAHB akan menerima tiga set Aerotrain dan setiap set mempunyai tiga koc yang boleh menampung kapasiti 270 penumpang.
“Set ketiga akan tiba pada Oktober dan dijadikan tren simpanan,” ujar beliau.
Encik Loke berkata perkhidmatan bas pengantara yang sebelum ini digunakan untuk menggantikan Aerotrain akan diteruskan sebagai pilihan tambahan kepada penumpang berikutan pergerakan besar penumpang pada masa ini.
Pada Mac 2022, MAHB mengumumkan telah menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.
Bagaimanapun, projek itu mengalami kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baru pada Januari 2024 kepada konsortium merangkumi Alstom, pengeluar peralatan asal Aerotrain, dan JMC-Pestech JV, untuk mengemudi projek itu agar ia kembali ke landasan asal. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg