Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

12 termasuk anggota penguat kuasa ditahan seludup masuk warga asing di KLIA2

Aug 21, 2024 | 1:53 PM
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa suspek ke Mahkamah Putrajaya pada 21 Ogos, bagi permohonan reman untuk  membantu siasatan kes penyeludupan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Terminal 2 (KLIA2).
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa suspek ke Mahkamah Putrajaya pada 21 Ogos, bagi permohonan reman untuk membantu siasatan kes penyeludupan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Terminal 2 (KLIA2). - Foto HARIAN METRO

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sindiket menyeludup warga asing melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa, yang dipercayai turut didalangi beberapa individu sebuah agensi penguat kuasa.

Sindiket berkenaan dipercayai didalangi beberapa penguat kuasa agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan menerusi modus operandi ‘tetapan kaunter’.

Ini membabitkan pihak sindiket bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara yang sedia menunggu di beberapa kaunter tertentu bagi memudahkan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata kegiatan sindiket terbabit terbongkar selepas pihaknya menahan 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20-an hingga 50-an tahun menerusi ‘Op Pump’ di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan pada 20 Ogos.

Katanya, mereka yang ditahan membabitkan empat pemilik syarikat dan tiga orang awam dipercayai mempunyai peranan masing-masing bagi menguruskan kemasukan warga asing serta lima penguat kuasa bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

“Tangkapan yang dilakukan ini adalah susulan risikan dijalankan SPRM sejak 2022 terhadap kegiatan sindiket ini yang bersekongkol dengan pegawai sebuah agensi penguat kuasa.

“Sindiket ini dipercayai meraih keuntungan jutaan ringgit dan siasatan dijalankan mengesan terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta ($1.19 juta) dari 2022 hingga 2024 dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagihkan kepada penguat kuasa terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

Katanya kumpulan warga asing yang ingin masuk ke negara ini akan menghubungi ejen yang bertindak menguruskan tiket penerbangan termasuk urusan dengan penguat kuasa terbabit.

“Ejen akan memberi maklumat kumpulan warga asing terbabit kepada penguat kuasa yang sudah menunggu di kaunter tertentu dan pada masa sama memaklumkan kepada warga asing itu untuk pergi ke kaunter ditetapkan sebaik tiba di negara ini, bagi membolehkan mereka dilepaskan tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya.

“Sebaik melepasi kaunter khas berkenaan, kumpulan warga asing terbabit akan diambil oleh wakil ejen yang berperanan membawa mereka keluar ke destinasi tertentu,” katanya.

Beliau berkata warga asing terbabit sepatutnya melalui pemeriksaan dengan perlu mengemukakan pasport atau dokumen sah, mempunyai visa, tiket perjalanan pergi balik yang sah, wang sara diri mencukupi sepanjang berada di negara serta perlu menunjukkan alamat penginapan atau tempahan hotel.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg