Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kim Jong Un temui menteri pertahanan Russia, delegasi China di Pyongyang

Jul 27, 2023 | 03:29 PM



SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, telah mengadakan pertemuan dengan menteri pertahanan Russia dan delegasi China berpangkat tinggi di Pyongyang menjelang sambutan ulang tahun Perang Korea, kata media pemerintah pada Khamis.


Lawatan itu adalah yang pertama kali, dengan tetamu asing mengunjungi pemimpin Korea Utara, sejak bermulanya pandemik Covid-19.

Encik Kim mengadakan “perbincangan mesra” dengan Encik Sergei Shoigu dari Moscow, yang menyampaikan kepada Encik Kim “warkah bertandatangan” daripada Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).


Menjelang “persembahan besar-besaran” sempena ulang tahun pada Khamis, Encik Kim juga bertemu dengan delegasi China yang diketuai oleh ahli biro politik, Encik Li Hongzhong, yang “dengan sopan menyerahkan kepada Encik Kim, surat peribadi daripada Presiden Xi Jinping”, kata KCNA.


Pyongyang menyambut ulang tahun ke-70 penandatanganan gencatan senjata Perang Korea pada 27 Julai 1953, yang menamatkan permusuhan terbuka dan disambut di negara itu sebagai Hari Kemenangan.

Russia, sekutu Korea Utara, adalah salah satu daripada segelintir negara yang dengannya Pyongyang mengekalkan hubungan persahabatan.

“Mengenang dengan penuh emosi sejarah persahabatan Korea Utara-Russia yang berakar umbi,” Encik Kim dan Encik Shoigu membincangkan “perkara yang menjadi perhatian bersama dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara, serta persekitaran keselamatan serantau dan antarabangsa,” kata KCNA.


Encik Kim dan Encik Shoigu juga melawat pameran persenjataan di mana menteri Russia ditunjukkan “senjata dan peralatan jenis baru,” kata KCNA dalam satu kenyataan berasingan.


Pemimpin Korea Utara itu teguh dalam sokongannya terhadap pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, termasuk, kata Washington, membekalkan roket dan peluru berpandu.

Semasa lawatan itu, beliau memberitahu Encik Shoigu “tentang senjata dan peralatan yang dicipta dan dihasilkan” di bawah rancangan pertahanan negara Korea Utara dan “berulang kali menyatakan kepercayaan bahawa tentera dan rakyat Russia akan mencapai kejayaan besar”, tambah KCNA.


Beijing ialah sekutu dan dermawan ekonomi Korea Utara yang paling penting, hubungan mereka terjalin semasa pertumpahan darah Perang Korea pada 1950-an.

Encik Kim memberitahu Encik Li bahawa “rakyat Korea tidak akan melupakan hakikat bahawa askar berani Sukarelawan Rakyat China menumpahkan darah untuk membawa kemenangan perang,” lapor KCNA.


China dan Korea Utara “akan sentiasa berusaha untuk mengukuhkan lagi persahabatan dan perpaduan,” kata Encik Kim, menurut laporan itu.

Imej satelit menunjukkan Korea Utara telah bersiap sedia untuk satu perarakan tentera besar-besaran sempena ulang tahun pada Khamis.

Agensi berita Korea Selatan Yonhap melaporkan, terdapat “tanda-tanda jelas” persiapan untuk perarakan tengah malam di Dataran Kim Il Sung di Pyongyang dalam beberapa hari kebelakangan ini, menurut beberapa sumber pemerintah yang tidak dinamakan.


Kedatangan tetamu asing pada perayaan 2023, adalah yang pertama selepas wabak dan membayangkan fleksibiliti baru ke arah menguatkuasakan kawalan sempadan.

Delegasi Russia dan China adalah pelawat asing pertama Pyonyang sejak penutupan pandemik 2020.

Korea Utara telah berada di bawah sekatan tegar yang dibuat sendiri sejak awal 2020 untuk melindungi dirinya daripada Covid-19, menghalang walaupun rakyatnya sendiri daripada memasuki negara itu.

Ia hanya menyambung semula beberapa perdagangan dengan China tahun lepas dan menerima utusan baru Beijing, Encik Wang Yajun yang memegang jawatannya pada 2023.

Beliau adalah diplomat pertama yang diketahui menyeberang ke Korea Utara sejak penutupan sempadan pada Januari 2020.

Duta Russia ke Pyongyang, Encik Alexander Matsegora, diketahui kekal di ibu kota Korea Utara sepanjang wabak itu, walaupun bilangan kakitangan di kedutaannya berkurangan dan misi asing lain menutup pintu mereka. – AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >