WASHINGTON: Kemenangan bersejarah Dr Abdul El-Sayed sebagai individu Islam pertama dipilih menganggotai Senat Amerika Syarikat bukan sahaja mencetuskan kegembiraan dalam kalangan masyarakat Islam negara itu, malah turut diraikan penduduk sebuah bandar kecil di India.

Di sebalik kejayaan ahli politik Parti Demokrat berusia 42 tahun itu, perhatian turut tertumpu kepada isterinya, Dr Sarah Jukaku, seorang pakar psikiatri kelahiran Michigan yang mempunyai susur galur keluarga dari Bhatkal, sebuah bandar pesisir pantai di Karnataka, India.

Kemenangan Dr El-Sayed ke atas calon Parti Republikan, Encik Mike Rogers, dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November membuka lembaran baharu dalam sejarah politik Amerika.

Beliau dijadual mengangkat sumpah sebagai senator pada 3 Januari 2027, sekali gus menjadi individu Islam pertama menduduki kerusi Senat negara itu.

Bagaimanapun, di sebalik pencapaian politik tersebut, kisah hubungan beliau dengan isterinya yang sudah terjalin lebih dua dekad turut menarik perhatian masyarakat.

Dr Sarah bukan sekadar memberikan sokongan moral kepada suaminya, malah tampil berkempen dan menyampaikan ucapan bagi meyakinkan pengundi mengenai keperibadian serta kepemimpinan Dr El-Sayed.

Dalam rapat umum terakhir kempen suaminya di Detroit pada 2 November, beliau menyifatkan Dr El-Sayed sebagai seorang yang berpegang teguh pada prinsip dan tidak mudah dipengaruhi kepentingan luar.

“Penduduk Michigan berhak mendapat seorang pejuang seperti Abdul. Beliau akan memperjuangkan kepentingan anda dan keluarga anda sebagaimana beliau sentiasa menjaga saya serta keluarga kami,” katanya.

Dr Sarah turut menegaskan bahawa suaminya mempunyai pendirian yang sama, sama ada ketika berada di rumah mahupun berhadapan dengan orang ramai.

“Abdul yang saya dan anak-anak kenali sama seperti Abdul yang anda kenali. Beliau mengatakan perkara yang sama tanpa mengira di mana beliau berada atau dengan siapa beliau bercakap kerana beliau benar-benar mempercayai apa yang dikatakannya.

“Itulah yang menjadikan beliau seorang ahli politik yang luar biasa,” katanya.

Beliau kemudian mencuit hati penyokong apabila menyatakan bahawa suaminya tidak menerima arahan daripada syarikat besar, golongan bilionair atau kumpulan berkepentingan.

“Tiada siapa boleh memberitahunya apa yang perlu dilakukan atau dikatakan, kecuali mungkin saya sekali-sekala,” katanya sambil berseloroh.

Kenyataan itu disambut gelak ketawa hadirin dan menjadi antara detik yang mendapat perhatian sepanjang kempen tersebut.

Dr El-Sayed dan Dr Sarah dilahirkan serta dibesarkan di Michigan sebelum bertemu ketika menuntut di Universiti Michigan pada awal 2000-an.

Kedua-duanya aktif dalam Persatuan Pelajar Islam universiti tersebut, dengan persahabatan mereka kemudian berkembang menjadi hubungan cinta.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Mei 2006, ketika Dr Sarah berusia 19 tahun.

Dalam wawancara bersama akhbar pelajar The Michigan Daily pada Oktober 2006, Dr Sarah menceritakan bagaimana suaminya melamarnya ketika beliau masih berada pada tahun pertama pengajian.

“Ketika beliau melamar saya, saya masih pelajar tahun pertama. Saya masih muda dan antara perkara yang beliau katakan ialah kami masih berkembang sebagai individu, jadi sekarang kami boleh membesar dan berkembang bersama,” katanya.

Dr El-Sayed pula menyifatkan peluang membina kehidupan bersama sejak usia muda sebagai sesuatu yang amat bermakna.

“Kami gembira dan bertuah kerana mendapat peluang itu, syukur kepada Tuhan,” katanya.

Selepas berkahwin, pasangan tersebut dikurniakan dua anak perempuan, Emmalee dan Serene.

Emmalee berusia lapan tahun pada Ogos 2026, manakala Serene dilahirkan pada Januari 2023.

Walaupun Dr Sarah dan kedua-dua anak mereka jarang muncul di khalayak ramai, beliau memainkan peranan lebih menonjol sepanjang kempen pilihan raya Senat 2026.

Kejayaan Dr El-Sayed turut mendapat perhatian masyarakat Bhatkal, sebuah bandar kira-kira 140 kilometer dari Mangaluru, di negeri Karnataka.

Hubungan keluarga Dr Sarah dengan bandar tersebut bermula melalui bapanya, Dr Tayeb Jukaku, yang dibesarkan di Bhatkal sebelum melanjutkan pengajian perubatan di Bengaluru.

Selepas bekerja di Timur Tengah, Dr Tayeb berhijrah ke Michigan pada 1980-an dan membina kerjaya sebagai pakar nefrologi, iaitu doktor yang merawat penyakit buah pinggang.

Keluarga itu berasal daripada masyarakat Nawayath, sebuah komuniti Islam di pesisir Karnataka yang mempunyai sejarah hubungan perdagangan dan kebudayaan dengan dunia Arab sejak berabad-abad lalu.

Walaupun Dr Sarah dilahirkan dan dibesarkan di AS, bapanya memastikan anak-anaknya tidak melupakan asal usul keluarga mereka di India.

Kunjungan keluarga ke Bengaluru dan Bhatkal membantu mengekalkan hubungan dengan saudara-mara serta memperkenalkan generasi muda kepada warisan nenek moyang mereka.

Sepupu Dr Sarah, Encik Jukaku Shamshuddin Zia, yang menetap secara bergilir di Dubai dan Bengaluru, memberitahu The Indian Express bahawa hubungan keluarga itu terus terpelihara melalui kunjungan dan kumpulan WhatsApp keluarga.

Sumbangan keluarga Jukaku kepada masyarakat Bhatkal juga masih dikenang menerusi sebuah bangunan yang dinamakan sempena anggota keluarga itu oleh Anjuman Hami-e-Muslimeen, sebuah pertubuhan kebajikan yang mengendalikan institusi pendidikan di bandar tersebut.

Selain peranannya sebagai isteri kepada senator terpilih, Dr Sarah mempunyai kerjaya tersendiri dalam bidang perubatan dan kesihatan mental.

Beliau mengikuti pengajian sosiologi dan pengajian Timur Dekat di Universiti Michigan sebelum memperoleh ijazah sarjana daripada Universiti Oxford.

Beliau kemudian menamatkan pengajian perubatan di Kolej Perubatan dan Pembedahan Vagelos, Universiti Columbia, pada 2015.

Dr Sarah turut menjalani latihan kepakaran psikiatri di Universiti Cornell dan Universiti Michigan sebelum membina kerjaya dalam bidang kesihatan mental.

Kini, beliau mengendalikan amalan psikiatri swasta di Ann Arbor, Michigan.

Hubungan rapat pasangan itu dengan budaya India turut menjadi bahan gurauan Dr El-Sayed.

Dalam satu wawancara, beliau mengakui bahawa selepas hampir 20 tahun berkahwin dengan wanita daripada keluarga India Selatan, beliau semakin mengenali dan menghayati budaya masyarakat tersebut.

“Saya mungkin lebih India daripada Arab sekarang,” katanya secara berseloroh.

Beliau juga pernah menggambarkan dirinya dikelilingi wanita keturunan Asia Selatan, merujuk kepada isteri serta dua anak perempuan mereka.

Dr El-Sayed, bekas pegawai kanan kesihatan awam, memenangi kerusi Senat Michigan selepas menewaskan Encik Rogers dalam persaingan yang mendapat perhatian meluas sepanjang pilihan raya pertengahan penggal.

Kemenangan itu membolehkan Parti Demokrat mengekalkan kerusi berkenaan susulan persaraan Senator Gary Peters.

Sepanjang kempen, Dr El-Sayed memberikan tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup, memperluas akses kepada penjagaan kesihatan dan mengurangkan pengaruh syarikat besar serta golongan kaya dalam politik.

Kejayaannya turut dianggap penting bagi masyarakat Islam Amerika kerana membuka ruang perwakilan baharu dalam institusi politik tertinggi negara itu.

Bagi keluarga Dr Sarah di India, kemenangan tersebut mempunyai makna tersendiri kerana menghubungkan perjalanan sebuah keluarga dari bandar kecil di Karnataka dengan sejarah politik Amerika.

Bagi Dr Sarah pula, kejayaan suaminya menyatukan dua dunia yang membentuk kehidupannya, iaitu Michigan, tempat beliau dilahirkan dan dibesarkan, serta Bhatkal, tempat asal keluarganya.

Namun, di sebalik perhatian terhadap pencapaian bersejarah suaminya, Dr Sarah tetap menekankan sifat peribadi yang menurutnya menjadikan Dr El-Sayed layak mendapat kepercayaan pengundi.

“Abdul akan sentiasa hadir untuk anda dan keluarga anda, sebagaimana beliau sentiasa hadir untuk saya dan keluarga kami,” katanya. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti